Friday, November 26, 2010

RINGKASAN RIWAYAT HIDUP HAJI ROSLI DATUK SIPADO BASA


Catatan:


Agak lama juga tidak up-date kolom ini. Sebenarnya, sejak hampir 6 minggu, saya agak sebok dengan tugasan harian hingga tidak memungkinkan saya dapat memberikan tumpuan untuk menulis. Suatu hari nanti akan saya paparkan kerja yang sedang saya lakukan kini.


Saya juga memohon maaf, kerana sepatutnya untuk ruangan ini saya akan paparkan foto-foto keluarga besar Datuk Kari Zainuddin. Memandangkan, foto-foto itu, masih dalam proses pengumpulan, maka untuk ruangan ini saya akan menyentuh sedikit tentang riwayat hidup ayahanda tercinta saya Haji Rosli bin Kari atau bergelar Daruk Sipado Basa, suku Tanjung.


Ikutilah ringkasan riwayat hidup beliau. Mana tahu satu hari nanti jika berkesempatan, saya akan tuliskan sebuah buku mengenai Kisah Cinta Haji Rosli. Walahualam Bisawab..


Haji Rosli bin Kari Dawisepanjang hidupnya telah berkahwin sebanyak tiga kali serta mempunyai anak seramai 18 orang dan 63 orang cucu. Beliau telah dilahirkan di Masjid Tanah Melaka pada 8 Disember 1911.

Ketika kecil, beliau telah dihantar oleh Datuknya Nyek Sheikh Haji Husin, untuk belajar pendidikan Islam di Induring Kapau, Sumatera Barat Indonesia. Beliau melanjutkan pelajaran menengahnya ke Institut Pendidikan Islam Di Prabek, Pandang Pandjang, Sumatera Barat. Tidak hairan sekiranya beliau seorang yang dikira alim dan seorang hafidz.

Ayahandanya, Kari Dawi meninggal dunia ketika beliau berumur 16 tahun. Sebaik menamatkan pengajiannya di Prabek, pada usia 18 tahun, beliau kembali ke Masjid Tanah, untuk mengambilalih perniagaan ayahandanya. Perniagaan bapa beliau ketika itu adalah kilang membuat dan menjual songkok.

Di Masjid Tanah ketika itu dan hingga kini, orang lama mengenalinya sebagai Soli Mengkabau Toke Songkok. Rumah kediaman awalnya, di loteng kedai usang di hujung bank CIMB Masjid Tanah kini (di bawahnya Tuan Haji Bacik bapa Datuk Talib Bachik dan Datuk Hj Hassan Senator menjalankan perniagaan menjual getah). Kedai terakhirnya di Masjid Tanah adalah di kedai bazaar (kini tiada lagi) di hadapan Balai Polis Masjid Tanah.

Beliau berkahwin dengan isteri pertamanya Ramlah Mirun pada usia 19 tahun dan memperolehi 3 orang anak iaitu Mawardi, Jasmi dan Rosma. Ramlah meninggal dunia tidak lama selepas melahirkan anak yang ketiga. Haji Rosli, kemudian mengganti tikar dengan mengahwini adik kepada Ramlah iaitu Nurniah Mirun sebagai ganti ibu kepada anak-anaknya.

Ketika Perang Dunia Kedua, Haji Rosli membawa kesemua, isteri dan anak-anaknya termasuk dua orang anak dengan isteri keduanya iaitu Rosnina dan Nurma ke Induring Kapau. Di sana beberapa orang lagi anaknya dilahirkan antaranya Rifdayanis (1947), Fauzinar (1950) dan Ermina (1953).

Sepanjang tempoh perang dan selepas perang, Haji Rosli berulangalik dari Induring Kapau ke Masjid Tanah. Selain menguruskan harta dan perniagaannya, beliau juga menjadi pedagang 'balok' antara Indonesia dan Malaysia melalui jalan laut Selat Melaka..

Beliau juga telah dipilih oleh kelompok masyarakatnya dari Suku Tanjung Induring Kapau sebagai ketua suku dengan gelaran Datuk Sipado Basa menggantikan datuk saudaranya.

Suatu hari, anggaran tahun 1948, beliau mengiringi seorang gadis , Nurlela anak Datuk Raja Nan Basa, untuk diserahkan kepada keluarganya, Sutan Mantari di Bangi Lama, Kajang. Sepanjang perjalanan itu, Haji Rosli telah jatuh cinta dengan Nurlela dan tidak lama selepas itu, mereka telah berkahwin.

Nurlela kemudiannya telah dibawa menetap di Masjid Tanah. Dengan Nurlela, beliau memperolehi 8 orang anak iaitu Mhd Damanhuri (1949), Mohd Powdzi (1951), Sudirman (1953), Roslinah (1955), Natrah (1956), Roslaini (1958), Nurmina (1959) dan Siti Khadijah (1961).

Pada tahun 1958, Haji Rosli telah membawa kembali isteri keduanya ke Masjid Tanah. Dua orang anak telah dilahirkan kemudian iaitu Bactiar (1959) dan Suwarni (1961).

Isteri ketiga Haji Rosli Nurlela meninggal dunia pada tahun 1965 meninggalkan anak tertuanya berumur 14 tahun dan yang bongsu 5 tahun. Beliau dimakamkan di Bukit Keledang Masjid Tanah, bersebelahan makam isteri pertamanya Ramlah. Isteri keduanya, Nurniah, mengambilalih peranan mendidik anak-anak yang ketiadaan ibu ini.

Pada tahun berikutnya 1966, Haji Rosli telah berhijrah ke Brunei dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai penjual kueh apam balik. Pada tahun 1967. beliau membawa isterinya Nurniah, dan dua orang anaknya Mawardi dan Jasmi bagi memulakan perniagaan restoren nasi padang. Beberapa tahun kemudian beliau membuka kedai pakaian dan barangan muslim, Jasa Perwira di Jalan Sultan yang terletak di tengah tengah bandar Seri Begawan.

Satu perkara yang hingga kini menjadi sebutan di kalangan orang Masjid Tanah adalah, Haji Rosli adalah satu-satunya orang Melayu pada tahun 1985, yang telah membeli dan membayar secara tunai 6 buah kedai baru di Pusat Perniagaan Bandar Baru Masjid Tanah, dengan nilaian hampir satu juta ringgit ketika itu.

Haji Rosli meninggal dunia di Brunei pada 4 Ogos 1993 kerana serangan sakit jantung. Beliau berusia 82 tahun . Tujuh tahun kemudian (2000), isteri keduanya Nurniah, meninggal dunia di Kajang Selangor dan dikebumikan di Kluang, Johor pada hari berikutnya.