Saturday, January 9, 2010

Tiada Agenda Tersembunyi

Assalammualaikum.
Telebih dahulu, saya mohon memperbetulkan catatan yang terdahulu. Salah seorang anak-anak Nyeik Sheik saya catatkan bernama Salima. Nama sebenar datuk kita ini adalah Haji Sulaiman. Harap maaf.

Pakcik, Makcik, Om, Etek, Abang, kakak, Adik-adik dan anak-anak.

Sebagaimana yang dinyatakan, salah satu tujuan saya memulakan blog ini adalah bagi menjejaki rantaian keluarga saya dari pelbagai keturunan. Buat permulaan ini, saya lebih menumpukan kepada jaluran Moyang yang dikenali sebagai Nyeik Sheik. Selepas itu, saya akan beralih kepada jaluran moyang Mawarni, mengikut jurai datuk saya (bapa ayah saya) Kari Dawi serta keluarga lain yang bertalian jika boleh.

Dengan sifat pengkhususan sebegini, adalah jelas blog ini adalah blog kita bersama. Cuma, peranan saya sekadar menjadi alat penghubung.

Sebenarnya, keinginan saya menyusun jaringan keluarga ini telah wujud sejak tahun 1993 lagi. Saya juga pernah meminta Allahyarham ayah untuk 'merekodkan' sejarah keluarga dalam tape recorder. Malangnya, ayah tidak berkesempatan berbuat demikian kerana beliau dijemput Ilahi tidak lama kemudian dan jasadnya disemadikan di Bandar Seri Bagawan, Brunei Darrussalam.

Sejak itu saya berusaha mengumpul maklumat sama ada melalui ayahanda Haji Nabawi atau nenek Maji (Majidah) atau di Induring Kapau melalui beberapa orang tua termasuk Allahyarhamah Etek Yan Lubis (Nyek Lareh), atau orang-orang tua lainnya (kini semuanya
tidak ada lagi). Pernah juga saya tertawa lucu, apabila ada yang mengatakan saya mempunyai agenda lain apabila berusaha menyusun 'ranji'. Soalnya, apakah saya diperbolehkan begitu?

Sebenarnya, apa yang saya lakukan ini sekadar 'seronok' atau lebih tepat sebagai satu amal jariah. Tidak ada sebarang agenda tersembunyi di sini. Umur saya sudah 56 tahun dan kesihatan saya, nampaknya semakin hari semakin merundum ( lemah di bahagian bawah anggota badan sejak 2003).

Saya tidak lagi mampu bergerak banyak seperti dahulu. Untungnya saya masih mampu memandu dan berfikir. Penggunaan wadah internet dan blog ini adalah hasil dari pemikiran saya dalam mencari jalan mudah untuk menjejaki rantaian kelu
arga bersesuaian dengan zaman sains dan teknologi ini.

Saya sebenarnya amat mengharapkan agar ada salah seorang dari anak atau cucu atau cicit setiap datuk-datuk dan nenek-nenek dari keturunan Nyeik Sheik atau jaringan dari keluarga keturunan lain (apabila tiba masanya nanti), membantu saya dengan mengirimkan e-mail dengan menyatakan carta organisasi keluarga masing-masing. Lebih menarik lagi sekiranya disertakan sekali dengan gambar foto dan alamat untuk dihubungi.

Saya berjanji, untuk menyiarkannya melalui blog ini kerana saudara-mara kita yang lain pasti ingin tahu, siapa dan bagaimanakah rupa dan wajah saudara-mara yang tidak pernah dikenalinya itu. Juga, mana tahu, mungkin satu hari nanti, jika berkesempatan, ada anak-cucu kita, akan membuat satu direktori keluarga. Malah lebih menarik lagi, jika ada yang sudi mengadakan Majlis Perhimpunan Keluarga keturunan Nyeik Sheih Haji Hussin atau keturunan dari moyang-moyang yang lainnya. Insyallah.

Sebagai contohnya, pada kesempatan akan datang, saya akan memulakannya dengan keluarga saya sendiri dari keturunan anak Nyeik Syeikh dengan isterinya Rafah (Arafah) iaitu Nenek Maah. Sehubungan melalui ruangan kali ini, saya paparkan dahulu sekeping foto gambar ramai sebahagian daripada 18 orang cucu Nenek Maah, anak-anak Allahyarham ayahanda Haji Rosli Datuk Sipado Basa.

E-mail saya : anugerahilmu@yahoo.com.

Jumpa lagi.

Foto sebahagian anak Hj Rosli diambil di Kluang Jun 2009. Belakang kiri Roslinah (Melaka), Eli (Kemenakan)
Nurmina (Kluang), Suwarni (Kajang), Seswati (Menantu), Riswati (Menantu). Duduk hadapan dari kiri
Bactiar (Kajang), Fauzinar (Jakarta), Rosnina (Kluang), Ermina (Brunei), Norma (Induring Kapau) dan Sudirman (Masjid Tanah).
Tiga lagi yang tiada dalam foto Hj Jasmi (Bukit Rambai), Md Damanhuri (Kuala Sungai Baru), Roslaini (Subang Jaya).
Enam telah dipinjam Ilahi iaitu Mawardi Dt Muncak (Kluang), Rosma (Jakarta), Rifdayanis (Kluang), Mohd Powdzi (Bukit Rambai).
Natrah dan Khadijah meninggal semasa kecil.

No comments: