Saturday, July 31, 2010

NENEK GUCI - DT. MAJO NAN TUO

Assalam mualaikum.

Saya sepatutnya memaparkan kaitan pertalian kekeluargaan antara Nek Upik dan Atuk Jelani serta kaitannya dengan keluarga isteri saya pada kesempatan kali ini.


Bagaimanapun, dua hari yang lalu, saya menerima satu e-mail yang lebih menarik dan lebih baik, daripada Datuk Majo Nan Tuo @ Abdul Halim dari Induring Kapau, waris kepimpinan Nyeik Mamak suku Guci Induring Kapau.

Saya belum berkesempatan membalas e-mail itu. Insyaallah, jika ada kesempatan saya akan berbuat demikian. Insyaallah juga, jika diizinkan Allah swt saya balik ke Kapau, saya ingin menemui beliau.


Bagaimanapun, pada kesempatan ini, saya dan keluarga di Malaysia merakamkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada beliau

Datuk Majo Nan Tuo (rasanya orangnya masih muda lagi), dalam e-mailnya memaparkan, jaluran jurai keturunan sembilan generasi suku Guci dari salasilah Nenek Guci. Setelah menelitinya, (walaupun paparan lebih kepada jurai keturunan sebelah ibu) saya menjadi manusia yang amat gembira, kerana dapat melihat urutan jaluran kekeluargaan yang turut membabitkan moyang saya Nyeik Sheik, Nenek mentua saya Nek Maji serta suaminya atuk Jelani dan saudara perempuannya Nek Upik Norbibah, lapisan keturunan ayahanda Pak Indin (Nordin) dan abangnya ayahanda Saiful Anwar (Pak Ipun) di Petaling Jaya dan banyak lagi.

Bagi kalangan keluarga kita di Malaysia yang berminat mengetahui asal-usul keturunan masing-masing, cubalah meneliti kaitan jurainya satu persatu yang akan saya siarkan kali ini dan dalam beberapa kesempatan akan datang.

Sehubungan, saya juga menjemput kalangan kaum keluarga yang lain yang ingin memaparkan salasilah keluarga masing-masing bagi rujukan dan arkib kita bersama, agar mengirimkan kepada e-mail saya. Insyaallah akan saya zahirkan dalam blog ini jika berkesempatan.

(Carta dan Rajah akan disiarkan kemudian)


NENEK GUCI.


Nenek Guci dipercayai mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Nenek Djinang (GJ) dan Nenek Sarun (GS). (anak lelaki tidak dipaparkan kerana mengikut adat minang jaluran keturunan adalah daripada sebelah nasab ibu).

Nenek Djinang, mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Puan (GJ1), Mak Djinang (GJ2) dan Nenek Pasah (GJ3). Sementara Nenek Sarun mempunyai empat anak, iaitu dua orang anak lelaki iaitu Inyiak Parak Tinggi (GS1) dan Ayah Dt Maninding (GS2) serta dua orang anak perempuan iaitu Amai Sarun (GS3) dan Kadala (GS4).

Lapisan dari generasi ketiga adalah seperti berikut:


NENEK DJINANG (GJ) - PUAN (GJ1)

Anak Nenek Djinang, Puan (GJ1) mempunyai tiga orang anak iaitu Sari (GJ11), Lambai (GJ12) dan Raijah (GJ13). Sari mempunyai empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Sutan Mudo (bapa Tek Juih), Malim Marajo (Bpk Tek Chan), Ibrahim St Saidi (Inyik Incia), dan seorang anak perempuan Sama (GJ111).


KETURUNAN PUAN (GJ1) - SARI (GJ11) - SAMA (GJ111)


Nenek Sama mempunyai empat orang anak, dua lelaki iaitu Sutan Machudum (suami Nek Maji) dan Habib (anaknya dipercayai ada di Pahang) dan dua orang anak perempuan iaitu Nenek Saleam (GJ1111) dan Nek Upik Habibah (GJ1112).

Nek Saleam (GJ1111) mempunyai enam orang anak iaitu Nazir Umar (Dt. Nan Tuo +2000), Fatimah Umar (GJ11111), Djusmaniar (GJ11112), Zainah (+1955) , Sahdinur (GJ11113) dan Nuraini (GJ11114).

Sementara Nek Upik Habibah (GJ1112) mempunyai enam orang anak iaitu Nurtisah (GJ11121), Syaifuddin, Khasiah (GJ11122), Zaniah (GJ11123), Mahmud Awaluddin dan Ahmad Akhiruddin.

KETURUNAN PUAN (GJ1) - LAMBAI (GJ12)

Nenek Lambai mempunyai tiga orang anak iaitu Hjh Marayam (GJ121) (+ 1938), Limah (GJ122) dan St. Maradjo (+1920). Hjh Marayam mempunyai seorang anak iaitu Rugoijah (H. Chadijah) (GJ1211), sementara Limah mempunyai tiga orang anak iaitu Syamsudin Sutan Sati, Burhan (+1932) dan Rohana (GJ1221).

Hjh Rogoijah (GJ1211) mempunyai tiga orang anak iaitu Fatimah (GJ12111), Nikmah (GJ12112) dan Khairiyah (GJ12113). Sementara Rohana (GJ1221) juga mempunyai tiga orang anak iaitu Aida (GJ12211), Nurman dan Neti (GJ12212).

KETURUNAN PUAN (GJ1) - RAIJAH (GJ13)

Nenek Raijah mempunyai tiga orang anak iaitu Tandin (GJ131), Ramaan dan Marin (GJ132). Nenek Tandin mempunyai tiga orang anak juga iaitu Rakinah (GJ1311), A. Rahman (Dt. Maleka) dan Fatimah (GJ1312) sementara Nenek Marin mempunyai seorang anak lelaki Hj. Saleh.

Jumpa lagi.


Akan Datang.
Keturunan Mak Djinang dan Nenek Pasah dan keturunan dari Nenek Moyang Sarun

Sunday, July 18, 2010

KETURUNAN ATUK KARI ZAINUDDIN KELANG


Sebagaimana yang dijanjikan, pada kesempatan kali ini, saya akan memberikan tumpuan kepada keluarga keturunan atuk Kari Zainuddin Kelang, bapa kepada bapa mentua saya.

Atuk Kari Zainuddin atau nama sebenarnya Zainuddin bin Saiful, dipercayai lahir anggaran tahun 1875 di Kapau, Bukit Tinggi Sumatera Barat. Beliau dipercayai merantau ke Malaysia pada awal kurun ke-20 melalui Pelabuhan Kelang. Semasa hidupnya, beliau adalah pedagang dan pembuat songkok terkenal di Kelang dengan lokasi perniagaannya berhampiran atau di bawah Jambatan Kelang.

Sepanjang hidupnya, beliau telah berkahwin sebanyak empat kali dan dikurniakan sepuluh orang anak.

Dengan isteri pertamanya, beliau memperolehi seorang anak lelaki bernama Samsuddin yang menetap di Seremban. Sementara dengan isteri keduanya, beliau juga memperolehi seorang anak perempuan, Etek Rokayah yang menetap di Padang Sumatera.

Beliau berkahwin dengan isteri ketiganya, Zainab di Kapau. Melalui perkahwinan ini beliau dikurniakan dua orang anak iaitu Kari Moktar yang menetap di Batu Pahat dan Nabawi Datuk Gadang Majolelo di Johor Bahru.

Dengan isteri terakhirnya Norbibah (Nek Upik), mereka dikurniakan dengan anak yang ramai iaitu enam orang. Mereka adalah Nortisah di Semenyih, Saifuddin di Jakarta, Khasiah di Kelang, Etek Zainiah (meninggal dunia) dan sepasang anak kembar Mahmud (Pak Wan) di Pulau Indah dan Ahmad (Pak Akin) di Kelang.

Pada akhir hayatnya, atuk Kari Zainuddin menetap di Kampung Raja Uda Kelang. Beliau meninggal dunia di sana anggaran akhir tahun 1955 atau awal 1956 pada usia anggaran 80 tahun.

KETURUNAN ATUK KARI ZAINUDDIN

Anak tertua atuk Kari Zainuddin adalah ayahanda Samsuddin. Ayahanda Samsuddin yang menetap dan meninggal dunia di Seremban telah berkahwin dengan Aminah (Mak Dang Aminah) serta dikurniakan dengan sepasang anak, seorang lelaki bernama Darlis dan seorang perempuan bernama Rose. Abang Darlis turut dikenali sebagai pelakon drama TV pada tahun-tahun 1980-an - 1990-an dengan nama Darlis Samsuddin.

Etek Rokayah anak kedua dengan isteri kedua menetap di Padang Sumatera Barat Indonesia. Beliau memperolehi dua orang anak lelaki iaitu abang Bahari Yamzik, mantan Kepala Bahtera Adiguna di Surabaya dan abang Mus. Abang Bahari Yamzik kerap juga datang ke Malaysia serta menemui ramai saudara-maranya khususnya adik-adik tirinya yang bermukim di Telok Panglima Garang, Banting Selangor.

Ayahanda Kari Moktar pada akhir hayatnya menetap di Tanjung Labuh, Batu Pahat. Sepanjang hidupnya beliau telah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan dengan sepuluh orang anak. Dengan isteri pertamanya, Etek Simah (Koto Penaluk), beliau memperolehi lima orang anak iaitu Saiful Rizal (meninggal dunia), Hasni di Kluang Johor, Azuar (meninggal dunia), Zamri di Batu Pahat dan Azahari (mantan Prof. Madya dan pensyarah Fakulti Perhutanan di UPM) yang kini menetap di Subang Jaya.

Sementara dengan isteri keduanya Aminah, beliau memperolehi lima orang anak juga iaitu Hairani di Seremban, Shahril (Seremban), Zaidatulnur di Batu Pahat, Fazilatunnur di UTM Skudai dan Norlaili di Perak.

Sementara, ayahanda Haji Nabawi Datuk Gadang Majolelo yang berkahwin dengan Shamsiah (Tek Cham) dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki iaitu Riswati (isteri saya) di Masjid Tanah/Kajang, Shahrial dan Tamrin Fooad di Johor Bahru.

Anak tertua, isteri keempat atuk Kari Zainuddin, Etek Nortisah yang berkahwin dengan Baharom dikurniakan dengan enam orang anak iaitu Kak Sawiyah (Kak Yan), Azuwar (Bang Wai), Fauziah (isteri Datuk Sukri Bank Islam), Sarial, Faridah dan Ernie. Keluarga ini bermukim di Semenyih. Ayahanda Baharom adalah abang kepada abang ipar saya Mohd Noor suami kekanda Rifdayanis.

Ayahanda Saifuddin yang menetap dan meninggal dunia di Jakarta dikurniakan dengan sepasang anak lelaki dan perempuan iaitu Eddy dan Ernie. Sementara Etek Khasiah yang masa mudanya menetap di Singapura , berkahwin dengan ayahanda Ridzuan Muluk, mantan DSP di Singapura unit Pancaragam Polis, dikurniakan tiga orang anak iaitu Eddy, Dr. Rohana (pakar di Hospital Selayang) dan Hasmy (jurutera perkapalan di Singapura).

Seorang lagi anak atuk Kari Zainuddin adalah Etek Zainiah yang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Etek Zainiah mempunyai seorang anak lelaki, Halim, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya.

Ayahanda Mahmud (Awalludin) atau dikenali sebagai Pak Wan, yang baru kehilangan isterinya Etek Sabariah, baru-baru ini, dikurniakan enam orang anak iaitu Sarina, Safiza (abang) seorang jurutera di Melaka, Afri Sofian (cikgu), Khairul Izam, Umi Shafinaz (Farmasi) dan Kyairul Anuar (Yun).

Sementara anak yang bongsu Ahmad (Akhiruddin) (Pak Akin) telah berkahwin dengan Etek Zaleha dan dikurniakan seorang anak lelaki, Awie (pegawai di UiTM).



Akan datang: Hubungan Nenek Upik Norbibah dengan Atuk Jelani dan keturunan Atuk Jelani dan Nenek Majidah


Tuesday, July 13, 2010

NEK BAEH -SIDI MARADJO 1

Assalammualaikum.

Saya masih melengkapkan data mengenai keturunan atuk Kari Zainuddin Kelang , bapa kepada ayah mentua saya Hj Nabawi Zainuddin. Insyaallah beberapa hari mendatang ini akan dapat saya paparkan untuk makluman kita bersama.

Dalam masa yang sama, saya mengharapkan agar saudara-mara saya yang beribu-ribu ramainya di serata ranah minang, negara Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura yang berkesempatan membaca coretan saya, akan turut menyertai dan membantu saya dengan membetulkan dan mengirimkan data-data jurai keturunan masing-masing agar dapat saya muatkan dalam blog ini, untuk rujukan dan pengetahuan anak cucu cicit serta generasi kita akan datang.

Blog
ini sebenarnya blog anak keturunan kapau atau blog kita bersama. Saya mungkin ditakdirkan untuk menjadi perantaranya.

Tiada sebarang agenda tersembunyi di sini. Saya tidak mencari kesempatan khususnya pada umur-umur sebegini dan pada kesihatan yang tidak begitu mengizinkan. Saya ikhlas melakukannya kerana orang lain tidak sudi membuatnya.

Contoh yang terbaik adalah mengenai pengkisahan Nek Dasimah melalui video saya dulu. Melalui pengkisahan Nek Dasimah, kita baru tahu kaitan kita dengan seorang insan besar iaitu Nyeik Sheikh Haji Hussin, moyang kita. Melalui paparan beliau juga, kita dapat tahu anak-anaknya termasuk Nenek saya . Malah saya telah paparkan anak-cucu dari keturunanan Nenek Maah untuk makluman kita bersama.

Malangnya, sehingga kini saya masih belum mendapat feedback dari pecahan anak-anak Nyeik Sheikh yang lainnya.

Justeru, jika sudi untuk berbuat sebegitu, harap e-mailkan kepada saya pada alamat berikut: anugerahilmu@yahoo.com atau sudirmanrosli@gmail.com. Lebih menarik jika disertakan foto-foto lama jika ada. Insyaallah, saya akan muatkan dalam blog ini untuk makluman saudara-mara kita yang lain.



NEK BAEH BANDA BARU - ZAINUDDIN SIDI MARADJO 1

Untuk ruangan kali ini, saya berikan sedikit tumpuan dan sambungan kepada jurai keturunan Moyang Baeh.

Baru-baru ini, Etek Nurni (ibu saudara saya adik Bonda Hjh Norlela) dari Kapau bersama Ija anaknya datang ke Malaysia. Pada kesempatan itu saya bertanyakan kenapa moyang saya diberikan gelar Nek Baeh.

Menurut beliau, ketika mudanya dahulu, Nek Baeh atau Nenek Mariyam berdagang beras atau mengikut istilah Minang Bareh. Mungkin asalnya orang menyebut Moyang Mariyam sebagai Nek Bareh. Lama kelamaan nama Nek Bareh menjadi Nek Baeh. Begitu mungkin kira-kiranya. Wallahhualambisawab.

Pada paparan terdahulu juga, saya telah nyatakan, Nek Baeh atau Moyang Mariyam pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Dengan suami pertamanya, beliau memperolehi dua orang anak (sepasang) iaitu nenek saya Nek Upik Rohani dan saudara lelakinya Sutan Raja Ameh Lisin suami Nek Jawahir Suku Jambak besar.

Dengan suami kedua, beliau memperolehi sepasang anak iaitu Nek Kamisah dan Atuk Sidi Maradjo 1. Sementara dengan suami ketiga juga memperolehi sepasang anak iaitu Nenek Nani di Selayang Baru dan atuk Maarus Sutan Rajo Pono.

Kelmarin, adik saya Refni isteri Adeng (di Segamat ) menghantar sms dan memaklumkan jaluran keturunan datuknya, Atuk Sidi Maradjo 1.

Menurut Refni, atuk Sidi Maradjo 1 bernama Zainuddin. Semasa hidupnya, beliau telah berkahwin dengan Nenek Sawati keluarga ibu tiri saya Hajah Norniah (di Pandan Banyak), Kapau. Melalui perkahwinan ini, mereka memperolehi dua orang anak perempuan iaitu Etek Anismar dan Etek Norlaili. Nenek Sawati meninggal dunia di PJ beberapa tahun yang lalu.

Etek Anismar yang kini menetap di Kapau telah berkahwin dengan Jabar St Mangkuto, suku Koto Sawah Gurun. Mereka memperolehi empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan iaitu Zenhardi, Refni, Emi Yusnaili dan Detri Yenni guru di SMEA Batu Sangkar.

Sementara Etek Nurlaili yang menetap di Petaling Jaya telah berkahwin dengan Kasim @ Buyung bin Kari Muncak. Mereka mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan iaitu Johanis, Ermayati dan Herlina.


Setakat ini, atuk Zainuddin Sidi Maradjo 1 mempunyai 16 orang cicit.

Untuk makluman, Refni yang kini menetap di Segamat adalah isteri adik sepupu saya, Adeng, dari ibunya Aminah adik ayah saya Haji Rosli.

Terima kasih sekali lagi untuk Refni kerana membantu abang melengkapkan jurai keturunan kita bersama. Semoga saudara-mara yang lain yang membaca ruangan ini, mencontohi langkah Refni dalam usaha saya untuk melengkapkan data keturunan keluarga kita bersama.

Sekali lagi dijelaskan, blog Bicara Anak Kapau ini adalah blog kita bersama yang memberikan tumpuan kepada jurai keturunan keluarga kita dari asal bumi Kapau yang bertuah itu.

Jumpa lagi



Friday, July 2, 2010

BALANGSUKAWA ETEK SABARIAH

Kelmarin, salah seorang ibu saudara yang kami kasihi telah dijemput Illahi. Etek Sabariah meninggal dunia di rumahnya di Pulau Indah jam 9.00 pagi (Khamis 1.7.10) dan dikebumikan selepas zohor di sana.

Etek Sabariah adalah isteri Pak Wan (Mahmud Awalluddin), bapa saudara isteri saya iaitu adik kepada bapanya Allahyarham ayahanda Haji Nabawi dari ibu tirinya Nek Upik Norbibah.

Saya mula mengenali insan yang baik hati ini, tidak lama selepas berkahwin dengan Riswati tahun 1984. Ketika itu ayahanda Haji Nabawi membawa kami mengunjungi keluarga dan adik-adiknya yang ramai di Kelang. Pak Wan dan isterinya Etek Sabariah ketika itu tinggal di kuarters kakitangan Jabatan Pelabuhan di Pelabuhan Kelang.

Etek Sabariah semasa hayatnya pernah bertugas sebagai seorang bidan kerajaan dan bertugas di sekitar daerah Kelang.

Kali terakhir saya menemui beliau anggaran tiga bulan lalu, ketika majlis perkahwinan anak lelaki beliau Khairul (Yun). Sebelum itu, saya dan isteri telah mengunjungi beliau beberapa hari sebelum beliau bersama suaminya Pak Wan dan anak lelakinya Safiza (abang) berangkat ke tanah suci Mekah akhir tahun yang lalu.

Saya difahamkan etek Sabariah ketika itu memang sedang mengalami sakit yang agak kronik. Walaupun begitu, beliau mempunyai keazaman yang amat kuat untuk ke tanah suci. Alhamdulillah, beliau menerima hidayah Ilahi ketika itu dan berjaya menyempurnakan ibadah hajinya dengan baik.

Saya juga difahamkan, Etek Sabariah telah dimasukkan dan menerima rawatan di hospital
Kelang beberapa bulan yang lalu kerana mengalami komplikasi buah pinggang dan sakit kecing manisnya. Bagaimanapun, beberapa hari sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir beliau meminta untuk kembali ke rumahnya.

Etek Sabariah dijemput Ilahi di hadapan suami dan anak-anaknya. Sejam sebelum itu, anak-anak sempat membersihkan dan memandikan ibu mereka. Beliau meninggalkan kita semua dengan wajah yang bersih, tenang serta dengan senyuman indah yang akan menjadi kenangan manis seluruh keluarganya.

Sebagai seorang bekas bidan, saya kira beliau berjasa dengan ramai orang. Anda mungkin salah seorang darinya. Bersamalah kita menghadiahkan Al-Fatihah untuk rohnya dan mendoakan agar beliau dilimpahi rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan roh orang-orang dikasihiNya. Amin.


Akan datang: JURAI KETURUNAN ATUK KARI ZAINUDDIN KELANG.