"Tuhan tu maha pemurah. Maha kaya. Kita mintaklah. Kalau tak diberikan juga, kita mintak terus. Macam kamu semua dengan ayah. Kamu mintak duit. Ayah tak bagi. Jadi hari-hari kamu ketuk pintu ayah. Lama-lama ayah bosan juga dan ayah bagi juga. Jadi nasihat ayah, sembahyang terus dan kemudian berdoa terus. Akhirnya, ayah yakin tuhan akan kesihan dengan kita dan akan perkenankan juga doa kita."
Terngiang-ngiang di telinga, amanat ayah suatu masa lalu. Selalunya, apabila ayah balik dari Brunei, kami adik-beradik akan berkumpul ramai-ramai dan berbual tepatnya berdebat dengan ayah hingga santak pagi. Perbualan kami menyentuh banyak topik termasuk isu-isu semasa. Ayah selalunya, akan mengambil pendirian bertentangan dengan anak-anaknya terhadap sesuatu isu bagi merancakkan lagi perdebatan itu.
Selalunya, kami akan tewas dalam perdebatan itu, apabila ayah mula menyelitkan hujah-hujahnya dengan hadis atau ayat-ayat Al-Quran.
Dalam perbualan sebegitu juga, ayah kerap memberikan nasihat dan amanat. Antara yang masih saya ingat, adalah amanat terakhirnya pada malam selesai majlis perkahwinan terakhir anaknya di rumah Kelebang.
Menurut ayah, satu perkara yang amat ditakutinya apabila dia tiada lagi, anak-anaknya yang ramai itu akan berpecah-pecah dengan fahaman dan pendirian masing-masing. Ini katanya, mungkin disebabkan oleh sikap manusia yang suka mengadudomba dan mengasung untuk memecahbelahkan kami adik-beradik.
Justeru nasihatnya, walau apapun keadaannya, ayah mengharapkan kami anak-anaknya akan sentiasa lindung-melindungi, saling bantu-membantu dan jangan sesekali mendengar asungan orang, dan akan sentiasa kasih-mengasihi antara satu sama lain. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, perpecahan di kalangan anak-anak almarhum ayah tidak pernah berlaku, dan hubungan persaudaraan itu semakin kukuh dan mantap. Apatah lagi, anak-anaknya kini sudah kesemuanya melepasi angka 50 tahun.
Pada masa yang lain, ayah pernah juga menasihati saya melalui beberapa falsafah hidupnya.
Suatu masa, saya pernah 'meradang' kerana sesuatu hal yang membabitkan pihak berkuasa. Bagi meredakan keberangan saya, ayah zahirkan falsafah minangnya seperti ini," Ameh padu, senjato tajam, mulut bacha," atau dalam bahasa Melayu, "Emas Padu, Senjata Tajam, Mulut Kurang Ajar".
Secara mudah maksudnya, selalunya, orang yang bercakap bongkak atau berani bersuara lantang, orang itu mestilah mempunyai dua unsur kekuatan iaitu pertamanya, dia orang yang berharta, kaya atau banyak duit. Keduanya, dia juga mesti seorang yang berkuasa atau berpangkat tinggi atau mempunyai kedudukan baik dalam politik.
Jika sekadar mempunyai kekuatan dalam hanya politik atau kuasa, tetapi tidak dalam harta kekayaan , bermakna, kuasa kita nanti akan mudah diselingkuh oleh orang yang kaya raya dan berduit. Begitu juga sebaliknya, kalau kita sekadar kaya-raya tetapi tidak punya kuasa, bererti orang yang punya kuasa, akan menggunakan pengaruh dan kekuatan kuasanya untuk melemahkan kekuatan ekonomi kita.
Justeru kata ayah, kalau mahu maju dalam kehidupan, mantapkan lagi kekuatan dalam kedua-dua aspek ini. Kalau tidak mampu, lebih baiklah tutup mulut saja dan jangan jadi terlalu 'bacha' hingga menyusahkan diri sendiri dan keluarga kemudiannya.
Ayah juga pernah memberikan falsafah mengenai sikap manusia yang kerap mementingkan diri sendiri dan jarang untuk membantu kita apabila berada dalam kesusahan seperti maksud peribahasa Melayu, iaitu Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Falsafah Minangnya berbunyi, "Kalau terkurong bia di luar, kalau terimpek, bia di ateh." Maksudnya, kalau terkurung dalam sesuatu tempat, biasanya seseorang manusia itu, akan berusaha untuk berada paling tepi untuk mendapat nafas, tetapi kalau terimpit dalam satu karung, selalunya mereka akan berusaha berada pada kedudukan paling atas."
Justeru nasihat ayah, berhati-hatilah dalam membuat kebaikan terhadap orang lain, kerana amat sikit jumlahnya orang yang sanggup menangis bersama kita yang sedang kesusahan, berbanding begitu ramainya orang ketawa ria apabila kita berada dalam kesenangan.
Suatu masa lain, saya pernah mempertikaikan sikap salah seorang ipar saya. Saya melahirkan kejengkilan dan rasa tidak puas hati kerana ayah tidak mahu menegur menantunya tentang masalah itu.
Kata ayah, kalau ayah tegur Man, Man mungkin merajuk dan tinggalkan ayah. Tetapi sebagai anak, Man mahu tidak mahu, akan pulang juga ke rumah. Tapi kalau ayah menegur menantu ayah, kesannya adalah lebih buruk lagi. Menantu ayah mungkin merajuk terus dan membawa bininya dan memutuskan hubungan keluarga. Lebih teruk, kalau dia terus menceraikan adik kamu. Jadi, dalam soal ini, berhati-hatilah. Kalau menarik rambut dalam tepung, biar rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerakkan.
Satu lagi yang kekal menjadi kenangan saya, adalah kesungguhannya untuk 'meminangkabaukan' anak-anaknya.
Ayah kelihatannya, tidak begitu kisah sekiranya anak-anak perempuannya berkahwin dengan bukan orang awak. Tetapi, ayah akan berkeras dan berdegil sekiranya ia berkaitan dengan anak-anak lelakinya. Dia akan memastikan anak-anak lelakinya yang enam orang itu dijodohkan dengan anak Kapau atau anak-anak keturunan Kapau atau paling tidak orang-orang keturunan asli bumi Minang.
Tidak hairan, apabila arwah Datuk Muncak berkahwin dengan kemenakannya Kak Inun suku Tanjung, Abang Imi, dengan Kak Marlina Jambak Pindih, Abang Huri dengan Kak Halimah , kemenakannya anak adiknya Etek Bedah di Talao, Abang Fauzi dengan Gadih, dari Pandan Banyak, saya dengan Riswati Jambak Gadang Kampung Pisang lahir di Batu Pahat Johor dan Bachtiar dengan Ses anak angkatnya dari Kubang Pipit.
Dahulu saya tidak dapat menerima keadaan ini. Tetapi hari ini sesudah di"minangkabaukan' saya mula memahami fikiran dan falsafah ayah. Menurut pemahaman saya, adat perpatih menitikberatkan kepada jurai keturunan perempuan. Justeru anak-anak dari kakak atau adik perempuan saya, akan pasti mewarisi jiwa minangnya dan akan terus kekal menjadi orang Minangkabau.
Apatah lagi, dalam kehidupan realiti, seorang lelaki akan pulang ke rumah isterinya sebagaimana falsafah luar mengatakan, " My home is where my wife is," atau ' kampungku adalah di mana isteriku berada'. Selalunya, kampung itu adalah di rumah keluarga isteri si suami itu.
Jelasnya, kalau seorang lelaki berkahwin, kerapkali dia mengikut isterinya pulang ke rumah keluarganya dahulu. Justeru, kalau seorang lelaki Minang berkahwin dengan bukan orang Minang atau katakan orang Kelantan atau Perak, umumnya dia akan mengikut isterinya ke situ dan besar kemungkinan akan berkampung di situ apabila tiba hari persaraan.
Saya sesekali merasakan ayah begitu selfish dengan pendiriannya ini. Namun, apa yang dilakukannya itu sebenarnya sesuatu yang dipraktikkan oleh dirinya, bapanya, datuknya dan moyangnya. Moyang, atok, ayah dan dirinya dahulu berkahwin dengan orang-orang Kapau dan kesan dari perkahwinan itulah, sehingga kini, saya anak, cucu, cicit mereka, masih kekal menjadi anak jati keturunan Kapau dan tidak pernah hilang identitinya sebagaimana orang lain.
Kadang-kala terpalit juga ketakutan pada diri akan kemungkinan yang mendatang. Apakah saya mampu meneruskan tradisi ini memandangkan anak-anak generasi kini tidak lagi berjiwakan Minangkabau apatah lagi berjiwa Kapau. Lihatlah ke sekeliling saudara-mara kita orang Kapau. Anak masing-masing sudah berkahwin dengan bukan orang awak lagi.
Mungkin, sebagaimana cadangan saya dahulu, salah satu usaha mengekalkan jiwa dan perasaan 'kekapauan' di kalangan anak-anak generasi kini, adalah memperhebatkan aktiviti rombongan melancong ke Bumi Kapau untuk anak-anak generasi Y ini. Ayah atau ibu mereka wajar memainkan peranan penting, agar anak-anak, walau berkahwin dengan sesiapa saja, tidak akan terlupa akan asal keturunan mereka.
Pihak desa kapau juga persatuan anak kapau mesti memainkan peranan penting, bagi menyediakan pelbagai tarikan untuk menggalakkan mereka, walau sekali seumur hidup untuk berkunjung di bumi di mana nenek moyang mereka dilahirkan.
Banyak lagi kisah-kisah dan nasihat ayah dan mungkin jika ada kesempatan saya akan paparkan lagi menerusi ruangan ini.
Sebenarnya, tulisan Terkenang Ayah ini, lebih ditujukan kepada anak cucu cicit piut ayah yang berada di serata Malaysia, Brunei dan Indonesia. Ia ada kaitannya dengan ingatan terhadap kembalinya ayahanda tercinta ke rahmatullah pada awal Ogos 1993 anggaran 18 tahun yang lalu.
Kalau ayah hidup lagi, umurnya kini adalah 100 tahun.
Bersamalah kita memanjatkan doa agar roh ayah dan ibu-ibu kita serta roh nenek-moyang dan saudara-mara yang telah mendahului kita mendapat rahmat dari Allah swt dan menempatkan mereka di kalangan roh orang-orang yang amat dikasihinya. Amin.
Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment