Sunday, May 9, 2010

CUCU CICIT NEK BAEH -DATUK RAJO NAN-BASA - NEK UPIK


Kali ini saya meneruskan semula, susurgalur keturunan anak cucu-cicit Nek Baeh atau Mariam.

ANAK CUCU-DATUK RAJA NAN BASA - NENEK UPIK

Sebagaimana yang dipaparkan terdahulu, salah seorang dari anak nenek Baeh atau Mariam adalah Nenek Upik, ibu kepada bonda saya Hjh Norlela. Melalui perkahwinan dengan Datuk Raja Nan Basa, mereka memperolehi lima orang anak. Hanya seorang saja anak-anak mereka yang masih hidup iaitu Etek nurni yang kini menetap di Induring Kapau.

Anak yang tertua, Pijar atau Pijan telah berkahwin dengan Etek Asmah. Semasa hidupnya mereka menetap di Kampung Bahagia Telok Intan atau dulunya dikenali sebagai Telok Anson. Melalui perkahwinan ini, mereka dikurniakan enam orang anak, 1 lelaki 5 perempuan. Kecuali Nor, yang menetap di Telok Intan yang lainnya menetap di sekitar Lembah Kelang. Anak-anak mereka adalah Faridah, Ahmad Nazri, Rozie, Nor, Norbaiti dan Ani. Jenazah Ma'antan pijan dikebumikan di Telok Intan.

Anak yang kedua adalah ibu saya Hjh Norlela. Hjh Norlela meninggal dunia di Masjid Tanah tahun 1965 dan jenazahnya dikebumikan di Bukit Keledang Kampung Pinang. Melalui perkahwinan dengan ayah saya Haji Rosli Datuk Sipado Basa, mereka memperolehi 8 orang anak, 3 lelaki dan 5 perempuan. Anak tertua adalah Mhd Damanhuri, diikuti Mohd Powdzi (meninggal dunia), Sudirman, Roslinah, Natrah (meninggal dunia), Roslaini, Normina dan Siti Khadijah (meninggal dunia).

Anak ketiga adalah Ma'antan Sidi Maradjo atau Yunus atau. Ayahanda Yunus memperolehi lima orang anak, 3 lelaki dan 2 perempuan iaitu, Safwan, Hertatie, Harsal, Chinieh (Yunifri) dan Fatmawati. Beliau lama merantau ke Malaysia, bagaimanapun pada akhir hayat beliau kembali menetap di Induring Kapau dan meninggal dunia di sana.

Anak keempat Ma'antan Sutan Maradjo dikurniakan lima orang anak iaitu, 3 lelaki 2 perempuan, iaitu Af, Nel, Indra, Wel dan El. (Maaf abang tak dapat nama penuh) .Saya bagaimanapun, tidak berpeluang mengenali beliau kecuali isteri dan anak-anaknya. Beliau meninggal dunia di Induring Kapau.

Sementara anak kelima, etek Nurni mempunyai tiga anak, 2 lelaki dan 1 perempuan, iaitu Nurahmi (Ija), Irfan dan Ismet. Etek Nurni adalah mantan guru di SMEA Solok. Beliau kini telah bersara.


DATUK RAJA NAN BASA

Datuk Raja Nan Basa adalah bapa kepada ibu saya. Sepanjang hayatnya datuk mempunyai dua orang isteri iaitu Nenek Upik Banda Baru dan seorang lagi isterinya orang Koto Penalok, Induring Kapau.

Dengan isteri keduanya, beliau memperolehi tiga orang anak, 1 lelaki dan 2 perempuan. Saya hanya berkesempatan mengenali seorang dari mereka iaitu Ma'antan Jasadin yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu di induring Kapau. Salah seorang anak kemanakannya kini menetap di Johor Baru.

Datuk Raja Nan Basa, mempunyai seorang adik perempuan di Pandan Banyak Induring Kapau bernama Nenek Raei. Nenek Raei mempunyai lima orang anak iaitu dua lelaki dan 3 perempuan. Mereka adalah Fatimah, Jusnar (ibu Gadis Powdzi), Aziz (bapa Nelly Rizal Masjid Tanah) Dan Sudarmi.

Jumpa lagi.

Thursday, May 6, 2010

BALASUNGKAWA - NEK DASIMA


Innalillaah wa inna illah hi rajiun.

Pada awal pagi 27 April 2010, satu-satunya nenek atau moyang kita dari keturunan Nyek Sheik, Nenek Dasima, telah menyahut panggilan Illahi. Paparan temubual saya dengan beliau dengan video mengenai susurgalur keturunan telah saya siarkan beberapa bulan yang lalu.

Untungnya, saya sempat berbuat demikian. Sekurang-kurangnya, saya dapat merungkai , latar belakang keluarga kita dari jurai keturunan Nyeik Sheikh. Jika sekiranya, temubual ini tidak saya lakukan dulu, pastinya kini, ada antara anak kemanakan yang berlanggar bahu, tidak langsung mengenali saudara-maranya.

Sebenarnya, perkenalan pertama saya dengan Nek Dasima berlaku pada awal tahun 1984. Ketika itu, saya baru berkahwin dan masih bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Universiti Malaya. Nek Dasima bersama nek Kayah mengunjungi rumah sewa saya di PJ untuk berkenalan dengan 'menantu'cucu, kerana menurut mereka, saya adalah cucu mereka.

Bagaimanapun, saya kurang jelas akan maksud 'cucu' ini serta bagaimana pertalian nenek cucu itu terjadi. Yang saya tahu, nenek saya dari keturunan Nyeik Sheikh seorang saja iaitu Nenek Maah, ibu allahyarham ayah saya Haji Rosli. Atau mungkin, saya ketika itu tidak mahu ambil pusing akan hubungan kekeluargaan ini.

Pada waktu lain, khususnya dalam majlis perkahwinan keluarga yang saya kunjungi, saya bertemu juga dengan nek Dasima. Tetapi, persepsi saya terhadap Nek Dasima adalah sama sebagaimana persepsi saya terhadap keluarga yang lain iaitu sekadar 'saudara mara'.

Tidak hairanlah, jika saya kemudiannya tidak ambil pusing tentang hubungan ini dan langsung tidak berusaha untuk meneruskan hubungan silaturrahim yang mula dibina oleh Nek Dasima dan nek Kayah.

Hanyalah, apabila umur meningkat dan kerap 'balik' ke Induring Kapau serta 'tidak malu mengaku orang awak', saya mula rajin mencari dan menjejak talian dan hubungan kekeluargaan ini. Ketika inilah nama Nek Dasima dan Nek Kayah serta nek Mok Hulu Langat muncul. Ternyata kedudukan mereka begitu hampir dengan diri saya. Mereka adalah adik-beradik nenek saya sendiri dari ibu-ibu yang lain.

Saya juga dimaklumkan, dari kesemua anak-anak Nyeik Sheikh hanya seorang saja yang masih hidup dan tinggal di KL iaitu Nek Dasima. Sejak itu saya cuba menjejaki beliau tetapi gagal hinggalah pada suatu hari, abang Imi memaklumkan tentang nek Dasima di Kampung Baru serta memberikan nombor telefon rumahnya.

Nenek Dasima kelihatan begitu seronok sekali apabila saya menelefonnya. Menariknya, Nek Dasima, masih ingat nama saya apabila beliau memberitahu Cik Hawa, Sudirman anak Lela Banda Baru Datuk Pado Basa. Beliau masih ingat kali pertama bertemu saya suami isteri di PJ.

Lanjutan dari itu, saya mengunjungi Nek Dasima tidak lama selepas hari raya haji lalu. Saya sempat merakam temubual dengannya mengenai asal usul keturunan saya. Ketika itu Nek Dasima sedang uzur tetapi ingatannya sangat baik dan tuturbualnya langsung tidak memperlihatkan realiti kesihatan dan tubuhnya.

Itulah pertemuan terakhir saya dengan nek dasima.

Saya mendapat berita sedih itu dari Makcik Ramlah Selayang melalui telefon anggaran jam 10.30 pagi. Saya menelefon ke Kampung Baru. Ada seseorang menyambutnya dan mengatakan jenazah Nek Dasima telah berada di surau dan akan dikebumikan anggaran jam 11 pagi. Justeru, sepantas mana sekalipun saya memandu dari Melaka, adalah tidak mungkin saya dapat menatap wajah Nek Dasima buat kali terakhir. Mungkin jika berkesempatan, saya akan cuba mengunjungi pusaranya. insyaallah.

Saya dimaklumkan Nenek Dasima telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tengah malam sebelumnya. Pada petangnya, saya menelefon Cik Hawa bertanyakan hal ini. Saya dimaklumkan, nombor telefon saya tersalah letak dan justeru itu, saya tidak dapat dihubungi untuk dimaklumkan berita sedih itu.

Apakah mungkin peristiwa ini dapat menyedarkan kita, akan kepentingan mengumpul data-data keluarga, serta alamat mahupun nombor telefon saudara-mara kita sendiri khasnya atau orang-orang kapau amnya?

Sebenarnya, ada suatu berita gembira lanjutan dari peristiwa ini.

Dua hari lalu saya menerima e-mail dari Irwan pangkat cicit nek Dasima. Irwan ingin mengenali saya dan meminta nombor telefon. Terima kasih Irwan dan mungkin melalui usaha irwan, dapat menjalin semula hubungan kekeluargaan yang terputus selama ini. Saya akan menghubungi Irwan nanti jika ada kesempatan.

Saya belum berkesempatan membalas e-mail Irwan. Tapi untuk semua saya boleh dihubungi di e-mail saya: anugerahilmu@yahoo.com . Rumah kami masih di Kajang, tetapi kini menetap sementara di Masjid Tanah, Melaka, bandar kelahiran saya.

Akhirnya, marilah kita bersama menghadiahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham Nek Dasima dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan Allah swt di kalangan orang-orang soleh dan yang amat dikasihiNya. Amin.

Jumpa lagi.