Saya juga mengharapkan, agar tulisan ini tidak disalahertikan. Malah jauh sekali untuk menunjuk pandai atau ingin menarik perhatian orang terhadap saya. Apatah lagi kesihatan saya kini, kurang memuaskan.
Malah, saya meyakini, betapa kepimpinan PAKKLS yang sedia ada, sudah cukup mantap. Di dalamnya ada ramai pakar, insinyur, doktor, ahli perniagaan yang berjaya, karyawan pemerintah atau swasta atau dalam istilah allahyarham ayahanda saya , Hj Rosli Dt Sipado Basa, orang-orang yang punya otak mentereng.
Saya juga menyedari, organisasi ini juga banyak menjalankan aktiviti yang baik dan menarik untuk anak Kapau khususnya dalam aspek menyatupadukan mereka serta generasi dari keturunan mereka yang berada di Malaysia kini.
Bagaimanapun, sebagai seorang ahli dan melalui blog saya ini, saya ingin memberikan beberapa saranan dan pandangan bagi mengukuhkan lagi konsep berpersatuan kita.
a. BULETIN ANAK KAPAU PERANTAU
Saya ingin mencadangkan agar buletin ini, diterbitkan dan dihantar kepada semua ahli setiap tiga bulan sekali (minimum) . Melalui buletin ini, setiap ahli, akan berpeluang mengetahui isu atau perkembangan atau ehwal semasa mengenai rangkaian keluarga mereka sama ada di Kapau atau di Malaysia. Melalui buletin ini juga, kita mungkin mendapat perkabaran siapa keluarga kita (keluarga jauh atau dekat) di Kapau atau di Malaysia yang telah tiada, atau sebarang makluman tentang pelbagai majlis keraian seperti perkahwinan atau apa-apa saja yang ada kaitannya dengan orang Kapau di kampung dan di Malaysia.
Bagi pengisian lain, boleh juga dipaparkan secara ringkas sejarah orang kapau serta asal nama kapau, sejarah kedatangan orang kapau ke Malaysia, biodata tokoh-tokoh orang Kapau, atau bagaimanakah sistem-sistem dan perlakuan adat serta konsep suku, adat perkahwinan, istilah-istilah minang yang digunapakai atau paparan tentang jaluran keluarga.
Edisi awal, mungkin boleh dipaparkan siapa-siapa yang menganggotai AJK persatuan kini, fotonya, biografinya, dan telefon jika mahu dihubungi dan sebagainya.
Mungkin, ramai mengatakan, perkara sebegini boleh dibuat melalui laman web sebagaimana yang telah diwujudkan. Soalnya, berapa ramaikah bapak-bapak atau abang kakak kita yang memahami kaedah dan cara berhubung melalui laman web ini.
Satu lagi kebaikan buletin ini, adalah ia boleh sampai terus ke muka pintu rumah masing-masing serta anak-anak dari keturunan Kapau yang daif tentang asal mereka boleh membaca dan mengetahui tentang sejarah kehebatan moyang-moyang dan desa asal nenek moyang mereka.
b. DIREKTORI KAPAU PERANTAU MALAYSIA
Saya yakin, perkara ini tidak mudah untuk dilakukan kerana ia membabitkan masa dan jaluran keluarga kita yang meluas dan melebar. Mengikut catatan saya, generasi Kapau yang ada kini, adalah antara lingkungan generasi yang kelima hingga sepuluh.
Bagaimanapun, saya kira mahu tidak mahu, ia perlu dilakukan kini sebelum terlambat dan sebelum generasi terakhir yang benar-benar mengetahui tentang asal mereka pupus dari bumi ini. Perkara sebegini perlu dimulakan, walaupun ia mengambil masa hingga bertahun-tahun agar beberapa peristiwa dan contoh seperti berikut tidak akan berlaku.
Kes pertama.
Anak kemenakan saya (A), bekerja satu pejabat dengan dua pupu saya (B) hampir dua tahun. Mereka bergaul dengan baik sekali dan saling mengenali antara satu sama lain sebagai anggota pejabat. Suatu hari, si A mendengar si B mendendangkan sebuah lagu minang dan keadaan ini menimbulkan rasa ingin tahu si A. Si B mengaku dia orang Minang dan dari keturunan orang Kapau. Lanjutan dari itu, selepas hampir dua tahun, baru mereka mengetahui betapa mereka dari asal keturunan yang sama, dan ada petalian saudara dengan diri saya. Amat lucu sekali.
Kes kedua.
Seorang wanita, saya temui di Kajang. Ia telah berkahwin dengan orang tempatan dan tidak pernah pulang ke kampung kelahirannya di Kapau. Menurut ceritanya keluarganya Tek Putih asal Kampung Pisang di Induring Kapau. Begitu lama beliau 'membuang' diri hingga orang-orang Kapau dan saudara maranya tidak mengetahui sama ada beliau masih hidup atau sudah meninggal dunia. Anak-anaknya, walaupun secara biologi seorang anak Kapau tulen kerana jurai keturunan ibunya, tidak pernah mengaku, mereka adalah orang minang keturunan Kapau.
Kes Ketiga.
Melalui fb saya, seorang wanita, menjadi friends saya. Beliau memaklumkan, betapa dirinya adalah seorang berketurunan Kapau kerana kedua-dua ibubapanya adalah asal keturunan Kapau dan atuknya Shamsuddin adalah abang tiri kepada bapa mertua saya Haji Nabawi Dt Gadang Majolelo. Jelas, wanita ini adalah anak kemenakan sepupu kepada isteri saya.
Menurutnya, dia terbaca tentang asal keturunan keluarganya melalui blog saya Bicara Anak Kapau. Melalui catatan di blog itu, baru dia mengetahui siapa moyangnya serta betapa dia mempunyai sembilan lagi datuk dan nenek, selain datuknya Shamsudin. Dia juga baru mengetahui moyangnya, bapa datuknya bernama Zainuddin. Sejak itu, saya linkkan dirinya dengan dua pupu atau makcik-makciknya.
Umurnya kini anggaran 30-an. Bayangkan, selepas umur sebegitu, baru dia sedar, dia mempunyai ramai saudara-maranya.
Kes Keempat
Suatu hari, abang (pakcik) Anas dan Kak Ati Johor Bharu, mengadakan majlis perkahwinan anak mereka. Saya dan isteri hadir di majlis itu. Saya memerhati ke sekeliling mencari adik-beradik saya yang lain. Hanya ada Haji Jasmi dan Mawardi Datuk Munchak.
Dalam perjalanan balik ke Kajang, saya singgah di Kluang. Di sana saya sempat bertanya kakak saya kenapa tidak hadir di majlis itu walaupun sudah ada surat jemputan. Menurut kakak saya, dia tidak kenal Pakcik Anas dan Kak Ati ini. Di Johor Bharu yang dia tahu adalah Pak Etek Bahari dan Pak Etek Adan, bapa saudaranya, Along Nasrullah dan adik-adiknya iaitu sepupunya, dan keluarga isteri saya.
Kakak saya agak terkejut, apabila saya maklumkan, bahawa bapa Pak Anas adalah adik Atuk Karim Brunei dan adik tiri kepada datuk kami, Atuk Kari Dawi. Nenek Kak Ati pula adalah juga adik beradik mereka.
Kesimpulannya, paparan tadi adalah secebis kisah yang wajar diberikan perhatian. Banyak lagi kisah yang boleh dipaparkan mengenai bagaimana keluarga kita tidak mengenali keluarga mereka sendiri serta bagaimana kaitan dan tali hubungan kekeluargaan.
Bayangkan, bagaimanakah kemungkinan keadaannya beberapa tahun mendatang apabila kita semua sudah tiada lagi.
c. ROMBONGAN MENJEJAK BUMI NENEK MOYANG
Ini sekadar satu cadangan juga. Apa kata, pihak AJK persatuan, mengaturkan aktiviti berbentuk rombongan melancong ke bumi Kapau Bukit Tinggi, khususnya bagi anak-anak keturunan Kapau yang tidak pernah mengetahui tanah kelahiran nenek moyang mereka sendiri.
Untuk makluman, salah seorang anak Kapau, Dodie anak Allahyarham Nek Bongsu, ada menjalankan perniagaan pelancongan sebegini dan saya acapkali menggunakan khidmat beliau apabila membawa keluarga dan sanak saudara atau kawan-kawan orang Malaysia berkunjung ke sana.
Atau, anda juga boleh menggunapakai format pelancongan saya yang berbentuk Inap Desa atau Homestay yang pernah dan sedang saya praktikkan apabila membawa pelncong atau rombongan orang Malaysia ke Kapau Bukit Tinggi. Hubungi Dodie untuk maklumat lanjut.
d. PERKAMPUNGAN ANAK KAPAU PERANTAU
Ini sekadar satu cadangan dan tidak perlu diberikan perhatian.
Apa kata, bagi kalangan anak-anak keturunan Kapau yang masih ramai tiada berumah, bersama-sama mencari satu lot tanah yang luas, di luar kota Kuala Lumpur dan berkongsi membeli tanah itu, untuk dibangunkan satu perkampungan orang Kapau Perantau. Di perkampungan itu nanti, akan mereka sama-sama membangunkan semula struktur dan perlakuan adat sebagaimana amalan ketika di nagari. Di situ jugalah nanti, akan dijadikan kampung induk bagi mengumpulkan anak kapau di perantauan Malaysia.
Untuk makluman, berbanding dengan generasi orang Minang lain atau orang Jawa, nenek moyang kita tidak pernah tinggal secara berpusat kerana keturunan kita adalah pedagang. Justeru, tidak hairan sekiranya, keluarga kita boleh ditemui di mana-mana seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei dan dagangan asalnya adalah membuat songkok, menjual kueh apam balik, berniaga nasi padang atau menjual pakaian busana muslim.
Hingga setakat inilah dulu, cadangan saya dan terpulang kepada saudara-mara untuk menyetujui atau tidak. Bagaimanapun, saya harapkan cadangan pertama itu, wajar dilaksanakan kerana ia tidak membabitkan kos yang tinggi. Saya rasakan, jika ada buletin sebegitu, akan mengukuhkan lagi jatidiri saya sebagai seorang anak kapau.
Jumpa lagi.