Thursday, December 31, 2009

Nenek Dasima

Assalamualaik w.w.

Sebagaimana yang dijanjikan, untuk ruangan tahun baru (2010) ini saya paparkan satu temubual eksklusif dengan satu-satunya anak Nyek Sheikh,moyang kita bersama. yang masih hidup iaitu Nek Dasima. Beliau akan mengisahkan anak-anak Nyek Sheikh, rupa paras Nyek Sheikh dan sebagainya.

Rumusan ringkas anak-anak Nyek Sheikh adalah seperti berikut:

Dari isteri di Koto Penalok (isteri tertua)memperolehi tiga anak iaitu Si Nun (anak tertua), Sami dan Amak Sapiah.

Dari isterinya Rafah (Arafah) memperoleh seorang anak bernama Maah, ibu ayahanda Hj Rosli Dato Sipada basa.

Isteri di Pindih tiada anak.

Dari isteri di Hujung mempeolehi seorang anak iaitu Sadinin.

Dari isteri di Mudik memperolehi empat orang anak iaitu Salima, Hj Latif, Bani (Norniah?) di Hulu Langat Selangor dan Borhan.

Dari isteri di Hilir (Hamidah) isteri terakhir memperolehi empat orang anak iaitu Rokayah (Datuk Keramat) Rohani (Shah Alam), Mohd Nor (Sentul) dan Dasima, anak bongsu (Kg. Baru).

Seorang lagi isteri Nyek Sheik (tidak dinyatakan dengan jelas) tidak mempunyai anak.

Saya serahkan kepada saudara-mara untuk membantu saya menjejaki saudara-mara kita ini atau hubungi saya melalui e-mail: anugerahilmu@yahoo.com. Mana tahu, jika ada kesempatan pada suatu masa, saya akan membuat satu direktori keluarga kita untuk simpanan anak-anak cucu di kemudian hari. Atau mungkin ada di kalangan anak-cucu kita yang akan berbuat demikian. Insyaallah.

Setelah selesai salasilah keturunan melalui moyang Nyek Sheik, saya akan cuba menjejaki keturunan moyang kita Arafah (ibu nenek Maah), dan seterusnya Mawarni (Mawardi?) moyang daripada Bapa ayahanda saya iaitu Kari Dawi. Saya juga akan cuba merungkai jurai keturunan daripada ibu saya Hjh Norlela Banda Baru, ibu-ibu tiri saya Hjh Norniah dan Hjh Ramlah, dan keluarga sebelah isteri saya melalui datuknya bernama Allahyarham Kari Zainuddin (Klang) dan lain-lain di mana boleh.

Ikutilah temubual dengan Nenek Dasima.
Jumpa lagi.

Tuesday, December 29, 2009

Siapa Nyek Sheik Haji Hussin?

Sebelum terlambat, ingin saya merakamkan ucapan terima kasih kepada En Zainal dan isteri dari Kluang. Foto-foto rombongan ke Bukit Tinggi yang tertara dahulu adalah pemberian dari mereka. Di Induring, (home stay) beliau tinggal di rumah Ibu Ed.

Selain itu penerbitan video Adat Alam Minangkabau, sebenarnya satu 'rough edit' untuk agensi Muzium Adat Arkib Negara Malaysia di mana directing dan scripting dibuat oleh saya sendiri. Video ini pada awalnya diterima apabila skop Muzium Adat kepada adat-adat nusantara, tetapi ditarik balik apabila Menteri Dato Rais Yatim, mahukan tumpuan diberikan kepada Adat Pepatih Negeri Sembilan. Daripada disimpan begitu saja, saya rasa biarlah dipaparkan dalam blog. Maklumat yang ada mungkin boleh dimanfaatkan oleh anak-anak minang kesemuanya.

Oh ya. Sebagaimana yang saya katakan dulu, salah satu matlamat penulisan blog ini adalah berusaha menjejak keluarga dari keturunan moyang saya. Semoga saudara-mara yang membaca blog ini, dapat melihat pertalian darah dan persaudaraan antara kita, dan sekaligus dapat menjadi katalis untuk kita mempereratkan ukhuwah dan mengenali antara satu dengan yang lain.

Mungkin selepas membaca blog ini dan menyiasat susurgalur keluarga sendiri, saudara boleh menghubungi saya melalui e-mail: anugerahilmu@yahoo.com.

Untuk ruangan kali ini, tumpuan kepada moyang saya bernama Haji Hussein atau lebih dikenali sebagai Nyek Sheik datuk kepada ayahanda Allahyarham Haji Rosli Dato Sipado Basa dari ibunya Maah. Nenek beliau, salah seorang isteri Haji Hussin, Rafah atau Arafah, suku Tanjung. Mungkin bagi orang Minang, ranjinya dilihat dari sudut matrilinial atau garis ibu. Bagaimanapun saya cenderung untuk melihat secara akademik dari kedua-dua boleh pihak kerana dengan mengkaji susurgalur keturunan ini, baru saya dapat mengenali 'siapa diri saya' sebenarnya.

Haji Hussin, sepanjang hidupnya dikatakan mempunyai tujuh orang isteri dan tiga belas orang anak. Beliau dianggarkan lahir pada tahun 1856 dan meninggal dunia di Kapau sebelum perang dunia kedua anggaran tahun 1939.

Dua aspek menarik mengenai Haji Hussin adalah, beliau telah pergi Haji dan belajar di Mekah ketika remajanya (1870). Untuk seseorang dapat pergi ke Mekah pada zaman-mana sebegitu adalah sesuatu yang mengagumkan. Tentu ada keistimewaannya pada moyang kita ini. Apakah mungkin ada keluarganya di sana atau apakah mungkin moyang kita ini seorang berketurunan Arab? Mungkin kita boleh mula melihat dan mengamati wajah kita di cermin.

Ayah saya, dalam satu kesempatan, pernah memberitahu, kita memang ada darah itu. Beliau juga pernah menyebut nama keluarganya tetapi saya tidak ingat lagi. Mungkin juga ada benarnya, kerana dalam pemberian gelar kepada orang Minang, tumpuan kepada susurgalur ibu. Tidak seperti orang China atau orang Arab atau orang Putih. Mana tahu kalau-kalau moyang-moyang Nyek Sheikh dari kelompok pengembang Agama Islam di bumi Minang? Wallahualam bisawab.

Satu aspek lagi adalah, selepas balik dari Mekah, beliau membawa ilmu dan memulakan perniagaan membuat songkok dan songkok putih di Seremban. Beliau dipercayai pengasas perniagaan membuat songkok yang diwarisi anak-anak Kapau di Malaysia, Singapura dan Brunei. Kalau memang benar sebegitu, bersamalah kita memanjatkan doa dan menghadiahkan Al-fatihah kepada moyang kita yang satu ini, kerana melalui warisan ilmunya inilah, datuk dan bapa kita mencari rezeki bagi membesarkan dan menjadikan kita insan berguna pada hari ini. Semoga Allah SWT memberikan kerahmatan kepada rohnya. Amin.

Kini, dari tiga belas adik beradik, hanya seorang saja lagi anak Haji Hussin yang masih tinggal iaitu Nenek Dasimah atau Simah berumur lebih 80 tahun dan tinggal di Kampung Baru Kuala Lumpur. Pada kesempatan akan datang. saya akan cuba paparkan temubual eksklusif secara video dengan beliau yang diambil baru-baru ini.

Nenek Dasima yang sedang sakit kini akan menghuraikan siapa dia Haji Hussin, anak-anaknya serta bagaimana rupa parasnya. Terima kasih Nek Dasima.

Jumpa lagi.

Sunday, December 27, 2009

Video Dokumentari Adat Alam Minangkabau Sudirman

Video ini akan menghuraikan tentang sejarah awal adat perpatih mengikut versi saya. Mungkin ramai pakar-pakar alam Minangkabau tidak bersetuju, tetapi terserahlah kerana sebagaimana orang lain, penghuraian ini juga adalah melalui kajian yang terperinci. Cuma kerana ruang lingkup media elektronik video agak terbatas, paparannya tidak dapat diperincikan.

Namun, ada satu perkara yang perlu saya perlihatkan kepada anak-anak keturunan Kapau khususnya orang Minangkabau. Berbanggalah kerana dua adat terpenting dunia dan alam Melayu datangnya dari bumi ini iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Di bumi Minangkabau inilah lahirnya dua tokoh adat, Datuk Perpatih Nan Sebatang dan Datuk Ketemenggungan. Mereka adik beradik seibu bernama Cati Reno Saadah atau nama lain Puteri Indah Jelita.

Untuk keterangan lanjut, hubungi email: anugerahilmu@yahoo.com.
Jumpa lagi.

Foto-foto Menjejak Bumi Kapau



Penulis dan isteri singgah di Rangkiang
dalam perjalanan ke Bukit Tinggi

Pada keluaran lalu, saya paparkan betapa pada tahun 1994 saya sekeluarga anak-anak Allahyarham Hj Rosli Datuk Sipado Basa seramai 40 orang (termasuk dari Brunei dan Jakarta) kembali ke Kapau buat pertama kali.

Sejak itu selain pulang saban tahun, saya turut membawa kenalan dan sahabat orang Melayu Malaysia.

Dua rombongan yang menarik untuk dipaparkan. Pada tahun 2008, saya membawa dan mengiringi keluarga anak paman saya Allahyarham Pijar atau Mak Antan Pijan dari Telok Intan Perak seramai 24 orang. Sebagaimana orang lain, mereka awalnya mempunyai fikiran negatif keadaan dan kehidupan masyarakat Kapau. Tidak hairan jika mereka sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan kalau-kalau terpaksa mandi di banda-banda (sungai) atau membuang air dalam semak.

Ternyata. baru semalaman di sana (dengan kegigilan sejuk udara malam), mereka sudah merancang untuk pulang semula ke Kapau dan membawa sama saudara-mara mereka yang lain. (Mungkin adik-adik yang membaca blog ini, boleh menghantarkan foto-foto mereka ketika melancong ke Kapau dulu).

Pada Mac 2009 lalu, saya membawa 20 orang kenalan dari Kluang Johor ke Bukit Tinggi (5 hari 4 malam) . Mereka bukan orang Minang. Rombongan ini memulakan perjalanan feri dari Melaka menyusuri Sungai Siak ke Pekan Baru dan terus ke Bukit Tinggi , kemudian balik mengikut pelabuhan Dumai. Di Bukit Tinggi saya aturkan program "homestay" di Induring Kapau 2 hari 1 malam.

Ternyata, pada malam terakhir sebelum bertolak pulang dari Induring Kapau ke Dumai, rombongan terlewat bergerak anggaran tiga jam, kerana masing-masing iaitu anggota rombongan serta orang kampung tidak bersedia untuk berpisah dengan sudara baru mereka. Suasana ceria bertukar pilu, sedih dan disulami dengan tangisan.

Aneh. Betapa orang lain begitu menyenangi keluarga kita tetapi anak-anak keturunan Kapau di Malaysia tidak langsung teringin mengaku dirinya orang Kapau. Di bawah diperlihatkan beberapa keping foto memaparkan aktiviti rombongan itu.

Saya boleh dihubungi di e-mail: anugerahilmu@yahoo.com

Jumpa lagi.


Atas Feri Menyeberangi Selat Melaka dalam
perjalanan Melaka- Pekan Baru

Dalam Feri menyusuri Sungai Siak Pekan Baru

Berihat Di Rangkiang Kemuncak Banjaran Barisan Sumatera

Home Stay rumah Ibu Ed di Induring
Kapau - En Zainal dan isteri

Shopping Sakan Di Pasar Aur Kuning Bukit Tinggi

Kota Bukit Tinggi banyak Kereta Kuda (Bendi)

Singgah di Masjid Agong Pekan Baru, Riau

Cikgu Ghazali (semenda orang Kapau)
bersama isteri Cikgu Rosnina

Pemandangan Menarik di Danau Buatan
Sempadan Riau Sumatera Barat

Singgah di Kelok Sembilan
(Hari-hari terakhir Kelok Sembilan)

Lawatan sambil belajar ke salah sebuah
Koperasi di Bukit Tinggi

Lawatan ke Pusat Kraf Pandai Sikek

Bergambar ramai di hadapan Rumah Adat Pusat
Dokumentasi Minang di Padang Panjang

Singgah di Pusat Islam di Bangkinang dalam
perjalanan ke Bukit Tinggi


Bergambar ramai di hadapan Jam gadang Kota Bukit Tinggi

Lawatan ke Lobang Jepang (Jepun)

Makan bersama orang desa Induring Kapau hari
terakhir sebelum berangkat ke Dumai.

Wednesday, December 23, 2009

MENJEJAK WARISAN

Lucu juga. Dalam umur-umur sebegini baru mula berjinak-jinak dengan blog. Itupun kerana 'galakan' anak-anak . Isteri saya kelihatannya sedang senyum termeweh di dapur. Mungkin dia juga merasa lucu kerana suaminya yang sudah hampir tujuh tahun jalan bertongkat dan bertengkot-tengkot, sudah terikut-ikut dengan gelagat anak muda.

Untuk tulisan-tulisan terawal ini, saya ingin menumpukan kepada menjejak warisan atau keturunan atau lingkungan susurgalur keluarga saya. Blog ini saya namakan Bicara Anak Kapau. Bertepatan, maka penulisan awal ini , saya dedikasikan kepada saudara-mara saya keturunan Kapau yang lahir, dibesarkan, mendapat pendidikan, dan berkahwin di bumi Malaysia .

Saya mengharapkan saudara-mara khususnya yang tidak saya kenali, akan membaca blog ini. Semoga blog ini, menjadi wadah dan katalis dalam kita mengenali atau menjejaki saudara mara kita sendiri sebelum terlambat. Perlu diingatkan, kebanyakan generasi bapa dan datuk kita sudah hampir tiada. Kita di sini adalah kelompok generasi ke-5 hingga ke-8.


Kapau adalah sebuah desa tenang dan aman di jajahan Tilatang Kamang, Kabupaten (Daerah) Agam, anggaran 5 kilometer dari Kota Wisata atau Pelancongan Bukit Tinggi, Sumatera Barat Indonesia. Panoramanya begitu indah dengan lautan sawah padi saujana mata memandang. .
Arus kemodenan yang melimpah ruah di desa itu tidak langsung menggugat keutuhan adat dan budaya yang masih kekal keasliannya. Hampir tiada lagi rumah-rumah kayu , tetapi digantikan dengan rumah batu yang besar dengan kamar termenungnya di dalam rumah. Sistem perhubungan jalan dan kenderaan amat memuaskan.

Kadangkala, terasa aneh dan hairan kenapa ramai anak-anak keturunan Kapau tidak 'sudi' menjengah desa di mana asal keturunannya atau malu mengaku dirinya orang Minangkabau keturunan Kapau. Berbanding dengan masyarakat perantau lainnya yang terputus langsung tali persaudaraan dengan saudara mara mereka di negeri asal, orang Kapau tidak pernah bersifat demikian. Identiti kelompok masyarakat ini mudah dikenali iaitu (dulunya) menjual dan membuat songkok, menjual kuih Apam Balik dan Restoren Nasi Padang. Tidak hairan sekiranya masyarakat ini boleh ditemui atau menetap di merata bandar besar atau kecil seluruh negara.

Mungkin saudara tidak sedar, anak-anak keturunan Kapau ramai yang hebat-hebat. Di Malaysia kini, generasi baru anak-anak Kapau banyak terbabit dalam bidang profesional seperti Doktor, Jurutera, Media, Peguam, Tokoh Perniagaan , Pentadbir dan sebagainya. Bekas Bos besar Maybank dan kini di Jabatan Perdana Menteri misalnya dikatakan turut mempunyai darah Kapau. Begitu juga dengan isteri Allahyarhan Tan Sri Hamid Jumat bekas Duta ke Singapura zaman Tunku atau isteri Datuk Zukri Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia kini.

Di Indonesia, Wali Kota (Datuk Bandar) kota Padang dulu dan Wali Kota Bukit Tinggi Sumatera Barat adalah anak Kapau. Di Jakarta, beberapa rangkaian jenama restoren selera minang terkemuka, dimiliki sepenuhnya oleh orang Induring Kapau.
Di Brunei ada anak keturunan Kapau menjadi doktor pakar dan pegawai pendakwa raya yang popular di sana.

Jangan malu menjadi orang Kapau atau tepatnya orang Minangkabau. Nama Minangkabau wujud konon riwayatnya hasil kecerdikan moyang-moyang kita, yang Menang (Minang) berlaga Kabau (Kerbau) menewaskan orang-orang Jawa. Falsafah orang Kapau begitu mudah, Anak Kapau walaupun di bumi mana saja mereka berpijak, akan tetap menjadi anak Kapau. Malah sehingga kini, sudah lama diputuskan hanya anak Kapau dan keturunannya (khususnya Induring Kapau) yang diizinkan memiliki harta di bumi Kapau.

Justeru, Jadilah anak Kapau sejati dan jengoklah buminya yang indah dan murni kerana di situlah asal kebangkitan dan kehebatan moyang dan masyarakat kita.

Usah risau dengan gempa bumi yang berlaku di Sumatera dulu. Alhamdulillah ia terletak jauh dari desa kita. Kota Bukit Tinggi juga indah dan menarik dengan Ngarai Sianok, Lubang Japang, Kereta Kuda (Bendi) serta tempat membeli belah serba murah di Aur Kuning dan Pasar Ateh (Atas). Begitu juga dengan Istana Pagar Ruyung dan Pusat Kraf Pandai Sikek atau Pusat Sulaman Paya Kumbuh. Lapangan terbangnya, Minangkabau International Airport pula bertaraf Antarabangsa. 99 peratus penduduknya beragama Islam.

Sebagaimana saudara, saya juga lahir dan bersekolah di Malaysia, tepatnya Masjid Tanah, Melaka. Pada masa kecil, saya tidak ingin menjadi orang Minangkabau kerana kenalan di Masjid Tanah, kerap mengusik dengan mengatakan " Orang awak Cirik Di Labuh, Kancing Badarai-darai". Malah, jika ada majlis keraian atau kematian di kalangan saudara-mara,, saya cuba mengelak untuk turut serta. Ayah saya, yang saban tahun kembali ke Induring Kapau semasa hayatnya, acapkali mengajak saya ke sana. Setiap kali itu juga saya menolak dengan pelbagai alasan kerana takut akan dikahwinkan dengan orang Kapau Minangkabau.

Hanyalah selepas ayah tercinta meninggal dunia tahun 1993, barulah saya menjejakkan kaki di bumi nenek moyang saya. . Kami adik-beradik dan keluarga seramai 40 orang ' termasuk dari Brunei dan Jakarta.
Ternyata kepulangan pertama, meninggalkan kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan. Buat pertama kali, saya merasakan kami bukan keluarga terbuang tetapi mempunyai keluarga besar di sana. Layanan orang kampung kepada kami, terlalu istimewa, seolah-olah kami adalah keluarga mereka yang lama menghilang atau merantau.

Sejak itu, setiap tahun jika ada kesempatan saya akan membawa keluarga 'pulang' kampung di desa Induring Kapau. Soal penginapan dan makanan bukan soal besar kerana ayah saya sudah lama menyediakan rumah-rumah untuk isteri dan anak-anak juga kemenakannya sebagaimana amalan keluarga kita lainnya berdasarkan falsafah "Anak dikendong,kemenakan dijinjing". Begitu juga dengan keluarga bapa mertua saya. Bagi saudara-saudara lain usah risau, saudara past juga mempunyai kaum kerabat atau keluarga di sana. Itulah keistimewaan keluarga besar masyarakat Kapau kita.

Pada kesempatan akan datang, saya akan menjelaskan asal dan salasilah keluarga dan keturunan saya serta keinginan saya menjejaki keluarga saya termasuk dari keturunan moyang saya Haji Hussein atau lebih dikenali sebagai Nyek Syeikh.


Oh ya sebelum terlupa, Nama saya Sudirman gelar Sutan Zainudin. Ayah saya Allahyarham Haji Rosli dulu bergelar Datuk Sipado Basa suku Tanjung Induring Kapau. Ibu saya Allahyarhamah Hjh Norlela (atau Lela) Banda Baru, suku Jambak Kacik. Isteri saya Riswati anak Allahyarham ayahanda Hj Nabawi Datok Gadang Majolelo suku Guci dan ibunya Shamsiah (Tek Cham Johor Baru) anak Nenek Maji suku Jambak Gadang Kampung Pisang Induring Kapau. (Akhirnya kawin juga dengan orang awak).

Jumpa lagi.