Friday, January 1, 2016

BAGAIMANA MENGAJAR ANAK TIGA TAHUN MEMBACA - BAHAGIAN 2

Apa yang terpapar ini adalah kaedah saya hasil improvisasi dari satu pembacaan teknik dan kaedah yang ditulis oleh seorang lain. Terserah anda untuk mengikutinya atau tidak. Rasanya tiada apa yang rugi. Apatah lagi, bagi teman-teman saya yang masih hidup kini, yang dikabarkan begitu sebok di rumah, tapi bukan kerana melakukan sesuatu kerja bagi memenuhi ruang masa ketika bersara tetapi terpaksa meladeni perangai dan karenah cucu-cucu.

Apa kata, dari sekadar hanya mendodoikan lagu dondang sayang atau menjadi sebagai Tuan Polisi, kita ambil kesempatan masa itu untuk mengajar anak-anak atau cucu-cucu membaca.

Sebagaimana yang saya nyatakan, pendekatan ini saya buat untuk anak ketiga saya Ahmad Nazrin yang ketika itu berusia tiga tahun. Puncanya, seperti yang saya nyatakan adalah kerana kecewa, Wani anak yang tertua, walaupun setelah mendapat didikan peringkat tadika di Tadika ABIM selama dua tahun, masih gagal membaca dengan lancar dan baik.

LANGKAH 1 - MENYEDIAKAN BAHAN KEPERLUAN ASAS.

Sebagaimana yang sama maklumkan, kaedah ini tidak memerlukan kos yang tinggi. Yang diperlukan adalah kertas Art Card ukuran A4 yang dipotong tiga warna putih dan sebatang pen magic warna merah. Keperluan lain adalah, sifat dan rasa sabar yang kuat.

Satu bungkusan kertas Art Card ukuran A4 ada dijual di kedai buku. Setiap bungkusan ada sebanyak 100 keping dan dijual pada harga  RM 30.00. Ini bererti satu keping berharga 30 sen atau 1/3 keping adalah 10 sen.

LANGKAH 2 - MENCARI MASA YANG SESUAI UNTUK MENDIDIK

Selalunya anak yang ketiga, mempunyai satu perasaan ingin tahu dan ingin mencontohi perilaku kakak-kakak dan abang-abangnya yang bersekolah. Jika kakak atau abangnya membaca, dia juga ikut sibuk mahu membaca. Jika kakak atau abangnya berdiri untuk bercerita, dia juga turut mempunyai keinginan untuk bercerita. 

Umumnya, saya tidak menghalang, malah menggalakkan Nazrin untuk meniru gelagat kakaknya. Bukan saja itu melatih dia berani bercakap tetapi yang lebih menarik kisah yang disampaikannya begitu lucu dan menghiburkan. Bagaimanapun, faktor terpenting adalah, keadaan itu memperlihatkan satu unsur menarik, iaitu Nazrin sudah bersedia untuk belajar dan diajar.

LANGKAH 3 - PERKATAAN PERTAMA

" Arin nak belajar tak? Nak ayah ajar ? " jolok saya. Ketika itu, saya sudah sediakan tanpa disedarinya kad 1/3 ukuran A4 dan pen magik merah.

" Nak. Arin nak belajar macam kakak.." katanya.

Saya segera mengambil kad yang dinyatakan dan pen merah.

" Arin nak ayah tulis apa?" tanya saya. Ketika itu, dia seperti berfikir. Akhirnya dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

" Ok. Mahu ayah tulis nama ibu?" tanya saya.

" Nama ibu..? Mahu nama ibu..." zahirnya gembira.

Di hadapan matanya, saya menulis tiga huruf besar-besar dengan pen magik warna merah di atas kad, tiga huruf iaitu "i", "b". "u" atau disebut IBU dan ditulis dengan huruf abjad kecil bukan besar seperti IBU. Tulisan nama ibu itu, saya tulis perlahan-lahan. Dengan cara ini kaedah pertama adalah dia melihat pembentukan tulisan berkaitan 'nama' ibunya.

Berdasarkan teori dari buku itu, perkataan pertama yang mesti dipilih untuk mengajar seorang anak adalah nama seseorang atau sesuatu yang hampir dengan diri si anak itu. Manusia yang paling hampir dengan anak itu adalah ibunya. Dalam hal Nazrin, sebutan harian untuk panggilan untuk emaknya adalah IBU. Ingatan nama emak kepada nama yang didengarnya hari-hari adalah IBU dan bukan nama sebenar yang tedapat dalam kad pengenalan.

Bagi orang lain, perkataan pertama tidak semestinya IBU kerana ada anak memanggil nama emaknya sebagai UMMI, atau OMAK, atau MAMA atau MAMI. Jadi, kata pertama adalah nama sebutan hariannya iaitu UMMI, OMAK, MAMA atau MAMI dan tidak semestinya IBU. 

LANGKAH 4 - SATU PERKATAAN SATU HARI

Sebagai anak yang ghairah mahu belajar,  Nazrin pastinya akan meminta si ayah untuk menulis nama AYAH, KAKAK, ATUK, NENEK dan namanya sendiri ARIN. Bagaimanapun, permintaan anak itu usah dilayan dan janjikan untuk mengajarnya pada hari esoknya. 

Suatu masa pernah juga saya cuba mengikut permintaan Nazrin dengan menulis dua kata dalam satu hari. Kesannya, pada hari berikutnya, Nazrin menjadi begitu keliru. Jadi, berdasarkan pengalaman saya, hanya satu perkataan saja diajar kepada Nazrin untuk suatu hari. 

LANGKAH 5 - ULANG TUBI

Untuk hari pertama, hanya ada satu perkataan iaitu IBU. Nazrin telah melihat bagaimana saya menulis perkataan IBU. Perkataan itu, saya sebut kuat-kuat kepadanya dan meminta dia menyebut perkataan IBU kuat-kuat juga.

Setelah beberapa minit, saya cari alasan untuk pergi ke dapur dan membiarkan kad bertulis nama IBU bersamanya. Saya kembali dengan membawa minuman atau apa saja. Kemudian seperti bermain sorok-sorok saya tunjukkan atau pamer kad itu semula kepadanya dan pastinya secara spontan Nazrin akan menyebut nama IBU.

Pernah suatu masa lain, saya letakkan kad bertulis kata ibu itu di atas katil di bilik atau di dapur atau atas kerusi atau dalam beg kakanya dan meminta Nazrin mencarinya. Nazrin kelihatan amat gembira  dan sebaik menemui kad itu dia dengan akan menyebut IBU.

Pada malamnya, apabila ibunya balik dari bekerja, saya saja meletakkan kad itu pada ibunya dalam pelbagai posisi dan Nazrin dengan ketawa menyebut perkataan Ibu.

Itulah satu-satunya perkataan yang saya ajar pada hari pertama dan pelbagai kaedah untuk melatih tubi saya lakukan untuk mengukuh memorinya terhadap perkataan pertamanya iaitu IBU.

INGAT: Saya tidak langsung menggunakan kaedah mengeja di sini iaitu ejaan I B U = IBU. Teori yang terpakai adalah, sifat tulis atau bentuk berwarna merah bertulis i b u itu sebutannya adalah Ibu. Ia sama juga kaedah terpapar terdahulu iaitu wajah orang tua berambut dan berjanggut putih itu adalah KFC.

LANGKAH 6 - HARI KEDUA DAN SETERUSNYA

Pada hari berikutnya, perkataan selanjutnya semestinya AYAH atau ABAH atau PAPA atau BABAH dan sebagainya. Kita boleh meminta si anak mencadangkan nama yang mahu kita tulis dan pastikan akhirnya adalah nama AYAH. Ini juga  bererti pada hari kedua, latihan untuk Nazrin adalah membezakan perkataan Ibu dengan Ayah. 

Kaedah latih tubi yang terpakai adalah sama juga seperti langkah terdahulu. Cuma kali ini, ada dua kata. Buatkan pelbagai teknik permainan untuk mengingat nama-nama itu.

CATATAN: Jangan terlalu kerap latih tubi dan bentuk latih tubi jangan sama. Biarlah pelbagai dan gunakan daya kreativiti anda.

Pada hari ketiga, buat satu lagi nama baru dan kali ini mungkin perkataan KAKAK jika anak didik itu lelaki. Jika perempuan, pilih perkataan ABANG. Begitu juga pada hari keempat pilih kata ABANG atau KAKAK.

Pada hari kelima dan seterusnya, pilih dan tulis nama-nama yang lain hingga selesai kelompok nama kumpulan satu iaitu nama-nama yang hampir dengan diri mereka.


LANGKAH 7 - KUMPULAN PERKATAAN

Kumpulan perkataan pertama yang diajar kepada Nazrin terdiri dari perkataan yang hampir dengan dirinya. Perkataan itu bermula dari nama IBU, AYAH, KAKAK, ABANG, ACIK, NENEK, ATUK, OYANG. Oleh kerana hanya satu perkataan yang diajar pada satu hari, maka kesemua perkataan itu selesai pada hari kelapan.

Pada hari kesembilan dan selanjutnya, perkataan-perkataan yang dipilih adalah yang terdapat disekitar tubuhnya seperti MATA, TANGAN, GIGI, MULUT, RAMBUT, TELINGA, HIDUNG, DAGU, KAKI, PERUT,  dan sebagainya serta kemudian diikuti dengan barangan sekitar rumah seperti TV, KATIL, BANTAL, SELIMUT, KERUSI, MEJA, BOTOL SUSU, SIKAT, UBAT GIGI dan seterusnya.

Begitulah selanjutnya perkembangan kata yang dipilih seperti kemudiannya nama-nama binatang yang popular dilihat di TV atau buku seperti HARIMAU, ZIRAFAH, GAJAH, UNTA, KUDA, AYAM, ITIK, ULAR dan barangan di luar rumah seperti PINTU, PAGAR, KERETA, BASIKAL, MOTOR, BAS, LORI.

CATATAN: INGAT. SATU KATA SATU HARI.

Akan datang: Pelbagai teknik melatih tubi dan mengingat perkataan berdasarkan kaedah saya.





Sunday, December 27, 2015

BAGAIMANA SAYA MENGAJAR ANAK 3 TAHUN MEMBACA - BAHAGIAN 1

Peristiwa ini berlaku anggaran tahun 1994. Ketika itu anak-anak masih kecil. Wani sudah masuk darjah satu dan NIsa sedang di Kelas Tadika Thinkerbell di Subang Jaya. Nazrin anak bongsu berumur 3 tahun.

Wani belajar selama dua tahun di Tadika ABIM (Taman Didikan Kanak-kanak Angkatan Belia islam Malaysia). Sepanjang tempoh dua tahun itu, Tadika ABIM memberikan didikan agama, mengaji, menghafal doa dan sebagainya. Tidak hairan jika segala amalan ibadah dan doa-doa  begitu mudah disebutnya. Malu juga bila si ayah sesekali terpaksa belajar atau tepatnya pura-pura menguji anak-anak membaca doa.

Malangnya, apabila masuk Tahun Satu di sebuah sekolah dasar di Subang Jaya, saya dapati, Wani serta kebanyakan anak-anak Melayu didikan Tadika ABIM, tidak begitu cepat membaca berbanding anak-anak kaum lain. Wani seperti terkial-kial untuk membaca dan menyebut sesuatu perkataan atau ketika menggabungkan dua suku kata untuk membentuk satu kata atau perkataan atau kemudian membentuk satu ayat.

Keadaan ini, membentuk satu pemikiran kendiri. Sebagai seorang bekas guru, saya merasakan sistem pendidikan tadika ABIM ketika itu, walaupun sangat baik untuk persediaan bagi anak-anak menjadi seorang muslim yang sempurna, malangnya kurang berkesan untuk persediaan menjadi seorang anak sekolah dalam sistem sekular semasa.

Tidak hairanlah, apabila Nisa, yang ketika berumur lima tahun saya hantar ke tadika ABIM, kemudian dengan berat hati saya pindahkan untuk mendapatkan satu corak sistem pendidikan tadika lain iaitu ke Tadika Tinkerbell pada tahun berikutnya.

Bagi mengatasi masalah pembacaan Wani dan Nisa, maka sejak hari itu, saya telah membeli banyak buku cerita teladan kanak-kanak. Buku-buku yang saya pilih umumnya kisah binatang seperti Si Kancil dengan Buaya, Anjing dengan Bayang-bayang, Kisah Arnab dan Kura-kura  dan sebagainya. 

Buku-buku ini umumnya bersaiz  dua A4 dengan berlipat dua, 'binding' pin di tengah-tengah dengan 16 muka surat.  Setiap muka ada ruang bergambar warna sebesar 3/4 muka surat  dan tulisan atau ayat pada tiga baris di bawahnya.

Setiap malam, pada awal-awal tahun persekolahan sekolah dasarnya, saya secara tegas memaksa anak-anak membaca buku cerita secara mengeja. Alhamdulillah, tidak sampai satu bulan, mereka sudah mampu membaca dengan pantas. 

Kejayaan ini bagaimanapun mewujudkan masalah baru apabila  saya kemudiannya terpaksa sentiasa membekalkan pelbagai buku cerita untuk bacaan mereka setiap masa teermasuk buku-buku berbhasa Inggeris. Sehubungan, kesan baiknya turut dirasakan  apabila penguasaan Bahasa Melayu juga Inggeris mereka amat baik kalau tidak cemerlang hari ini.

Menyedari masalah membaca yang dihadapi oleh anak-anak inilah, saya sejak itu giat membaca dan mencari. Saya berhasrat mencari satu kaedah yang mudah bagaimana membolehkan  anak saya Nazrin, berumur tiga tahun ketika itu boleh membaca dengan baik dan sempurna walaupun dia belum memasuki alam persekolahan sebenarnya. 

Sejak itu, saya mula rajin ke kedai-kedai jualan buku lama atau "second hand book shop" untuk mencari buku-buku sebegitu. Nasib baik, satu hari saya 'terserempak' dengan sebuah buku berjudul, "HOW TO TEACH YOUR THREE YEARS OLD CHILD TO READ" atau terjemahan Bahasa Melayunya, "Bagaimana Mengajar Anak Anda Berumur Tiga Tahun Membaca". 

Pada bahagian pengenalannya, penulis buku itu (lupa namanya) membuat satu analogi seperti contoh di bawah ini. Bagaimanapun, untuk memudahkan kefahaman anda semua, contoh itu saya telah me'malaysiakan'nya.

Menurutnya, bila dalam kereta melalui satu premis niaga ini, anak 'saya' segera menyebut KFC. Walhal, ketika itu dia baru berumur 3 tahun dan masih belum bersekolah mahupun belajar membaca. Begitu juga ketika melalui bangunan kembar mencakar langit, dia juga segera menyebut KLCC. Begitu juga dengan pelbagai jenama kereta seperti Proton, Perodua atau jenama makanan segera seperti MILO, ORION, Maggie Mee serta yang terbaru PAMOGA Qu Puteh dan sebagainya.

Berdasarkan teori buku itu, anak-anak akan mudah menyebut sesuatu jenama atau nama sesuatu benda jika setiap hari dia diperdengarkan nama itu kepadanya. Sebagai contoh, setiap hari di kaca TV, iklan KFC diputarkan. Setiap kali jenama KFC dipaparkan maka sebutan nama KFC dizahirkan. Kemudian anda perhatikan anak anda. Apabila terlihat foto orang tua berambut putih, dia pasti akan menyebut KFC.

Jadi secara mudah, kaedah pendidikan ini berasaskan PAPAR, SEBUT, PAPAR, SEBUT dan berulang-ulang. Saya lupa  nama teori ini secara akademik, kerana peristiwa ini berlaku lebih 22 tahun lalu. 

Kaedah ini sebenarnya tidak membebankan dan menggunakan biaya yang banyak. Yaang diperlukan adalah kad warna putih berukuran 1/3 kertas keras A4, dan pen magic warna merah.Tidak banyak kos lain yang diperlukan kecuali satu 'perasaan ikhlas mahu mendidik anak dan perasaan sabar'.

Motonya juga mudah. 'ONE WORD A DAY' atau 'SATU KATA SATU HARI'

Saya amat tertarik dengan teknik yang diberikan dalam buku itu. Oleh kerana ketika itu, projek video dokumentari agak kurang, dan saya ketika itu adalah seorang Perunding Media Bebas atau Media Freelancer, maka saya telah cuba mempraktikkan kaedah yang dipaparkan dalam buku itu kepada anak bongsu saya Nazrin.

Saya terkejut dengan hasil dari eksperimen ini. 

Dalam tempoh tiga bulan, Nazrin mampu mengingat dan menghafal 100 perkataan dan dapat membentuk ayat-ayat ringkas berdasarkan kaedah pembelajaran ini. Dalam kata lain, Nazrin berumur 3 tahun ketika itu sudah mampu membaca.

Untuk tulisan akan datang saya akan paparkan secara  berperingkat. kaedah mengajar anak anda berumur tiga tahun untuk membaca. Namun, jika anda telah atau pernah atau mempunyai kaedah didikan cara lain, abaikan saja tulisan ini. 

Apatah lagi ia sudah lama berlalu dan Nazrin hari ini telah lulus BE Hons dari Fakulti Kejuruteraan UiTM Shah Alam. Dua kakaknya adalah  lepasan Universiti Malaya dan bekerja di Sime Darby dan dari Universiti Teknologi Malaysia dan bekerja di Telekom Malaysia.


Friday, March 23, 2012

KETURUNAN NEK JAMBAK GADANG KAPAU


Untuk penulisan kali ini, saya ingin menjuruskan kepada keturunan dari suku Jambak Gadang (Besar) di Nagari Kapau. Bagaimanapun, sebelum saya meneruskan penulisan ini, saya memohon ribuan maaf jika ada kesilapan kerana pemberi maklumat mengenai salasilah ini telahpun meninggal dunia.

Perlu juga dimaklumkan bahawa, sebagaimana umum diketahui orang, catatan ranji ini, lebih menjurus kepada pecahan keturunan wanita atau matrilanial. Justeru keturunan sebelah lelaki tidak begitu banyak diperkatakan. Namun begitu, sebaik mungkin akan juga saya catatkan sekiranya saya ada pengetahuan mengenai anak-anak lelaki itu.

Selain itu, adalah juga menjadi harapan saya, agar saudara-mara saya yang mengikuti ruangan saya ini turut membantu saya untuk memperbetulkan atau menambahkan atau memberikan fakta tambahan jika ada. Malah, jika ada yang ingin memberikan fakta baru catatan keturunan keluarga mereka, untuk saya muatkan dalam blog ini, silakan berbuat demikian dengan menghantarkannya melalui e-mail saya : anugerahilmu@yahoo.com atau sudirmanrosli@gmail.com.

KETURUNAN NEK JAMBAK GADANG.

Mengikut catatan ranji keturunan Nek Jambak Gadang, beliau semasa hayatnya mempunyai tiga orang anak iaitu seorang lelaki AH Mujamil dan dua orang perempuan. Kedua-dua anak perempuan Nek Jambak Gadang inilah kemudiannya menzahirkan dua kelompok atau pecahan anak-cucu keturunan mereka kepada dua iaitu Nek Jambak Dt Mulio Rajo (DMR) dan Nek Jambak Dt Sampono Kayo (DSK).

KETURUNAN NEK JAMBAK DT. MULIO RAJO (DMR).

Nek Jambak (DMR) dipercayai mempunyai seorang anak perempuan (namanya tiada dalam catatan) yang saya sebut Anak Nek Jambak (ANJDMR). ANJDMR semasa hidupnya dipercayai mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Salimah, Midah dan Sawiyah.

Salimah semasa hayatnya mempunyai tiga orang anak iaitu Nek Angguik, Nek Impang dan Nyek Kali. Bagaimana, saya tidak pasti sama ada ketiga-tiga mereka lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, dari catatan ranji, keturunan melalui warisan perempuan terputus di situ saja.

Sementara Midah pula, mempunyai kembangan keturunan yang amat ramai. Semasa hayatnya, beliau mempunyai empat orang anak iaitu Supik, Dalimi, Kamariah dan Jawani.

Supik dan Dalimi, dalam catatan ranji itu, tidak dinyatakan mempunyai keturunan. Bagaimanapun, Kamariah mempunyai enam orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Sabian, Sabirin dan Danuwir serta tiga anak perempuan iaitu Nurma, Anizar dan Zaharni.

Nurma dikatakan mempunyai enam orang anak iaitu Zuberdi, Salman, Sahril, Suriati, Heri dan Yun. Anizar pula mempunyai lima orang anak iaitu M. Nazir, Rosnita, Jonis Jambak, Indra dan Misra. Sementara Zaharni pula mempunyai enam orang anak iaitu Nel, Joni, Ijal, Yos, Nur dan Doni.

Seorang lagi anak Midah iaitu Jawani (Nek Jawa) yang berkahwin dengan adik nek Upik (Jambak Kacik Banda Baru) saya, Sutan Rajo Ameh mempunyai tiga orang anak iaitu Abral (ayah Jon), Nurul Huda (Tek Uda) dan Busra (Tek Bus). Mengikut catatan Tek Bus mempunyai empat orang anak iaitu Adman iaitu Dt. Mulio Rajo sekarang, Derwati, Lastri dan Hendri Jon. Sementara Etek Uda tidak mempunyai anak.

Sementara anak ANJDMR seorang lagi, Sawiyah mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Haji Yusup, Nek Unyiang, Nek Inggi dan seorang perempuan, Khadijah iaitu moyang kepada isteri saya Riswati. Nek Khadijah semasa hayatnya mempunyai tiga orang anak iaitu Ahmad gelar St Mudo (Sikawa) bapa arwah Etek Yus dan Om Bujang (Petaling Jaya), Kaidir bapa Yun dan Nenek Majidah (Nek Maji, nenek isteri saya, Riswati).

Nenek Majidah yang berkahwin dengan Atuk Jelani (rujuk catatan awal) mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Samsiah dan Masiah (etek Adik). Ibu Samsiah (mentua saya) mempunyai tiga orang anak iaitu Riswati, Shahrial dan Tamrin Fooad sementara Masiah mempunyai lima orang anak iaitu Azizah, Kamsiah, Abd. Aziz, Zaini dan Hasri. Kesemua cucu Nek Majidah (Nek Maji) tinggal di Malaysia.


KETURUNAN NEK JAMBAK DT. SAMPONO KAYO (DSK)

Berdasarkan catatan ranji yang saya terima, Anak Nek Jambak Dt. Sampono Kayo (ANJDSK) mempunyai tiga orang anak iaitu seorang perempuan yang disebut Amai Kak Jilan, dan dua orang lelaki iaitu Ariffin dan Musali.

Amai Kak Jilan semasa hayatnya dikatakan mempunyai empat orang anak iaitu Kak Jilan, Hjh Niah, Marasi dan Mak Dang Pakiah. Marasi dan Mak Dang Pakiah tercatat dalam ranji tidak mempunyai keturunan. Sementara Hjh Niah mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Kiar, Mursit dan Nazarwan.

Tidak hairanlah sekiranya keturunan ANJDSK banyak bertalian dengan keturunan Kak Jilan. Kak Jilan semasa hayatnya mempunyai tiga anak lelaki iaitu Amir di Brunei, Minhar di Kg Medan Kuala Lumpur (baru meninggal dunia) dan allahyarham Zainal Dt. Sampono Kayo, serta seorang anak perempuan Zaimudar. Zaimudar dicatatkan mempunyai tiga orang anak iaitu Yuswati, Jon dan Ides.

Maaf saya tidak sempat mendapatkan maklumat nama Dt Sampono Kayo yang baru.

Demikian sedikit catatan mengenai ranji Jambak Gadang di Kapau. Bagaimanapun, sekali lagi saya memohon maaf jika catatan saya ini kurang tepat adanya.

Monday, February 13, 2012

KETURUNAN NYEK KUMBOH


Maaf kerana agak lama tidak menulis dalam blog ini, kerana saya terbabit dalam beberapa aktiviti yang memerlukan komitmen sepenuh masa. Kini, urusan itu sudah kembali normal.

Sebelum, saya meneruskan tulisan ini, saya ingin membuat sedikit penambahan mengenai hal Datuk Mirun, ayah kepada kedua-dua ibu tiri saya Hajah Ramlah dan Hajah Norniah. Dapatan bagi melengkapkan butiran mengenai Atuk Mirun ini saya perolehi baru-baru ini, apabila saya berkunjung ke Kapau Bukit Tinggi Sumatera pada awal Februari lalu.

Saya difahamkan, bahawa Atuk Mirun adalah orang asal Induring Kapau dari suku Tanjung atau tepatnya keluarga ayahanda saya Dt Sipado Basa. Tanah asal, kediaman beliau adalah di belakang tanah dan rumah ayah saya di Induring Kapau.

Atuk Mirun diyakini mempunyai seorang adik perempuan. (Maaf kerana masih belum saya perolehi namanya). Sebagaimana saya paparkan terdahulu, beliau mempunyai dua orang isteri. Isteri pertamanya, orang Pandan Banyak suku Melayu bernama Nek Salimah sementara isteri keduanya, Nek Mari Marasi, orang kampung Cubadak di Kapau Ujung. Nama anak-anak Atuk Mirun telah dipaparkan terdahulu.

Sementara adik beliau, mempunyai tiga orang anak iaitu Dalimah, Hassan Burus dan Sulaiman (Pak Ngah Sulaiman Mantin ayah Along Nasrullah), Dalimah dan Hassan Burus semasa hayatnya tidak mempunyai keturunan, sementara anak-anak Pak Ngah Leman, telah dipaparkan terdahulu.


KETURUNAN NEK KUMBOH

Saya difahamkan, nama Nek Kumboh ini bukan nama sebenarnya. Nama ini berbangkit sejak muda, apabila beliau dikatakan kerap ke pasar kota Paya Kumboh untuk berjual kain.

Sepanjang hidupnya Nenek Kumboh telah berkahwin sebanyak dua kali. Dengan suami pertamanya, beliau mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Siah dan seorang lagi yang namanya tiada dalam pengetahuan (B). Sementara dengan suami keduanya, beliau juga mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Sicah dan Tandin.

Siah dikatakan mempunyai seorang anak iaitu Salimah. Salimah dalam paparan terdahulu, telah berkahwin dengan Atuk Mirun dan mempunyai lapan orang anak iaitu Ramlah, Norsian, Norniah, Zain, Mamat, Bahari, Adan, Ali. Sementara anak keduanya (B), mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Nek Ayu dan Nek Pono. Kedua-dua mereka dikatakan tidak mempunyai keturunan.

Sementara Sicah dari suami kedua, mempunyai empat orang anak iaitu Juli, Daswir, Nek Palang Johor Baru, dan Nek Sawati. Juli mempunyai beberapa orang anak termasuk Imun, Izah, dan Aril, sementara Daswir tinggal di Kluang dan berkahwin dengan kakak kepada abang ipar saya Mohd Noor, Nek Palang Kayo tinggal di Johor Bharu adalah ayah Etek Narlis, Iman, Yusof dll, sementara Nek Sawati isteri Atuk Sidi Maradjo, adik tiri Nenek Upik Rohani (ibu bonda saya) yang mempunyai dua anak iaitu Nismar (ibu Refni Adeng Segamat) dan Norlaili (Kampung Medan PJ). Dua lagi anak Nek Sawati dari suami kedua orang Pandan Banyak adalah Rubiah dan Anwar.

Adik Sichah, Tandin pula mempunyai empat orang anak iaitu Karana, Radewan, Abdul Muis dan Rafini (Nyek Bongsu). Antara anak-anak Karana ialah Mohamad Affendi dan Ima di Jakarta. Radewan pula bapa Zismah di Jakarta, Abdul Muis yang bermastautin di Sentul Kuala Lumpur adalah bapa mertua kemenakan saya Masniyati anak Mawardi Dt Munchak dan Rafini Sutan Rajo Bongsu @ Nek Bongsu adalah ayahanda Dodie, Daman dan bapa mentua kepada Along Nasrullah Johor.


Catatan:

Saya telah ditanya oleh seorang pelawat mengenai Neneknya bernama Raelah. Dari kajian yang saya lakukan di kampung Induring Kapau, Nenek Raelah adalah bersuku Jambak Gadang dan tinggal di Kampung Pisang. Beliau mempunyai beberapa orang anak antaranya Etek Maznah (terakhir saya temui di Kajang) dan Etek Putih (telah meninggal dunia). Rumah asal Nek Raelah adalah berhampiran rumah nenek isteri saya Nek Majidah ( Nek Maji) di Kampung Pisang. Maaf jika maklumat ini kurang tepat.


Friday, November 18, 2011

TRAGEDI 20 JANUARI 1983


Jam sudah menghampiri jam dua pagi, ketika aku terdengar ketukan kuat di pintu rumah sewaku di Seksyen 14 Petaling Jaya. Terdengar sayup-sayup suara memanggil-manggil namaku.

Aku bingkas bersahaja seolah-olah sudah menduga kewujudan keadaan itu.

Sejak petang hari, hatiku sudah gelisah dan berkeadaan tidak tentu arah. Malah keadaan itu berlaku kepadaku sepanjang beberapa hari sebelumnya. Saban malam terasa berat untuk aku melelapkan mata, Kotak fikirku menerawang jauh-jauh entah ke mana.

Lebih menggelisahkanku, sejak beberapa hari ini, aku melihat dua ekor rama-rama putih berterbangan bebas di dalam rumah dan bilikku. Pada awalnya aku tidak menduga apa-apa. Namun, apabila rama-rama itu terus kekal di rumah itu untuk beberapa hari, ia sedikit banyak menimbulkan tanda-tanya.

Ketukan pintu dan jeritan memanggil namaku terhenti sebaik saja aku membuka pintu. Di muka pintu kelihatan Uncle Borhan Mirun. Aku terkejut melihat kehadirannya di situ pada waktu yang dia tidak sepatutnya berada di situ.

Pastinya ada sesuatu yang berlaku.

" Eh Han..?" sapaku agak terkejut. Aku biasa memanggilkannya pada nama walaupun pangkatnya adalah bapa saudara kerana dia sebaya denganku. " Masuklah," sambungku.

" Tak apalah. Sini saja. Sebenarnya aku ada satu perkabaran nak sampai pada kau," jawabnya. Kelihatan benar dia agak kepayahan untuk meneruskan kata-katanya itu.

" Perkabaran..? Apa..?" zahir saya yang sudah mula agak gelisah. Pastinya perkabaran itu sesuatu yang tidak enak kerana Borhan terpaksa datang ke situ dari rumahnya di KL untuk memaklumkan kepadaku suatu berita.

" Aku dapat panggilan telefon tadi," zahirnya satu persatu. " Senja tadi ada satu kemalangan kereta di Batu Pahat. Kabarnya ada kematian saudara kita. Namanya Rifdayanis , Haji Rosli dan Mohd Nor Malim Muda,"

Aku benar-benar tergamam mendengar perkabaran itu. Tubuhku terasa amat lemah. Jiwaku terasa amat luluh sekali.

" Berapa orang yang meninggal ni Han..?" tanyaku untuk kepastian. " Dua ke tiga..?"

" Aku kurang jelas. Kata telefon tu, Rifda Yanis, Haji Rosli dan Mohd Nor Malim Muda. Mungkin tiga."

" Termasuk ayah..?"

" Tak pasti ...mungkin kot..." katanya lagi.

Kami tidak banyak berbual selepas itu kerana Borhan meminta izin untuk pulang. Sebaik saja dia pergi, aku bergegas melengkapkan diri dan dengan kereta Ford Escort aku bergegas ke sebuah asrama UPM Serdang untuk mengambil adikku Martini yang masih belajar di sana.

" Man, abang ni...?" teringat aku di sepanjang perjalanan itu, perbualan telefon antaraku dengan abang Mohd Nor anggaran jam 4.15 petang itu. Ketika itu aku baru saja meninggalkan mejaku di Unit Pengambilan kakitangan UM, kerana waktu kerja kerajaan berakhir jam 4.15 petang.

" Bang... Kenapa bang..?" jawabku.

" Saja abang nak tanya, Man balik tak esok..Abang, Kak Ida dengan ayah nak bertolak ke Melaka sekejap lagi...," zahir Abang Mohd Nor.

" Balik Melaka..buat apa...Bukannya abang boleh tolong pun. Ayah kalau dah kata macam tu, dia tak mahu berubah..." lahirku apabila mendengar nama ayah disebut.

" Mari kita sama-sama berbincang. Abang dan Kak Ida nanti pujuk ayah.." zahir Bang Mohd Nor lembut seperti memujuk.

" Ah tak payahlah bang.. buang masa aje..Lagipun saya dah menyampah dengan semua orang," lahir saya melepaskan geram.

" Menyampah dengan semua orang...? Dengan abang pun..?" zahirnya sedikit sedih.

" Yalah..dengan abang pun..." lahir saya dengan rasa geram lagi. Kelihatan abang Mohd Nor, abang ipar suami Kak Rifdayanis, terdiam seketika. Tiba-tiba saya merasa kesal yang amat sangat menzahirkan kata-kata itu kepadanya.

" Tak apalah kalau Man menyampah pada abang. Tapi abang dan Kak Ida harap Man dapat balik ya.. Nanti kita sama-sama pujuk ayah. Rasanya hati ayah dah sedikit lembut..Man balik ya..." pujuknya lembut lagi.

" Tengoklah nanti.." lahir saya dengan suara sedikit kendur.

" Man balik ya... nanti kita jumpa di Melaka.. Balik ya Man.." lahirnya lembut lagi. Terlalu lembut sehingga menimbulkan rasa pilu di hati.

Setelah mengambil Martini, kami meneruskan perjalanan ke Hospital Batu Pahat. Sepanjang perjalanan kami tidak banyak berbual. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

Fikiranku menerawang kepada beberapa peristiwa yang berlaku sebulan lalu apabila aku menemani Abang Mohd Noor berjumpa abangnya Baharom di Semenyih Kajang. Ketika itu abang Mohd Nor mahu menyerahkan wang bahagian jualan tanah Semenyih kepada abangnya. Bahagian lain telah diserahkan kepada kakak-kakaknya di Johor, Jakarta dan Padang Sumatera.

Bagaimanapun, abangnya, Baharom tidak mahu menerima bahagiannya ketika itu dan meminta Mohd Nor memberikannnya kemudian. Mereka kemudiannya, bersama-sama berkunjung ke pusara bapa mereka Atuk Malim Muda dan sama-sama berjanji untuk membersihkan dan mencantikkan pusara itu.

Lewat tengahari Abang Mohd Nor dan Kak Ida dan aku meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan berihat di rumah sewaku ketika itu di Jalan Raja Alang Kampung Baru. Ketika itu, aku melihat kedua-duanya semacam termenung panjang dan kelihatannya begitu sugul sekali. Pada saat itu aku tidak terfikirkan apa-apa kerana mengandaikan mereka mungkin agak keletihan kerana perjalanan dari Melaka ke Semenyeh dan terus ke Kuala Lumpur.

" Berapa orang sebenarnya meninggal?" tanya Martini kepadaku tiba-tiba dan sekaligus melupuskan kenanganku.

" Tak pasti. Kata Cik Borhan Rafdayanis Haji Rosli dan Mohad Nor Malim Muda. Dia pun tak jelas. Dua ke tiga yang meninggal. Tapi sebutan Rifdayanis dan Haji Rosli tu dia sebut satu-satu," jawabku.

Kami terdiam lagi dan masing-masing meneruskan lamunan sendiri-sendiri. Kereta yang kupandu laju itu, kelihatannya bergerak dengan amat perlahan sekali.

Tiba-tiba ingatanku terpalit kepada ayah. Memang sejak akhir-akhir itu hubunganku dengan ayah agak dingin sedikit kerana ayah tidak bersetuju dengan calon isteri pilihanku,

Pernah aku meminta Abang Mohd Nor dan Kak Ida serta kakak-kakakku yang lain memujuk ayah untuk merestui calon pilihanku. Namun ayah menolaknya kerana wanita itu dikatakan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keluargaku yang besar serta yang terpenting tidak pandai 'lari' ke dapur sebagaimana lazimnya anak-anak gadis 'orang awak'. Aku teringat, keadaan itu, apabila wanita itu kubawa menemui keluargaku suatu masa lalu.

Bagaimanapun, alasan terpenting mungkin, ayah telah menemui seorang calon isteri yang dikatakannya ' telaga bawah gunung' untukku. Wanita ini juga 'orang awak' , lahir di Batu Pahat dan membesar di Singapura dan Johor Bharu. Dia pernah dicadangkan kepadaku pada tahun 1981, tetapi aku menolaknya ketika itu.

Kelihatannya, ayah masih teguh pendiriannya dan mahukan aku menerima calon pilihan isterinya untuk aku, anak lelakinya.

" Ya Allah, ya tuhanku," bisik hatiku sambil memanjatkan doa kepada Ilahi. " Aku mohon, kalau ayahku masih hidup, kamu pulihkan dirinya seperti sedia kala, kerana aku benar-benar kesal dengan apa yang berlaku dan aku belum lagi meminta ampun kerana kederhakaanku. Dan jika ayahku masih hidup lagi, Ya Allah, aku berjanji padaMu, aku akan menerima siapa saja calon isteri pilihan ayahku. Ya Allah, ampunilah daku."

Kereta yang kupandu itu akhirnya tiba juga ke Hospital Batu Pahat hampir subuh. Dari jauh kelihatan sudah ramai kaum keluargaku. Masing-masing kelihatan begitu sedih dengan pemergian saudara yang tersayang. Aku bergegas menemui mereka untuk bertanya kabar.

" Ayah masih hidup tetapi sedang koma. Tapi.." zahir mereka tanpa dapat meneruskan kata-kata. Aku faham maksudnya iaitu Kak Ida dan Mohd Nor telah meninggal dunia dalam kemalangan itu. Aku juga difahamkan , seorang lagi penumpang kereta tersebut, Nurmazlina, anak kemenakanku berumur kurang satu tahun terselamat dalam tragedi itu.

Dia ketika itu dibaringkan di tempat duduk belakang dan dalam tragedi itu dia terperosok di bawah ruang tapak kaki dan terlindung dari kesan tragedi. Alhamdulillah.

Kami bergegas melihat ayah yang terbaring tidak sedar diri sambil memanjatkan seribu doa dan kesyukuran kerana Allah masih menyayanginya. Kami kemudiannya mengunjungi bilik mayat untuk melihat wajah-wajah insan kesayangan itu. Rasa kesal yang teramat sangat bila mengenangkan butir tuturku pada petang itu dan ternyata benar arwah bang Mohd Nor beriya-iya memintaku pulang, kerana 'dia mahu aku turut bersama mengiringinya ke alam abadi'.

Esoknya, kedua-dua jasad itu kami bawa pulang ke Kluang di rumah mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu menjelang tengahari. Mereka meninggalkan empat orang anak yang masih kecil ketika itu dengan yang tertua Shahril berumur 14 tahun. Nasib dan umurnya sama ketika aku adik beradik ditinggalkan ibu Norlela pada tahun 1965.

Sebaik saja kembali dari tanah perkuburan, abang kepada abang Mohd Nor, Baharom tiba dari Semenyih. Dia menangis teresak-esak dan dalam butiran tangisan itu, beliau berkata, " Mohd Nor, aku halalkan semuanya, aku halalkan semuanya dan aku tidak mahu minta apa-apa," zahirnya lantang serta didengari oleh ramai orang.

Setelah menyelesaikan semua urusan, kami bergegas kembali ke Hospital Batu Pahat. Ayah masih juga koma dan masih tidak sedarkan diri. Ketika itulah aku menghampiri Along Rosnina dan memberitahunya tentang doa dan niat serta janjiku pada Allah iaitu akan sedia menerima siapa saja calon isteri pilihannya untukku.

Ayah mula sedar diri anggaran tiga hari kemudian. Soalan pertama yang ditanyanya adalah di mana menantu dan anaknya. Demi untuk kesihatannya, kami berbohong dengan mengatakan kedua-dua mereka berada di wad lain. Bagaimanapun, rahsia itu terpecah juga apabila ramai saudara-mara yang mengunjunginya memaklumkan kedua-dua mereka sudah tidak ada lagi di dunia.

Ayah ternyata sebak dan berdiam diri beberapa waktu selepas itu. Bagaimanapun, beliau cepat sembuh dan meninggalkan hospital Batu Pahat sepuluh hari kemudian. Mungkin, mana tahu, kecepatsembuhan ini turut bertalian dengan berita baik dari Along Ina mengenai persetujuanku menerima calon isteriku dari pilihannya sendiri. Selain berita sedih pemergian anak menantu kesayangannya, dia juga menerima berita gembira mengenai persetujuan anak lelaki kepala batunya. Mana tahu.

Kenang-kenangan ini akan kekal abadi dalam lipatan hidupku. Semoga Allah menempatkan roh-roh mereka di kalangan roh-roh orang Soleh dan Solehah.

Amin.




Friday, September 30, 2011

GOYANG-GOYANG DAPEK PITIH


" ..Anak urang Kapau yo?" tiba-tiba saya ditegur oleh seorang tua yang berpakaian kemas, dalam bahasa Minangnya. Wajahnya agak sugul dan dia kelihatannya agak kelelahan. Di sampingnya ada seorang lelaki Melayu.

" Ya.." jawab saya lalu menyambut tangannya untuk bersalam.

" Anak sia..ayah sia namo..? " tanya orang tua itu lagi.

" Haji Rosli. Gelarnya Datuk Sipado Basa," jawab saya lagi. Ketika itu saya sudah kehilangan punca kerana tidak tahu siapa lelaki tua itu. Suatu yang pasti, dia adalah orang awak dan berkemungkinan besar dari kelompok keluarga saya sendiri orang berketurunan Kapau.

" Datuk Sipado Basa..!!!???. Brunei...," katanya perlahan seperti berfikir sesuatu. Lelaki tua berumur anggaran lewat 70 tahun itu kemudian berpaling ke arah lelaki Melayu di sebelahnya.

" Encik.. ini saudara saya.." katanya sedikit seronok. " Tinggalkan saya di sini saja.." tambahnya lagi.

Lelaki Melayu itu kelihatan amat gembira dengan pertemuan lelaki itu dengan saya. Dia memberitahu, dia sebenarnya adalah seorang pemandu teksi . Lelaki tua itu dirasakan agak keliru atau tersesat. Dia memintanya menjejaki mana-mana kedai yang ada menjual songkok di Kajang kerana kemungkinannya adalah besar, salah satu kalau tidak semua mesti terdiri dari saudara-maranya keturunan anak Kapau.

Pemandu teksi itu memaklumkan betapa dia telah menjejaki setiap kedai yang ada menjual songkok di Bandar Kajang itu dan akhirnya mereka tiba di kedai saya yang ketika itu terletak berhampiran pasar Kajang.

Peristiwa ini berlaku anggaran pertengahan tahun 1996 tidak lama selepas ayah mentua saya, Nabawi Datuk Gadang Majo Lelo meninggal dunia. Saya difahamkan juga kemudian, lelaki ini tidak lama kemudian telah meninggal dunia. Maaf, saya tidak teringat namanya.

Lelaki malang itu lalu saya bawa ke rumah. Di rumah ketika itu ada ibu mentua saya dan isteri. Dia kelihatan begitu seronok berbual-bual dengan ibu mentua dan isteri saya, kerana sudah pasti kami adalah saudara-maranya juga dan ada petalian keluarga.

Petang itu, melalui beberapa nombor dalam buku catatannya, saya menelefon anak-anaknya di Kluang atau Segamat (terlupa). Keesokan harinya, salah seorang anaknya yang tinggal di Kuala Lumpur datang menjemputnya.

Sebenarnya, kisah lelaki tua ini adalah satu enekdot. Apa yang cuba saya paparkan adalah, berbanding dengan suku kaum Melayu juga orang Minangkabau lainnya, anak-anak Kapau, walau ke mana saja mereka pergi di sekitar Tanah Melayu, Singapura, Brunei atau Kepulauan Borneo, mempunyai kemungkinan mereka tidak akan tersesat kerana saudara-mara mereka ada di mana-mana.

Satu saja cara yang boleh mereka jejaki saudara-mara mereka adalah mengikut kaedah yang digunakan oleh lelaki tua tadi, iaitu dengan mencari kalangan atau keturunan orang yang berjual songkok atau lebih baik kalangan yang menjahit atau memasang songkok kerana kemungkinannya adalah besar, salah seorang kalau tidak semua, adalah terdiri dari anak atau keturunan Kapau itu sendiri.

Sebenarnya, menjual atau memasang songkok inilah identiti kelompok kita, orang Kapau di Malaysia, Singapura atau Brunei, selain menjual kuih apam balik atau berniaga nasi padang.

Warisan memasang dan menjual songkok ini, dipercayai bermula dari beberapa orang moyang kita yang memulakan perniagaan ini di sekitar Seremban termasuk Nyeik Sheikh Haji Husin, Hj. Tahir juga beberapa nama lain seperti Hj Abbas .

Dari Seremban, pewaris-pewaris songkok keluarga kita, kemudiannya mengembangkan sayap niaga ke beberapa kawasan sekitar seperti ke utara di Mantin, Pajam, Baranang, Hulu Langat, Kuala Lumpur, Kelang, Banting; atau Selatan ke Tampin, Lubok China, Masjid Tanah, Melaka, Merlimau dan Muar.

Generasi seterusnya, melebarkan sayap jauh ke selatan hingga ke Kluang, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru langsung ke Singapura dan Brunei. Sementara di utara mereka melimpasi hingga ke Kuala Kangsar, Taiping dan terus ke Alor Setar. Di pantai timur, jika tidak silap keluarga kita ada di Kuantan dan terus ke Kota Baharu.

Sekali lagi saya ingatkan, inilah identiti kita orang Kapau di Perantauan Malaysia, Singapura dan Brunei. Songkok adalah satu perlambangan jati diri khas bagi orang-orang Kapau dari begitu ramainya kelompok suku-kaum keturunan orang Minangkabau.

Tidak hairanlah, kalau kita semua mempunyai satu persamaan iaitu kejayaan kita menjadi 'orang' pada hari ini adalah lanjutan dari hasil titik peluh ibu-bapa, datuk nenek dan moyang kita yang berniaga asal menjual, memasang dan membuat songkok. Malah, warisan membuat songkok ini, kelihatan masih kekal ke hari ini pada sebahagian waris walaupun ramai juga anak-anak keturunan Kapau yang telah melangkaui batas ilmu termasuk menjadi doktor, jurutera, usahawan, pendidik, peguam dan sebagainya.

Jangan lupa sejarah dan jangan lupa asal-usul kita.

Satu lagi perkara menarik yang ingin saya paparkan adalah, keluarga orang Kapau, umumnya pedagang dan mereka umumnya tinggal di kota-kota atau pekan di serata negara. Mereka tidak mempunyai satu penempatan tetap atau di panggil kampung kerana istilah kampung atau nagari bagi mereka adalah di bumi Kapau.

Tidak hairan, sekiranya, tradisi hubungan silaturrahim dan kekeluargaan mereka di peratauan dengan desa Kapau tidak pernah putus berbanding dengan kelompok Minangkabau lain yang hanyut ditelan zaman dan masa. Justeru itu, janganlah ada sesiapa daripada kita yang begitu celupar yang cuba mahu merosakkan hubungan sebegini yang sudah lama terbena dari zaman datuk moyang kita lagi.

Istimewanya orang Kapau, dapat dilihat sebagaimana usikan masyarakat tempatan, suatu masa lalu. Menurut mereka, "Hebatnya orang awak. Orang lain susah payah cari pitih (duit), tapi orang awak goyang-goyang dapek pitih (Goyang-goyang kaki (menjahit songkok) dapat duit)."

Masih terngiyang-ngiyang di kepala saya, butir tutur ayahanda saya suatu masa lalu.

" Kita ni bukan sekadar orang Minangkabau, tapi kita ni adalah Orang Kapau".




Friday, August 12, 2011

APAM BALIK SAMBAL PETAI.IKAN BILIS


" Bancuhlah lagi, tepung tu.." teringat saya kata-kata ayah, tentang arwah mak, suatu malam anggaran awal tahun 1960-an. Ketika itu, Jabatan Penerangan , baru saja menamatkan persembahan wayang pacaknya di kawasan Padang Bola lama Masjid Tanah.

Padang bola yang penuh dengan manusia penduduk sekitar Masjid Tanah sebentar tadi, sudah mula lengang. Hanya kelihatan beberapa kerat manusia yang sengaja membuang masa sambil berbual-bual sesama teman.

" Orangkan dah kurang. Buat apa bancuh lagi tepung. Nanti kita rugi," balas ayah. Beliau tidak mahu mengambil risiko dalam berjualan kuih apam balik ketika itu.

" Bancuh sajalah barang satu dua kati," minta mak lagi.

" Nanti rugi kalau tak habis," balas ayah lagi.

" Kalau tak habis, kita buangkan saja nanti. Tapi kalau habis, dapat juga tambah-tambah duit barang lima enam ringgit lagi," balas emak.

Ayah, mungkin kerana malas mendengar leteran mak, segera membancuh tepung untuk membuat kuih apam balik.

Ternyata kedegilan mak itu, membuahkan hasil. Apa tidaknya, apam balik yang dimasak panas dan menghampiri tengah malam ketika itu, membuka selera mereka yang ada beberapa kerat lagi di situ.

Bacuhan terakhir itu, ternyata kemudiannya bertukar dengan ringgit Malaya.

Kedegilan dan kegigihan mak menghambat rezeki inilah, yang kerap ayah zahirkan dan ulangingat kepada kami apabila beliau terkenangkan arwah isterinya yang meninggal dunia pada tahun 1965.

Pada tahun 1966, ayah berhijrah ke Brunei dan perniagaan pertamanya di sana adalah menjual kuih apam balik. Ketika itu, kalau tak silap, di Brunei hanya ada tiga jenis kuih popular termasuk lemang dan penyaram.

Tidak hairanlah, dalam beberapa bulan pertama, penduduk Brunei, memberikan sambutan yang amat hebat. Mereka terpaksa berbaris panjang semata-mata mahu mendapatkan kuih apam balik yang ketika itu di Brunei dipanggil kuih Malaya. Ayah kekal meneruskan usaha menjual apam balik (diuruskan oleh ibu Nurniah), hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1993.

Kisah ini, sebagaimana yang dinyatakan, berlaku anggaran tahun 1960-an. Namun, seingat saya, kuih apam balik ini, telah wujud lama sebelum kelahiran saya lagi, anggaran tahun sebelum perang dunia kedua. Hitung panjang usia apam balik ini, mungkin sudah memasuki 80 tahun atau lebih.

Sebenarnya, sifat apam balik yang dihasilkan itu, bukanlah berbentuk apam balik krispi atau apam balik bersaiz kecil seperti yang terdapat hari ini. Apam balik yang dihasilkan itu, menggunakan kuali tembaga bersaiz 12 hingga 14 inci diameter yang begitu berat sekali untuk mengangkatnya. Apabila apam balik telah mula masak, gula halus akan ditebarkan secara merata, diikuti dengan kacang tanah yang ditumbuk hancur, serta diberikan perasa marjerin dan mungkin diletakkan beberapa butir kismis.

Dewasa ini, masih ramai kalangan saudara-mara saya yang masih kekal menjual kuih apam balik bersifat sebegitu khususnya di sekitar Lembah Kelang. Jelasnya, walaupun usia apam balik ini sudah melebihi 80 tahun, sifat dan tradisi asal pembuatan dan rasanya, tidak pernah berubah.

Begitu juga dengan harganya. Kalau pada tahun 1960-an, kuih apam balik besar ini, dijual pada harga 70 sen hingga Seringgit, tetapi selepas 50 tahun, harganya tidakpun sampai RM2.00 sekeping.

Pernah juga saya bertanya kenapa harga kuih apam balik tidak banyak berubah. Menurut mereka, jualan kuih apam balik kini tidak sehebat dahulu memandangkan dewasa ini ada banyak saingan dari kuih-kuih tradisional Melayu dan kuih-kuih modern. Justeru itulah, mereka tidak begitu berani untuk menaikkan harganya dengan lebih tinggi lagi.

Bagaimanapun, selain dari faktor itu, saya merasakan, faktor 'keprihatinan kesihatan' juga turut berkaitan. Apam balik, adalah sejenis kuih yang agak manis, dan pastinya, kalangan masyarakat kini yang banyak menghidapi sakit kencing manis dan darah tinggi, akan mengelak untuk mengambil makanan sebegitu, walaupun rasanya enak.

Sebenarnya inilah intipati penulisan saya kali ini.

Beberapa tahun dahulu, saya pernah singgah ke Batam Indonesia. Di sebuah kedai, saya melihat ada seorang menjual kuih apam balik. Menariknya, di cermin gerainya dipaparkan menu perasa apam balik termasuk perasa pulut hitam, perasa coklat, perasa jam strawberry, perasa nenas dan macam-macam lagi.

Idea mempelbagaikan perasa kepada sifat apam balik inilah yang menjadi perhatian saya. Saya merasakan, sudah tibalah masanya, sesuatu dilakukan untuk mengimprovisasikan kuih apam balik ini dari semata-mata perasa kacang dan marjerin. Sejak akhir-akhir ini, ada pula perasa pulut hitam sebagaimana di Batam.

Apa kata, selain perasa yang dinyatakan tadi, kuih apam balik dijadikan sejenis makanan istimewa mengikut ciri dan citarasa pizza dengan ditambah mayonis dan sebagainya?

Atau apa kata, sekiranya, perencah apam balik ini terdiri dari sambal ikan bilis atau sambal udang, atau perencah isi dalaman karipap, atau ikan sardin, atau rendang atau serunding?

Atau apa kata kalau, apam balik asal ini, turut disertakan sekali dengan sambal untuk dicecah ketika makan?

Mungkin idea ini agak lucu dan tidak masuk akal. Tapi, rasanya tidak salah untuk mencuba dan kalau rugipun, tidaklah seberapa. Percubaan yang terbaik adalah dalam musim bulan Ramadhan ini, di mana umat Islam amat kerap bertukar selera dan kerap ingin mencuba sesuatu jenis makanan yang baru.

Selain itu, dengan cara improvisasi kuih apam balik ini, harga jualannya sudah pasti dapat dipertingkatkan lagi dan mungkin sekitar lima hingga sepuluh ringgit mengikut perencah dalamnya dan cara pembuatannya. Harga ini, pastinya lebih baik dari harga apam balik yang dijual kini.

Mana tahu, suatu hari nanti, bersebelahan Pizza Hut akan ada pula sebuah kedai makanan segera bernama Apam Balik Corners atau AP Hut...

Mana tahu.

Kelmarin, saya membeli sekeping kuih apam balik tradisonal. Ketika berbuka puasa, saya sisipkan sambal petai ikan bilis di dalamnya. Rasanya...uhh.. terkoyak selera. Enak sekali.

Ada sesiapa toke-toke apam balik kini yang berani ....