Friday, November 18, 2011

TRAGEDI 20 JANUARI 1983


Jam sudah menghampiri jam dua pagi, ketika aku terdengar ketukan kuat di pintu rumah sewaku di Seksyen 14 Petaling Jaya. Terdengar sayup-sayup suara memanggil-manggil namaku.

Aku bingkas bersahaja seolah-olah sudah menduga kewujudan keadaan itu.

Sejak petang hari, hatiku sudah gelisah dan berkeadaan tidak tentu arah. Malah keadaan itu berlaku kepadaku sepanjang beberapa hari sebelumnya. Saban malam terasa berat untuk aku melelapkan mata, Kotak fikirku menerawang jauh-jauh entah ke mana.

Lebih menggelisahkanku, sejak beberapa hari ini, aku melihat dua ekor rama-rama putih berterbangan bebas di dalam rumah dan bilikku. Pada awalnya aku tidak menduga apa-apa. Namun, apabila rama-rama itu terus kekal di rumah itu untuk beberapa hari, ia sedikit banyak menimbulkan tanda-tanya.

Ketukan pintu dan jeritan memanggil namaku terhenti sebaik saja aku membuka pintu. Di muka pintu kelihatan Uncle Borhan Mirun. Aku terkejut melihat kehadirannya di situ pada waktu yang dia tidak sepatutnya berada di situ.

Pastinya ada sesuatu yang berlaku.

" Eh Han..?" sapaku agak terkejut. Aku biasa memanggilkannya pada nama walaupun pangkatnya adalah bapa saudara kerana dia sebaya denganku. " Masuklah," sambungku.

" Tak apalah. Sini saja. Sebenarnya aku ada satu perkabaran nak sampai pada kau," jawabnya. Kelihatan benar dia agak kepayahan untuk meneruskan kata-katanya itu.

" Perkabaran..? Apa..?" zahir saya yang sudah mula agak gelisah. Pastinya perkabaran itu sesuatu yang tidak enak kerana Borhan terpaksa datang ke situ dari rumahnya di KL untuk memaklumkan kepadaku suatu berita.

" Aku dapat panggilan telefon tadi," zahirnya satu persatu. " Senja tadi ada satu kemalangan kereta di Batu Pahat. Kabarnya ada kematian saudara kita. Namanya Rifdayanis , Haji Rosli dan Mohd Nor Malim Muda,"

Aku benar-benar tergamam mendengar perkabaran itu. Tubuhku terasa amat lemah. Jiwaku terasa amat luluh sekali.

" Berapa orang yang meninggal ni Han..?" tanyaku untuk kepastian. " Dua ke tiga..?"

" Aku kurang jelas. Kata telefon tu, Rifda Yanis, Haji Rosli dan Mohd Nor Malim Muda. Mungkin tiga."

" Termasuk ayah..?"

" Tak pasti ...mungkin kot..." katanya lagi.

Kami tidak banyak berbual selepas itu kerana Borhan meminta izin untuk pulang. Sebaik saja dia pergi, aku bergegas melengkapkan diri dan dengan kereta Ford Escort aku bergegas ke sebuah asrama UPM Serdang untuk mengambil adikku Martini yang masih belajar di sana.

" Man, abang ni...?" teringat aku di sepanjang perjalanan itu, perbualan telefon antaraku dengan abang Mohd Nor anggaran jam 4.15 petang itu. Ketika itu aku baru saja meninggalkan mejaku di Unit Pengambilan kakitangan UM, kerana waktu kerja kerajaan berakhir jam 4.15 petang.

" Bang... Kenapa bang..?" jawabku.

" Saja abang nak tanya, Man balik tak esok..Abang, Kak Ida dengan ayah nak bertolak ke Melaka sekejap lagi...," zahir Abang Mohd Nor.

" Balik Melaka..buat apa...Bukannya abang boleh tolong pun. Ayah kalau dah kata macam tu, dia tak mahu berubah..." lahirku apabila mendengar nama ayah disebut.

" Mari kita sama-sama berbincang. Abang dan Kak Ida nanti pujuk ayah.." zahir Bang Mohd Nor lembut seperti memujuk.

" Ah tak payahlah bang.. buang masa aje..Lagipun saya dah menyampah dengan semua orang," lahir saya melepaskan geram.

" Menyampah dengan semua orang...? Dengan abang pun..?" zahirnya sedikit sedih.

" Yalah..dengan abang pun..." lahir saya dengan rasa geram lagi. Kelihatan abang Mohd Nor, abang ipar suami Kak Rifdayanis, terdiam seketika. Tiba-tiba saya merasa kesal yang amat sangat menzahirkan kata-kata itu kepadanya.

" Tak apalah kalau Man menyampah pada abang. Tapi abang dan Kak Ida harap Man dapat balik ya.. Nanti kita sama-sama pujuk ayah. Rasanya hati ayah dah sedikit lembut..Man balik ya..." pujuknya lembut lagi.

" Tengoklah nanti.." lahir saya dengan suara sedikit kendur.

" Man balik ya... nanti kita jumpa di Melaka.. Balik ya Man.." lahirnya lembut lagi. Terlalu lembut sehingga menimbulkan rasa pilu di hati.

Setelah mengambil Martini, kami meneruskan perjalanan ke Hospital Batu Pahat. Sepanjang perjalanan kami tidak banyak berbual. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

Fikiranku menerawang kepada beberapa peristiwa yang berlaku sebulan lalu apabila aku menemani Abang Mohd Noor berjumpa abangnya Baharom di Semenyih Kajang. Ketika itu abang Mohd Nor mahu menyerahkan wang bahagian jualan tanah Semenyih kepada abangnya. Bahagian lain telah diserahkan kepada kakak-kakaknya di Johor, Jakarta dan Padang Sumatera.

Bagaimanapun, abangnya, Baharom tidak mahu menerima bahagiannya ketika itu dan meminta Mohd Nor memberikannnya kemudian. Mereka kemudiannya, bersama-sama berkunjung ke pusara bapa mereka Atuk Malim Muda dan sama-sama berjanji untuk membersihkan dan mencantikkan pusara itu.

Lewat tengahari Abang Mohd Nor dan Kak Ida dan aku meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan berihat di rumah sewaku ketika itu di Jalan Raja Alang Kampung Baru. Ketika itu, aku melihat kedua-duanya semacam termenung panjang dan kelihatannya begitu sugul sekali. Pada saat itu aku tidak terfikirkan apa-apa kerana mengandaikan mereka mungkin agak keletihan kerana perjalanan dari Melaka ke Semenyeh dan terus ke Kuala Lumpur.

" Berapa orang sebenarnya meninggal?" tanya Martini kepadaku tiba-tiba dan sekaligus melupuskan kenanganku.

" Tak pasti. Kata Cik Borhan Rafdayanis Haji Rosli dan Mohad Nor Malim Muda. Dia pun tak jelas. Dua ke tiga yang meninggal. Tapi sebutan Rifdayanis dan Haji Rosli tu dia sebut satu-satu," jawabku.

Kami terdiam lagi dan masing-masing meneruskan lamunan sendiri-sendiri. Kereta yang kupandu laju itu, kelihatannya bergerak dengan amat perlahan sekali.

Tiba-tiba ingatanku terpalit kepada ayah. Memang sejak akhir-akhir itu hubunganku dengan ayah agak dingin sedikit kerana ayah tidak bersetuju dengan calon isteri pilihanku,

Pernah aku meminta Abang Mohd Nor dan Kak Ida serta kakak-kakakku yang lain memujuk ayah untuk merestui calon pilihanku. Namun ayah menolaknya kerana wanita itu dikatakan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keluargaku yang besar serta yang terpenting tidak pandai 'lari' ke dapur sebagaimana lazimnya anak-anak gadis 'orang awak'. Aku teringat, keadaan itu, apabila wanita itu kubawa menemui keluargaku suatu masa lalu.

Bagaimanapun, alasan terpenting mungkin, ayah telah menemui seorang calon isteri yang dikatakannya ' telaga bawah gunung' untukku. Wanita ini juga 'orang awak' , lahir di Batu Pahat dan membesar di Singapura dan Johor Bharu. Dia pernah dicadangkan kepadaku pada tahun 1981, tetapi aku menolaknya ketika itu.

Kelihatannya, ayah masih teguh pendiriannya dan mahukan aku menerima calon pilihan isterinya untuk aku, anak lelakinya.

" Ya Allah, ya tuhanku," bisik hatiku sambil memanjatkan doa kepada Ilahi. " Aku mohon, kalau ayahku masih hidup, kamu pulihkan dirinya seperti sedia kala, kerana aku benar-benar kesal dengan apa yang berlaku dan aku belum lagi meminta ampun kerana kederhakaanku. Dan jika ayahku masih hidup lagi, Ya Allah, aku berjanji padaMu, aku akan menerima siapa saja calon isteri pilihan ayahku. Ya Allah, ampunilah daku."

Kereta yang kupandu itu akhirnya tiba juga ke Hospital Batu Pahat hampir subuh. Dari jauh kelihatan sudah ramai kaum keluargaku. Masing-masing kelihatan begitu sedih dengan pemergian saudara yang tersayang. Aku bergegas menemui mereka untuk bertanya kabar.

" Ayah masih hidup tetapi sedang koma. Tapi.." zahir mereka tanpa dapat meneruskan kata-kata. Aku faham maksudnya iaitu Kak Ida dan Mohd Nor telah meninggal dunia dalam kemalangan itu. Aku juga difahamkan , seorang lagi penumpang kereta tersebut, Nurmazlina, anak kemenakanku berumur kurang satu tahun terselamat dalam tragedi itu.

Dia ketika itu dibaringkan di tempat duduk belakang dan dalam tragedi itu dia terperosok di bawah ruang tapak kaki dan terlindung dari kesan tragedi. Alhamdulillah.

Kami bergegas melihat ayah yang terbaring tidak sedar diri sambil memanjatkan seribu doa dan kesyukuran kerana Allah masih menyayanginya. Kami kemudiannya mengunjungi bilik mayat untuk melihat wajah-wajah insan kesayangan itu. Rasa kesal yang teramat sangat bila mengenangkan butir tuturku pada petang itu dan ternyata benar arwah bang Mohd Nor beriya-iya memintaku pulang, kerana 'dia mahu aku turut bersama mengiringinya ke alam abadi'.

Esoknya, kedua-dua jasad itu kami bawa pulang ke Kluang di rumah mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu menjelang tengahari. Mereka meninggalkan empat orang anak yang masih kecil ketika itu dengan yang tertua Shahril berumur 14 tahun. Nasib dan umurnya sama ketika aku adik beradik ditinggalkan ibu Norlela pada tahun 1965.

Sebaik saja kembali dari tanah perkuburan, abang kepada abang Mohd Nor, Baharom tiba dari Semenyih. Dia menangis teresak-esak dan dalam butiran tangisan itu, beliau berkata, " Mohd Nor, aku halalkan semuanya, aku halalkan semuanya dan aku tidak mahu minta apa-apa," zahirnya lantang serta didengari oleh ramai orang.

Setelah menyelesaikan semua urusan, kami bergegas kembali ke Hospital Batu Pahat. Ayah masih juga koma dan masih tidak sedarkan diri. Ketika itulah aku menghampiri Along Rosnina dan memberitahunya tentang doa dan niat serta janjiku pada Allah iaitu akan sedia menerima siapa saja calon isteri pilihannya untukku.

Ayah mula sedar diri anggaran tiga hari kemudian. Soalan pertama yang ditanyanya adalah di mana menantu dan anaknya. Demi untuk kesihatannya, kami berbohong dengan mengatakan kedua-dua mereka berada di wad lain. Bagaimanapun, rahsia itu terpecah juga apabila ramai saudara-mara yang mengunjunginya memaklumkan kedua-dua mereka sudah tidak ada lagi di dunia.

Ayah ternyata sebak dan berdiam diri beberapa waktu selepas itu. Bagaimanapun, beliau cepat sembuh dan meninggalkan hospital Batu Pahat sepuluh hari kemudian. Mungkin, mana tahu, kecepatsembuhan ini turut bertalian dengan berita baik dari Along Ina mengenai persetujuanku menerima calon isteriku dari pilihannya sendiri. Selain berita sedih pemergian anak menantu kesayangannya, dia juga menerima berita gembira mengenai persetujuan anak lelaki kepala batunya. Mana tahu.

Kenang-kenangan ini akan kekal abadi dalam lipatan hidupku. Semoga Allah menempatkan roh-roh mereka di kalangan roh-roh orang Soleh dan Solehah.

Amin.