Tuesday, December 29, 2009

Siapa Nyek Sheik Haji Hussin?

Sebelum terlambat, ingin saya merakamkan ucapan terima kasih kepada En Zainal dan isteri dari Kluang. Foto-foto rombongan ke Bukit Tinggi yang tertara dahulu adalah pemberian dari mereka. Di Induring, (home stay) beliau tinggal di rumah Ibu Ed.

Selain itu penerbitan video Adat Alam Minangkabau, sebenarnya satu 'rough edit' untuk agensi Muzium Adat Arkib Negara Malaysia di mana directing dan scripting dibuat oleh saya sendiri. Video ini pada awalnya diterima apabila skop Muzium Adat kepada adat-adat nusantara, tetapi ditarik balik apabila Menteri Dato Rais Yatim, mahukan tumpuan diberikan kepada Adat Pepatih Negeri Sembilan. Daripada disimpan begitu saja, saya rasa biarlah dipaparkan dalam blog. Maklumat yang ada mungkin boleh dimanfaatkan oleh anak-anak minang kesemuanya.

Oh ya. Sebagaimana yang saya katakan dulu, salah satu matlamat penulisan blog ini adalah berusaha menjejak keluarga dari keturunan moyang saya. Semoga saudara-mara yang membaca blog ini, dapat melihat pertalian darah dan persaudaraan antara kita, dan sekaligus dapat menjadi katalis untuk kita mempereratkan ukhuwah dan mengenali antara satu dengan yang lain.

Mungkin selepas membaca blog ini dan menyiasat susurgalur keluarga sendiri, saudara boleh menghubungi saya melalui e-mail: anugerahilmu@yahoo.com.

Untuk ruangan kali ini, tumpuan kepada moyang saya bernama Haji Hussein atau lebih dikenali sebagai Nyek Sheik datuk kepada ayahanda Allahyarham Haji Rosli Dato Sipado Basa dari ibunya Maah. Nenek beliau, salah seorang isteri Haji Hussin, Rafah atau Arafah, suku Tanjung. Mungkin bagi orang Minang, ranjinya dilihat dari sudut matrilinial atau garis ibu. Bagaimanapun saya cenderung untuk melihat secara akademik dari kedua-dua boleh pihak kerana dengan mengkaji susurgalur keturunan ini, baru saya dapat mengenali 'siapa diri saya' sebenarnya.

Haji Hussin, sepanjang hidupnya dikatakan mempunyai tujuh orang isteri dan tiga belas orang anak. Beliau dianggarkan lahir pada tahun 1856 dan meninggal dunia di Kapau sebelum perang dunia kedua anggaran tahun 1939.

Dua aspek menarik mengenai Haji Hussin adalah, beliau telah pergi Haji dan belajar di Mekah ketika remajanya (1870). Untuk seseorang dapat pergi ke Mekah pada zaman-mana sebegitu adalah sesuatu yang mengagumkan. Tentu ada keistimewaannya pada moyang kita ini. Apakah mungkin ada keluarganya di sana atau apakah mungkin moyang kita ini seorang berketurunan Arab? Mungkin kita boleh mula melihat dan mengamati wajah kita di cermin.

Ayah saya, dalam satu kesempatan, pernah memberitahu, kita memang ada darah itu. Beliau juga pernah menyebut nama keluarganya tetapi saya tidak ingat lagi. Mungkin juga ada benarnya, kerana dalam pemberian gelar kepada orang Minang, tumpuan kepada susurgalur ibu. Tidak seperti orang China atau orang Arab atau orang Putih. Mana tahu kalau-kalau moyang-moyang Nyek Sheikh dari kelompok pengembang Agama Islam di bumi Minang? Wallahualam bisawab.

Satu aspek lagi adalah, selepas balik dari Mekah, beliau membawa ilmu dan memulakan perniagaan membuat songkok dan songkok putih di Seremban. Beliau dipercayai pengasas perniagaan membuat songkok yang diwarisi anak-anak Kapau di Malaysia, Singapura dan Brunei. Kalau memang benar sebegitu, bersamalah kita memanjatkan doa dan menghadiahkan Al-fatihah kepada moyang kita yang satu ini, kerana melalui warisan ilmunya inilah, datuk dan bapa kita mencari rezeki bagi membesarkan dan menjadikan kita insan berguna pada hari ini. Semoga Allah SWT memberikan kerahmatan kepada rohnya. Amin.

Kini, dari tiga belas adik beradik, hanya seorang saja lagi anak Haji Hussin yang masih tinggal iaitu Nenek Dasimah atau Simah berumur lebih 80 tahun dan tinggal di Kampung Baru Kuala Lumpur. Pada kesempatan akan datang. saya akan cuba paparkan temubual eksklusif secara video dengan beliau yang diambil baru-baru ini.

Nenek Dasima yang sedang sakit kini akan menghuraikan siapa dia Haji Hussin, anak-anaknya serta bagaimana rupa parasnya. Terima kasih Nek Dasima.

Jumpa lagi.

No comments: