Monday, June 14, 2010

SURAT TERBUKA UNTUK CUCU-CICIT NEK BAEH DAN ORANG JAMBAK KECHIL KAPAU.

Dirasakan kesempatan menulis untuk kali ini, begitu sulit dan berat sekali. Pertamanya ia ada kaitannya dengan keluarga dan suku jambak kecil saya keseluruhannya. Kedua, saya anak kapau yang lahir diperantauan, dan yang ketiganya ia ada kaitannya dengan struktur dan susunan adat istiadat di negeri Kapau.

Namun, walaupun berat, saya sebagai salah seorang cucu-cicit lelaki nek Baeh ( Banda Baru) yang sudah terliput dalam kategori orang tua selain abang Mhd Damanhuri (anak Allahyarham Nurlela Banda Baru), Kolonel (B) Ab Rahman (anak Allahyarham Nek Nani), Om Chaan dan Om Shukar dari suku Jambak Kecil, terasa terpanggil untuk berbuat sesuatu.

Apatah lagi, saya mungkin satu-satunya anak kelahiran di perantauan yang begitu arif dengan susunan dan peraturan adat di Kapau, mempunyai kediaman tetap di Kapau serta anak kepada Allahyarham Haji Rosli Datuk Sipado Basa, adik Allahyarham Mawardi Datuk Muncak, Cucu Allahyarham Datuk Raja Nan Basa dan menantu Allahyarham Nabawi Datuk Gadang Majolelo.

Persoalan yang ingin dibangkitkan adalah mengenai warisan kepimpinan. Harap anda semua mudah memahami cara penulisan Bahasa Malaysia saya , kerana saya hanya bisa bertutur Bahasa Indonesia dan Dialek Minang dan bukan dalam aspek penulisannya.

Soalnya, saya terasa begitu lucu dan aneh, kenapa terlalu ramai orang ghairah mahu jadi ketua atau pemimpin. Lanjutan dari keghairahan itu, mereka sanggup melakukan apa saja dan dalam istilah yang mudah, mereka kerap mengamalkan budaya "matalamat menghalalkan cara" dan melupakan Allah sentiasa ada memerhati dan melihatnya. Segala hukuman ketertiban dilanggar begitu saja, agar tercapai apa yang diidamkan.

Pastinya, semua sedar. Apabila seseorang itu diangkat menjadi pemimpin, pada dirinya diletakkan seribu harapan yang menggunung. Yang terpenting adalah corak kepimpinannya itu, diharapkan akan membawa kesejahteraan kepada anak-anak buahnya. Dengan kepimpinannya juga, diharapkan suasana akan menjadi aman dan tenteram. Dengan kepimpinannya juga diharapkan anak-anak buah akan mendapat banyak manfaat hidup sama ada untuk dunia mahupun akhirat.

Pemimpin yang baik adalah seseorang yang sentiasa mempunyai wawasan dan kecerdikan dalam memimpin anak-anak buahnya. Apabila diangkat sebagai pemimpin, beliau pastinya akan merencanakan pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada anak-anak buahnya. Kepentingan diri atau individu akan diketepikan, sebaliknya kebaikan adalah bercorak kebaikan untuk semua dan bersama.

Dalam melunaskan kepimpinan itu, sebaiknya dipastikan betapa tidak ada anak buah yang rasa terpinggir dan diketepikan. Mereka juga perlu memastikan, sesuatu aspek yang berbangkit adalah tidak berpunca dari 'asungan' atau 'fitnah' atau kisah yang sengaja diada-adakan. Mereka juga perlu memastikan, sesuatu perkara yang dizahirkan tidak menyakiti atau merosakkan perasaan anak-anak buahnya. Mereka juga perlu menjaga pertuturan, cara berpakaian dan sentiasa mahu memantapkan wibawa dan ketokohan.

Sehubungan, dalam kontek Nagari Kapau, seorang pemimpin di Kapau perlu juga sedar, betapa anak-anak buah di bawah kepimpinannya, bukan sekadar berada di sekitar negeri Kapau, tetapi berada jauh di perantauan atau di luar daerah seperti di Jakarta dan di sekitar Indonesia, mahupun di Singapura, Malaysia dan Brunei. Mereka juga perlu sedar, ramai anak-anak buah mereka di perantauan mempunyai kekayaan, ketokohan, wibawa, pengaruh serta mempunyai tahap pendidikan yang jauh lebih tinggi dari diri mereka atau mempunyai pekerjaan sebagai profesional seperti doktor, notaris, arkitek, ahli politik, pengamal media, usahawan dan sebagainya.

Mereka juga perlu sedar, betapa, mengikut amalan dan kebulatan kata nenek mamak zaman silam, seseorang anak keturunan kapau, walaupun di mana saja dia berada dan dilahirkan, ia masih tetap orang kapau.

Malah, bukankah aspek ini jugalah yang menjadi sebab, kenapa anak-anak kapau di perantauan, tidak pernah hilang identitinya, berbanding suku-suku etnik yang lain?

Mereka juga perlu sedar, betapa 70 peratus anak-anak kapau kini berada di luar daerah. Mereka juga perlu sedar, betapa kemajuan dan kemantapan taraf hidup masyarakat di Kapau selama ini, bukan datangnya dari orang kapau di nagari tetapi dari sikap anak-anak kapau yang berada di perantauan yang sentiasa tidak lokek untuk membantu dan mengirim ongkos atau dana untuk kebahagian keluarganya.

Justeru, kalangan pemimpin nagari Kapau yang cerdik dan bijaksana, tidak akan sesekali berusaha untuk melukakan hati saudara-saudara di perantauan dengan membuat tingkahlaku dan kenyataan yang menyinggung perasaan. Malah, sekiranya ada yang cerdik dan pintar, akan berusaha merapati anak-anak kapau di perantauan dan melalui bantuan mereka, para pemimpin nagari Kapau boleh merancanakan pelbagai program untuk membantu masyarakat atau anak-anak buahnya.

Sebagai contohnya, orang-orang Piangkek. Orang-orang di sana terkenal dengan industri kecilnya, dalam aspek jahit-menjahit. Saya sendiri, suatu masa lalu, berusaha menghimpun anak-anak kapau untuk menjahit sapray (cadar asrama), tetapi gagal. Hanyalah apabila barangan itu diserahkan kepada orang Piangkek barulah orang Kapau berlumba-lumba mahu melakukannya.

Begitu juga dengan aspek menjahit pelan songkok. Hanya beberapa kerat saja orang Kapau yang berbuat demikian. Sedangkan, 60 peratus penjahit (pembuat) songkok di sekitar Malaysia, Singapura mahupun di Brunei adalah terdiri dari anak-anak keturunan Kapau.

Cuba bayangkan, orang Malaysia kini 24 juta orang. 16 juta orang Melayu. 8 juta lelaki. 4 juta yang masih bersekolah. 2 juta di sekolah rendah yang akan memakai songkok setiap tahun dan satu juta di sekolah rendah agama yang mesti memakai songkok setiap hari. Soalnya, mampukah 1 juta pelan songkok dihasilkan dalam setahun (tidak termasuk untuk songkok orang dewasa)?

Jika difikirkan jauh, industri songkok ini adalah satu industri yang besar. Tetapi, soalnya kenapa orang Kapau tidak menjadi penerajunya sedangkan industri ini di Malaysia dipelopori oleh nenek moyang kita sendiri?

Begitu juga, dua tiga tahun kebelakangan ini, saya membawa beberapa kumpulan orang Malaysia ke Kapau. Saya bersama Ibu Ed dan Dody nek Bungsu mengaturkan perjalanan mereka dengan "Homestay" di desa Kapau. Konsep kami "Homestay Shopping Sakan".
Mereka, teman-teman orang Malaysia ternyata begitu seronok dengan layanan baik orang kita. Malah mereka dan ramai kawan-kawan saya yang lain meminta saya mengaturkan konsep melancong Homestay Shopping Sakan lagi. Malangnya, saya tidak bersedia melakukannya kini kerana kurang sihat.

Begitu baik dan hebat pandangan orang tentang kampung dan masyarakat kapau kita. Pastinya jika perkara ini diwar-warkan, mungkin lebih ramai lagi orang Malaysia akan ke sana dan keadaan ini secara tidak langsung turut membantu keluarga kita. Anda boleh menggunakan format yang saya bersama Dodi dan ibu Ed rancangkan kalau mahu. Segalanya sudah dieksperimen dan telah berjaya dengan cemerlangnya.

Bagaimanapun, usaha-usaha selanjutnya seharusnya datang dari kepimpinan desa itu sendiri .

Pemimpin yang baik seharusnya melihat potensi yang ada pada desa dan orang-orang kita di Kapau dan cuba memangkinkannya untuk menjadi industri yang memberi manfaatnya pada masyarakatnya. Anak-anak kapau di luar daerah hanya bisa membantu, sekiranya ada kelihatan kesungguhan dari pihak kepimpinan desa.


Justeru itu, para kepimpinan desa perlulah sentiasa memastikan, suasana desa kapau akan sentiasa aman dan saling senang menyenangi antara satu sama lain. Mereka mesti memastikan anak-anak buah sentiasa hidup dalam harmoni dan saling tolong menolong dan saling bantu membantu. Suasana sebegini di kalangan anak buah adalah cerminan kepada kepimpinannya sebagaimana kata perpatih dari buah kekenalan pohonnya atau buah epal itu jatuhnya di mana. Pasti berhampiran pokoknya.

Sehubungan, biarlah saya menyentuh sedikit soal kepimpinan dalam keluarga saya sendiri. Umum mengetahui, warisan pusaka Datuk Indo Mardjo kini adalah bagi kelompok Jambak Kacik Banda Baru, tepatnya cucu-cicit Nek Baeh dari perut ibu.

Dalam kelompok ini hanya terdapat lima warisan yang tepat, iaitu anak-anak lelaki Nenek Upik (semua meninggal), anak-anak lelaki nek Kamisah (Om Chaan dan Om Shukar) dan anak-anak lelaki Nek Nurni (Kolonel Rahman Bagindo) di barisan pertama, diikuti anak-anak lelaki Norlela (Damanhuri dan Sudirman) dan Nurni (Irfan dan Ismet), anak-anak lelaki Etek Idan dan Etek Imi (Ismail dan adiknya) dari jurai Nek Kamisah dan anak-anak lelaki etek Ramlah, Anwar (dari jurai Nek Nurni) pada baris kedua.


Sebelum ini, kita mengetahui Om Chaan adalah tongkatnya bagi jawatan Dato Indo Maradjo. Selama ini, tiada seorang dari pihak anak kemenakan jaluran anak Norlela mempersoalkan perkara itu. Begitu juga dengan Pakcik Rahman atau Anwar. juga adik-adik saya Irfan dan Ismet. Justeru, warisan kepimpinan suku jambak kecil ini diserahkan bulat-bulat kepada anak cucu nek Kamisah sendiri khususnya Om Chaan.

Apabila berlaku kecekcokan suatu masa lalu berkenaan soal warisan kepimpinan ini antara Om Chaan dan kemenakannya, pihak kami merasakan persoalan ini seharusnya dibereskan dalam lingkungan keluarga itu sendiri dan pihak kami menerima yang baik-baik saja.

Bagaimanapun, kecekcokan itu, tiba-tiba menjadi terlalu besar hinggakan membabitkan keluarga-keluarga dari suku jambak yang lainnya sehingga menimbulkan perpecahan dalam lingkungan suku jambak kechil di Kapau itu sendiri.


Soalnya kenapa harus terjadi begini? Dan kenapa kami yang tiada apa-apa merasakan tempiasnya.

Seseorang nyek mamak yang dilantik atau dipilih oleh anak-anak buahnya, bukan sekadar menjadi pemimpin keluarga kecilnya, malah seluruh keluarga masyarakatnya dalam suku jambak Kecil.

Bagaimana seseorang itu mampu memimpin seluruh kelompok anak buahnya, kalau diri sendiri tidak mampu menjadi pemimpin kelompok kecil keluarga mereka sendiri.


Justeru itu, berfikirlah semasak-masaknya dan usut ke pangkal jalan. Cubalah cari penyelesaian terbaik dengan membuang yang keruh dan ambil yang jernih. Cubalah, kalau boleh, Datuk Indo yang dilantik, mencari jalan perdamaian dengan mamaknya sendiri Om Chaan kerana hidup masih jauh dan perjalanan masa masih panjang. Kalau keruh air di hulu akan keruh juga air di hilir dan mana biasa sepanjang laluan itu membiarkan airnya akan keruh selama-lamanya. Pasti orang lain yang sama menggunakan air itu akan marah dan akhirnya bangun memberontak.

Justeru, jalan terbaik saya ulangi sekali lagi carilah perdamaian dan berbaik-baik saja kerana kepimpinan yang terbaik bermula dari rumah sendiri sebelum mahu memimpin orang lain.

Jumpa lagi.