Sunday, December 27, 2015

BAGAIMANA SAYA MENGAJAR ANAK 3 TAHUN MEMBACA - BAHAGIAN 1

Peristiwa ini berlaku anggaran tahun 1994. Ketika itu anak-anak masih kecil. Wani sudah masuk darjah satu dan NIsa sedang di Kelas Tadika Thinkerbell di Subang Jaya. Nazrin anak bongsu berumur 3 tahun.

Wani belajar selama dua tahun di Tadika ABIM (Taman Didikan Kanak-kanak Angkatan Belia islam Malaysia). Sepanjang tempoh dua tahun itu, Tadika ABIM memberikan didikan agama, mengaji, menghafal doa dan sebagainya. Tidak hairan jika segala amalan ibadah dan doa-doa  begitu mudah disebutnya. Malu juga bila si ayah sesekali terpaksa belajar atau tepatnya pura-pura menguji anak-anak membaca doa.

Malangnya, apabila masuk Tahun Satu di sebuah sekolah dasar di Subang Jaya, saya dapati, Wani serta kebanyakan anak-anak Melayu didikan Tadika ABIM, tidak begitu cepat membaca berbanding anak-anak kaum lain. Wani seperti terkial-kial untuk membaca dan menyebut sesuatu perkataan atau ketika menggabungkan dua suku kata untuk membentuk satu kata atau perkataan atau kemudian membentuk satu ayat.

Keadaan ini, membentuk satu pemikiran kendiri. Sebagai seorang bekas guru, saya merasakan sistem pendidikan tadika ABIM ketika itu, walaupun sangat baik untuk persediaan bagi anak-anak menjadi seorang muslim yang sempurna, malangnya kurang berkesan untuk persediaan menjadi seorang anak sekolah dalam sistem sekular semasa.

Tidak hairanlah, apabila Nisa, yang ketika berumur lima tahun saya hantar ke tadika ABIM, kemudian dengan berat hati saya pindahkan untuk mendapatkan satu corak sistem pendidikan tadika lain iaitu ke Tadika Tinkerbell pada tahun berikutnya.

Bagi mengatasi masalah pembacaan Wani dan Nisa, maka sejak hari itu, saya telah membeli banyak buku cerita teladan kanak-kanak. Buku-buku yang saya pilih umumnya kisah binatang seperti Si Kancil dengan Buaya, Anjing dengan Bayang-bayang, Kisah Arnab dan Kura-kura  dan sebagainya. 

Buku-buku ini umumnya bersaiz  dua A4 dengan berlipat dua, 'binding' pin di tengah-tengah dengan 16 muka surat.  Setiap muka ada ruang bergambar warna sebesar 3/4 muka surat  dan tulisan atau ayat pada tiga baris di bawahnya.

Setiap malam, pada awal-awal tahun persekolahan sekolah dasarnya, saya secara tegas memaksa anak-anak membaca buku cerita secara mengeja. Alhamdulillah, tidak sampai satu bulan, mereka sudah mampu membaca dengan pantas. 

Kejayaan ini bagaimanapun mewujudkan masalah baru apabila  saya kemudiannya terpaksa sentiasa membekalkan pelbagai buku cerita untuk bacaan mereka setiap masa teermasuk buku-buku berbhasa Inggeris. Sehubungan, kesan baiknya turut dirasakan  apabila penguasaan Bahasa Melayu juga Inggeris mereka amat baik kalau tidak cemerlang hari ini.

Menyedari masalah membaca yang dihadapi oleh anak-anak inilah, saya sejak itu giat membaca dan mencari. Saya berhasrat mencari satu kaedah yang mudah bagaimana membolehkan  anak saya Nazrin, berumur tiga tahun ketika itu boleh membaca dengan baik dan sempurna walaupun dia belum memasuki alam persekolahan sebenarnya. 

Sejak itu, saya mula rajin ke kedai-kedai jualan buku lama atau "second hand book shop" untuk mencari buku-buku sebegitu. Nasib baik, satu hari saya 'terserempak' dengan sebuah buku berjudul, "HOW TO TEACH YOUR THREE YEARS OLD CHILD TO READ" atau terjemahan Bahasa Melayunya, "Bagaimana Mengajar Anak Anda Berumur Tiga Tahun Membaca". 

Pada bahagian pengenalannya, penulis buku itu (lupa namanya) membuat satu analogi seperti contoh di bawah ini. Bagaimanapun, untuk memudahkan kefahaman anda semua, contoh itu saya telah me'malaysiakan'nya.

Menurutnya, bila dalam kereta melalui satu premis niaga ini, anak 'saya' segera menyebut KFC. Walhal, ketika itu dia baru berumur 3 tahun dan masih belum bersekolah mahupun belajar membaca. Begitu juga ketika melalui bangunan kembar mencakar langit, dia juga segera menyebut KLCC. Begitu juga dengan pelbagai jenama kereta seperti Proton, Perodua atau jenama makanan segera seperti MILO, ORION, Maggie Mee serta yang terbaru PAMOGA Qu Puteh dan sebagainya.

Berdasarkan teori buku itu, anak-anak akan mudah menyebut sesuatu jenama atau nama sesuatu benda jika setiap hari dia diperdengarkan nama itu kepadanya. Sebagai contoh, setiap hari di kaca TV, iklan KFC diputarkan. Setiap kali jenama KFC dipaparkan maka sebutan nama KFC dizahirkan. Kemudian anda perhatikan anak anda. Apabila terlihat foto orang tua berambut putih, dia pasti akan menyebut KFC.

Jadi secara mudah, kaedah pendidikan ini berasaskan PAPAR, SEBUT, PAPAR, SEBUT dan berulang-ulang. Saya lupa  nama teori ini secara akademik, kerana peristiwa ini berlaku lebih 22 tahun lalu. 

Kaedah ini sebenarnya tidak membebankan dan menggunakan biaya yang banyak. Yaang diperlukan adalah kad warna putih berukuran 1/3 kertas keras A4, dan pen magic warna merah.Tidak banyak kos lain yang diperlukan kecuali satu 'perasaan ikhlas mahu mendidik anak dan perasaan sabar'.

Motonya juga mudah. 'ONE WORD A DAY' atau 'SATU KATA SATU HARI'

Saya amat tertarik dengan teknik yang diberikan dalam buku itu. Oleh kerana ketika itu, projek video dokumentari agak kurang, dan saya ketika itu adalah seorang Perunding Media Bebas atau Media Freelancer, maka saya telah cuba mempraktikkan kaedah yang dipaparkan dalam buku itu kepada anak bongsu saya Nazrin.

Saya terkejut dengan hasil dari eksperimen ini. 

Dalam tempoh tiga bulan, Nazrin mampu mengingat dan menghafal 100 perkataan dan dapat membentuk ayat-ayat ringkas berdasarkan kaedah pembelajaran ini. Dalam kata lain, Nazrin berumur 3 tahun ketika itu sudah mampu membaca.

Untuk tulisan akan datang saya akan paparkan secara  berperingkat. kaedah mengajar anak anda berumur tiga tahun untuk membaca. Namun, jika anda telah atau pernah atau mempunyai kaedah didikan cara lain, abaikan saja tulisan ini. 

Apatah lagi ia sudah lama berlalu dan Nazrin hari ini telah lulus BE Hons dari Fakulti Kejuruteraan UiTM Shah Alam. Dua kakaknya adalah  lepasan Universiti Malaya dan bekerja di Sime Darby dan dari Universiti Teknologi Malaysia dan bekerja di Telekom Malaysia.