Thursday, June 9, 2011

SECUPAK LABA TEBARKANLAH SEDIKIT UNTUK SAMA MERASA


Suatu masa ketika tubuh agak kuat dan sihat, saya berpeluang mendapat satu projek kecil untuk menghasilkan 3000 sapray (cadar) untuk asrama sebuah kolej matrikulasi. Pada awalnya, saya terfikir untuk meminta bantuan dari banyak kilang rumah di Malaysia untuk membantu saya membereskan tugasan itu.

Bagaimanapun, suatu hari saya bertembung dengan seorang saudara kita orang kapau yang berdagang balok dengan membawa hasil kraf jahitan produk dari orang Kapau. Keadaan itu membuatkan saya terfikir, bagaimana kalau, projek itu, saya minta bantuan dari saudara-mara kita yang berkemahiran dalam jahit-menjahit.

Apatah lagi, tugasan itu bukannya susah, sekadar menjahit tepi kain yang telah siap dipotong untuk sebidang cadar dan anaknya sarung bantal.

Idea meminta bantuan orang kita itu, ternyata menimbulkan sedikit tentangan dari teman-teman saya. Menurut mereka, kosnya mungkin akan meningkat, kerana ia turut membabitkan kos pengangkutan, kos cukai, dan kos-kos lain yang ada kaitannya dengan saya seperti tambang, atau kemungkinan penghantarannya nanti akan terlewat dari jangkaan.


Masalah lain juga mungkin berbangkit, seperti kawalan kualiti produk dan kawalan semasa ketika menghasilkan produk dan kekurangyakinan diri mereka, akan kemampuan orang kampung yang tidak berpengalaman menyelesaikan tugasan mengikut masa yang ditetapkan.

Hampir termakan juga saya dengan pandangan teman-teman saya itu, Walaupun pada dasarnya, upah penghasilan produk itu agak murah , tetapi apabila ditotalkan dengan cukai import, kos penghantaran, dan masalah-masalah lain seperti keperluan masa saya untuk mengumpul dan melatih penduduk desa untuk membuat sapray itu, juga kos penerbangan pergi balik beberapa kali dan perbelanjaan luar jangka, kos keseluruhannya dan labanya tidak jauh berbeda.

Bagaimanapun, hati kecil saya tegar mengatakan, projek cadangan untuk meminta bantuan dari saudara-mara orang kapau sendiri tidak akan gagal kalau mereka mendapat bimbingan dan sokongan dari saya khususnya, Kerana keyakinan kuat itulah, saya akhirnya muncul di bumi kapau dan menjalankan operasi bersama mereka.

Sesungguhnya, saya amat terkejut dan kagum dengan apa yang saya capai.

Dengan bantuan adik-adik seperti Ija dan El, mereka dengan bantuan ramai saudara-mara, berjegang mata hingga santak subuh setiap hari untuk bersama-sama memotong kain, Selepas subuh, sudah ramai pula yang menunggu untuk mengambil kodian kain untuk dijahit, Petangnya, sebaik kain-kain yang sudah dijahit tiba, ibu-ibu mengambilalih peranan untuk melipat dan memasukkan ke dalam plastik, Saudara kita yang lelaki pula, kemudian meneruskan peranan dengan mengira dan memasukkan cadar-cadar itu ke dalam karung dan mengikatnya dengan kejap sekali.

Suasana meriah ketika itu, seperti di tempat itu atau rumah Ris, sedang diadakan satu pesta.

Dalam tempoh beberapa hari saja, projek ini berjaya dibereskan dan dihantar melalui pengiriman kargo ke Malaysia,

Pastinya, setiap mereka yang membantu, sama ada karyawan beli kain, karyawan potong memotong kain, karyawan jahit menjahit, karyawan lipat-melipat, karayawan kira-mengira, karyawan karung mengarung dan lain-lain termasuk karyawan masak memasak mendapat 'hadiah' dari penat lelah sebelum kering peluh mereka.

Memang, keuntungan dari usaha itu tidak seberapa kerana kos-kos dan kos luar jangka sebagaimana yang telah dipaparkan, tetapi, melalui tugasan ini, saya berpeluang ulang alik ke Kapau sebanyak empat kali dalam masa sebulan. Selain itu, rezeki yang secupak itu, dapat saya agih-agihkan dan dapat dirasai oleh ramai saudara mara kita.

Begitulah indahnya kenangan itu dan kerap membuat saya untuk ingin terus kembali ke desa kapau lagi. Aktiviti itu saya teruskan lagi untuk dua tahun kemudian dengan tambahan permintaan 6000 set. Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya pada tahun keempat, kerana saya jatuh sakit yang amat berat dan tidak berkeupayaan untuk meneruskan projek itu.

Anggaran tiga tahun lalu, ketika hampir 70 peratus pulih dari kesakitan yang berat, saya kembali semula ke kampung kita. Kali ini, saya tidak lagi menjadi 'toke sapray', tetapi memimpin anggaran 25 saudara-mara terdiri dari isteri, anak-anak, menantu dan cucu Mak Antan Pijan, bapa saudara saya yang tidak pernah kenal Kapau, bumi di mana bapa mereka dilahirkan.

Dalam program selama empat hari tiga malam itu, melalui pesawat Air Asia, saya pastikan kesemua mereka tidak menginap di hotel, tetapi ke rumah keluarga di Gundjo di rumah Etek Nurni. Bagi urusan pengangkutan dari Bandara ke Kapau dan pulang serta program lawatan ke seluruh Sumbar, ia diuruskan oleh anak kapau iaitu Dodi.

Program ini ternyata memberikan ilham buat saya untuk mewujudkan program KEMBARA, SHOPPING SAKAN DAN HOMSIK selama 5 hari 4 malam. KEMBARA SHOPPING SAKAN DAN HOMSIK itu bermaksud, Program Mengembara dari Melaka ke Pekan Baru, dan terus ke Bukit Tinggi dan pulang, Program itu meliputi juga Shopping Sakan di Bukit Tinggi dan Home Stay In Kapau atau Inap Desa di Desa Kapau.

Pada tahun berikutnya, dengan kerjasama ipar saya Abang Ghazali, saya membawa 20 tetamu orang Malaysia mengunjungi bumi Kapau. Rombongan kami bertolak dari Melaka dengan feri ke Pekan Baru dan bermalam di sana. Esoknya, dengan menggunakan 4 MPV dengan kapasiti 5 orang satu MPV, kami mengelilingi bumi Pekan Baru dan meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi. Di sepanjang jalan kami singgah di beberapa tempat menarik. Ahli rombongan kemudiannya di tempatkan ke hotel sebaik tiba di Bukit Tinggi. Dodi mengambilalih pengurusan penginapan dan pengangkutan di sana.

Esoknya, ahli rombongan cek out hotel dan menaiki bas rombongan untuk melancong ke seluruh Sumatera Barat. Pada petangnya mereka dihantar terus ke Induring Kapau dan bermulanya program Home Stay (HOMSIK) di desa kita.

Program Homestay yang saya rancang bersama Dodi dan Ibu Ed itu sebegini. Ibu Ed yang membantu saya, telah mencari 10 buah rumah terbaik di desa kita dengan arahan setiap rumah itu, perlu memastikan persekitaran rumahnya kemas dan cantik, kamar mandi yang bersih dan memilih sebuah kamar tidur yang terbaik dan dihiasi ala bilik pengantin. Tugasan induk rumah adalah menjadi keluarga angkat kepada pasangan suami isteri atau keluarga baru, dan mereka hanya perlu untuk menyediakan minum malam dan sarapan pagi sahaja.

Untuk makan malam, tetamu akan dijamu secara makan beramai-ramai di markas urusetia iaitu rumah Ris, isteri saya. Urusan menyediakan makan untuk tetamu telah diatur oleh Ibu Ed bersama kelompok PKK. Ketika makan malam itu juga, beberapa pemuka desa turut dijemput dan satu persembahan ringkas 'sembah kata' turut diadakan.

Esoknya, kesemua tetamu terlibat dengan program JOK atau Jadi Orang Kapau. Jam 9.00 pagi, mereka berkumpul di markas Urusetia dan adik saya Limbang dan seorang lagi, akan menghantar mereka dengan Oplet (Van) ke Bukit Tinggi untuk lawatan secara bebas dan shopping Sakan. Saya menugaskan, salah seorang wakil keluarga angkat untuk menjadi guide dan jurubahasa untuk tetamu mereka sendiri. Mereka juga diminta untuk membawa tetamu ke kompleks membeli belah termasuk di Aur Kuning.

Malamnya, selepas makan malam, kesemua tetamu menaiki semula MPV asal untuk ke Dumai. Di Dumai mereka ditempatkan sementara di sebuah rumah persinggahan untuk membersih diri sebelum di hantar ke terminal feri.

Dari rumusan yang saya terima, kesemua tetamu ini merasa begitu seronok ketika berada di desa Induring Kapau. Ramai yang mencadangkan agar, Homestay ini ditambah beberapa hari lagi kerana mereka merasa tidak puas dengan kebaikan budi bahasa dan keindahan desa kita.

Sayangnya untuk masa terdekat ini saya belum bersedia untuk meneruskan program kerana kesihatan belum pulih lagi. Tapi entahlah.. imbauan desa kapau ....

Maaf, jika ada yang terfikir yang bukan-bukan tentang apa yang cuba saya paparkan di atas. Mesej yang ingin saya sampaikan untuk saudara-saudara saya anak kapau di perantauan, adalah , walau apapun perancangan dan program yang ingin kita buat yang ada kaitan dengan bumi nenek moyang kita, apalah salahnya kalau sedikit dari labanya kita tebarkan untuk sama dirasai oleh saudara-mara kita di kampung.

Paparan ini juga ada kaitan dengan berita, betapa ada kalangan saudara mara kita yang menganjurkan rombongan keluarga secara beramai-ramai tetapi lucunya mereka kesemua menginap di hotel=hotel Bukit Tinggi. Mereka hanya hadir di desa Kapau sebagai sifatnya seorang pelancong dari Malaysia.

Paparan ini juga, ada kaitannya dengan kabar yang saya dengar betapa Persatuan Anak Kapau Selangor Kuala Lumpur akan menganjurkan rombongan selepas Aidil Fitri nanti dengan menggunakan pendekatan yang sama. Saya berharap, program ini tidak sebegitu dan masih belum terlambat untuk mengubahnya dengan menggunakan pendekatan yang pernah saya laksanakan dulu.

Hubungi Dodi dan Ibu Ed di Kapau untuk membantu saudara semua.

Sehubungan, saya juga merasakan, sudah tibalah masanya kelompok pemuka masyarakat Kapau, membuka langkah untuk memulakan program HOMSIK (Home Stay In Kapau) untuk memastikan anak-anak keturunan Kapau tidak lagi menginap di Hotel-hotel Bukit Tinggi dan menyediakan pelbagai program bagi menceriakan kehadiran saudara mara yang tidak pernah menjejakkan kaki ke bumi kelahiran nenek moyang mereka.

Mungkin program itu boleh dimulakan dengan bekerjasama dengan Persatuan Anak Kapau Selangor Kuala Lumpur. Atau apakah mungkin anak-anak Kapau di Jakarta boleh diturutsama.

Maaf kalau tersilap kata.

Jumpa lagi.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum Tuan/Puan.

Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi kami di:

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Kami memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati di Indonesia. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour dan Bali Muslim Tour.

Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.