Wednesday, December 23, 2009

MENJEJAK WARISAN

Lucu juga. Dalam umur-umur sebegini baru mula berjinak-jinak dengan blog. Itupun kerana 'galakan' anak-anak . Isteri saya kelihatannya sedang senyum termeweh di dapur. Mungkin dia juga merasa lucu kerana suaminya yang sudah hampir tujuh tahun jalan bertongkat dan bertengkot-tengkot, sudah terikut-ikut dengan gelagat anak muda.

Untuk tulisan-tulisan terawal ini, saya ingin menumpukan kepada menjejak warisan atau keturunan atau lingkungan susurgalur keluarga saya. Blog ini saya namakan Bicara Anak Kapau. Bertepatan, maka penulisan awal ini , saya dedikasikan kepada saudara-mara saya keturunan Kapau yang lahir, dibesarkan, mendapat pendidikan, dan berkahwin di bumi Malaysia .

Saya mengharapkan saudara-mara khususnya yang tidak saya kenali, akan membaca blog ini. Semoga blog ini, menjadi wadah dan katalis dalam kita mengenali atau menjejaki saudara mara kita sendiri sebelum terlambat. Perlu diingatkan, kebanyakan generasi bapa dan datuk kita sudah hampir tiada. Kita di sini adalah kelompok generasi ke-5 hingga ke-8.


Kapau adalah sebuah desa tenang dan aman di jajahan Tilatang Kamang, Kabupaten (Daerah) Agam, anggaran 5 kilometer dari Kota Wisata atau Pelancongan Bukit Tinggi, Sumatera Barat Indonesia. Panoramanya begitu indah dengan lautan sawah padi saujana mata memandang. .
Arus kemodenan yang melimpah ruah di desa itu tidak langsung menggugat keutuhan adat dan budaya yang masih kekal keasliannya. Hampir tiada lagi rumah-rumah kayu , tetapi digantikan dengan rumah batu yang besar dengan kamar termenungnya di dalam rumah. Sistem perhubungan jalan dan kenderaan amat memuaskan.

Kadangkala, terasa aneh dan hairan kenapa ramai anak-anak keturunan Kapau tidak 'sudi' menjengah desa di mana asal keturunannya atau malu mengaku dirinya orang Minangkabau keturunan Kapau. Berbanding dengan masyarakat perantau lainnya yang terputus langsung tali persaudaraan dengan saudara mara mereka di negeri asal, orang Kapau tidak pernah bersifat demikian. Identiti kelompok masyarakat ini mudah dikenali iaitu (dulunya) menjual dan membuat songkok, menjual kuih Apam Balik dan Restoren Nasi Padang. Tidak hairan sekiranya masyarakat ini boleh ditemui atau menetap di merata bandar besar atau kecil seluruh negara.

Mungkin saudara tidak sedar, anak-anak keturunan Kapau ramai yang hebat-hebat. Di Malaysia kini, generasi baru anak-anak Kapau banyak terbabit dalam bidang profesional seperti Doktor, Jurutera, Media, Peguam, Tokoh Perniagaan , Pentadbir dan sebagainya. Bekas Bos besar Maybank dan kini di Jabatan Perdana Menteri misalnya dikatakan turut mempunyai darah Kapau. Begitu juga dengan isteri Allahyarhan Tan Sri Hamid Jumat bekas Duta ke Singapura zaman Tunku atau isteri Datuk Zukri Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia kini.

Di Indonesia, Wali Kota (Datuk Bandar) kota Padang dulu dan Wali Kota Bukit Tinggi Sumatera Barat adalah anak Kapau. Di Jakarta, beberapa rangkaian jenama restoren selera minang terkemuka, dimiliki sepenuhnya oleh orang Induring Kapau.
Di Brunei ada anak keturunan Kapau menjadi doktor pakar dan pegawai pendakwa raya yang popular di sana.

Jangan malu menjadi orang Kapau atau tepatnya orang Minangkabau. Nama Minangkabau wujud konon riwayatnya hasil kecerdikan moyang-moyang kita, yang Menang (Minang) berlaga Kabau (Kerbau) menewaskan orang-orang Jawa. Falsafah orang Kapau begitu mudah, Anak Kapau walaupun di bumi mana saja mereka berpijak, akan tetap menjadi anak Kapau. Malah sehingga kini, sudah lama diputuskan hanya anak Kapau dan keturunannya (khususnya Induring Kapau) yang diizinkan memiliki harta di bumi Kapau.

Justeru, Jadilah anak Kapau sejati dan jengoklah buminya yang indah dan murni kerana di situlah asal kebangkitan dan kehebatan moyang dan masyarakat kita.

Usah risau dengan gempa bumi yang berlaku di Sumatera dulu. Alhamdulillah ia terletak jauh dari desa kita. Kota Bukit Tinggi juga indah dan menarik dengan Ngarai Sianok, Lubang Japang, Kereta Kuda (Bendi) serta tempat membeli belah serba murah di Aur Kuning dan Pasar Ateh (Atas). Begitu juga dengan Istana Pagar Ruyung dan Pusat Kraf Pandai Sikek atau Pusat Sulaman Paya Kumbuh. Lapangan terbangnya, Minangkabau International Airport pula bertaraf Antarabangsa. 99 peratus penduduknya beragama Islam.

Sebagaimana saudara, saya juga lahir dan bersekolah di Malaysia, tepatnya Masjid Tanah, Melaka. Pada masa kecil, saya tidak ingin menjadi orang Minangkabau kerana kenalan di Masjid Tanah, kerap mengusik dengan mengatakan " Orang awak Cirik Di Labuh, Kancing Badarai-darai". Malah, jika ada majlis keraian atau kematian di kalangan saudara-mara,, saya cuba mengelak untuk turut serta. Ayah saya, yang saban tahun kembali ke Induring Kapau semasa hayatnya, acapkali mengajak saya ke sana. Setiap kali itu juga saya menolak dengan pelbagai alasan kerana takut akan dikahwinkan dengan orang Kapau Minangkabau.

Hanyalah selepas ayah tercinta meninggal dunia tahun 1993, barulah saya menjejakkan kaki di bumi nenek moyang saya. . Kami adik-beradik dan keluarga seramai 40 orang ' termasuk dari Brunei dan Jakarta.
Ternyata kepulangan pertama, meninggalkan kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan. Buat pertama kali, saya merasakan kami bukan keluarga terbuang tetapi mempunyai keluarga besar di sana. Layanan orang kampung kepada kami, terlalu istimewa, seolah-olah kami adalah keluarga mereka yang lama menghilang atau merantau.

Sejak itu, setiap tahun jika ada kesempatan saya akan membawa keluarga 'pulang' kampung di desa Induring Kapau. Soal penginapan dan makanan bukan soal besar kerana ayah saya sudah lama menyediakan rumah-rumah untuk isteri dan anak-anak juga kemenakannya sebagaimana amalan keluarga kita lainnya berdasarkan falsafah "Anak dikendong,kemenakan dijinjing". Begitu juga dengan keluarga bapa mertua saya. Bagi saudara-saudara lain usah risau, saudara past juga mempunyai kaum kerabat atau keluarga di sana. Itulah keistimewaan keluarga besar masyarakat Kapau kita.

Pada kesempatan akan datang, saya akan menjelaskan asal dan salasilah keluarga dan keturunan saya serta keinginan saya menjejaki keluarga saya termasuk dari keturunan moyang saya Haji Hussein atau lebih dikenali sebagai Nyek Syeikh.


Oh ya sebelum terlupa, Nama saya Sudirman gelar Sutan Zainudin. Ayah saya Allahyarham Haji Rosli dulu bergelar Datuk Sipado Basa suku Tanjung Induring Kapau. Ibu saya Allahyarhamah Hjh Norlela (atau Lela) Banda Baru, suku Jambak Kacik. Isteri saya Riswati anak Allahyarham ayahanda Hj Nabawi Datok Gadang Majolelo suku Guci dan ibunya Shamsiah (Tek Cham Johor Baru) anak Nenek Maji suku Jambak Gadang Kampung Pisang Induring Kapau. (Akhirnya kawin juga dengan orang awak).

Jumpa lagi.

3 comments:

Anonymous said...

salam ziarah!!

akhirnya,
satu tempat for u to lay-out ur tods on things..
do write watever u wish to..
i will be reading it..;D

-waniamalinasudirman-

Unknown said...

salute sama pak Sudirman. walaupun sudah lama hidup di Malaysia, tetap tidak lupakan asal-usul. Saya sendiri pun berketurunan minang. Orang tua saya pun dr Tilatang Kamang tp bukan org kapau lah.. saya dilahirkan, membesar dan menerima pendidikan di Malaysia.memang betul apa yg Pak Sudirman katakan, ramai anak minang yang berjaya di Malaysia..semoga anak-anak Malaysia yg berketurunan minang tidak melupakan asal usul mereka

Unknown said...


Assalamualaikum Tuan/Puan.

Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Sebuah serikat yang punya legalitas di Indonesia, memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan sekali seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour, Bali Muslim Tour dan sewa kenderaan.

Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.