Assalammualaikum.
Saya masih melengkapkan data mengenai keturunan atuk Kari Zainuddin Kelang , bapa kepada ayah mentua saya Hj Nabawi Zainuddin. Insyaallah beberapa hari mendatang ini akan dapat saya paparkan untuk makluman kita bersama.
Dalam masa yang sama, saya mengharapkan agar saudara-mara saya yang beribu-ribu ramainya di serata ranah minang, negara Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura yang berkesempatan membaca coretan saya, akan turut menyertai dan membantu saya dengan membetulkan dan mengirimkan data-data jurai keturunan masing-masing agar dapat saya muatkan dalam blog ini, untuk rujukan dan pengetahuan anak cucu cicit serta generasi kita akan datang.
Blog ini sebenarnya blog anak keturunan kapau atau blog kita bersama. Saya mungkin ditakdirkan untuk menjadi perantaranya.
Tiada sebarang agenda tersembunyi di sini. Saya tidak mencari kesempatan khususnya pada umur-umur sebegini dan pada kesihatan yang tidak begitu mengizinkan. Saya ikhlas melakukannya kerana orang lain tidak sudi membuatnya.
Contoh yang terbaik adalah mengenai pengkisahan Nek Dasimah melalui video saya dulu. Melalui pengkisahan Nek Dasimah, kita baru tahu kaitan kita dengan seorang insan besar iaitu Nyeik Sheikh Haji Hussin, moyang kita. Melalui paparan beliau juga, kita dapat tahu anak-anaknya termasuk Nenek saya . Malah saya telah paparkan anak-cucu dari keturunanan Nenek Maah untuk makluman kita bersama.
Malangnya, sehingga kini saya masih belum mendapat feedback dari pecahan anak-anak Nyeik Sheikh yang lainnya.
Justeru, jika sudi untuk berbuat sebegitu, harap e-mailkan kepada saya pada alamat berikut: anugerahilmu@yahoo.com atau sudirmanrosli@gmail.com. Lebih menarik jika disertakan foto-foto lama jika ada. Insyaallah, saya akan muatkan dalam blog ini untuk makluman saudara-mara kita yang lain.
NEK BAEH BANDA BARU - ZAINUDDIN SIDI MARADJO 1
Untuk ruangan kali ini, saya berikan sedikit tumpuan dan sambungan kepada jurai keturunan Moyang Baeh.
Baru-baru ini, Etek Nurni (ibu saudara saya adik Bonda Hjh Norlela) dari Kapau bersama Ija anaknya datang ke Malaysia. Pada kesempatan itu saya bertanyakan kenapa moyang saya diberikan gelar Nek Baeh.
Menurut beliau, ketika mudanya dahulu, Nek Baeh atau Nenek Mariyam berdagang beras atau mengikut istilah Minang Bareh. Mungkin asalnya orang menyebut Moyang Mariyam sebagai Nek Bareh. Lama kelamaan nama Nek Bareh menjadi Nek Baeh. Begitu mungkin kira-kiranya. Wallahhualambisawab.
Pada paparan terdahulu juga, saya telah nyatakan, Nek Baeh atau Moyang Mariyam pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Dengan suami pertamanya, beliau memperolehi dua orang anak (sepasang) iaitu nenek saya Nek Upik Rohani dan saudara lelakinya Sutan Raja Ameh Lisin suami Nek Jawahir Suku Jambak besar.
Dengan suami kedua, beliau memperolehi sepasang anak iaitu Nek Kamisah dan Atuk Sidi Maradjo 1. Sementara dengan suami ketiga juga memperolehi sepasang anak iaitu Nenek Nani di Selayang Baru dan atuk Maarus Sutan Rajo Pono.
Kelmarin, adik saya Refni isteri Adeng (di Segamat ) menghantar sms dan memaklumkan jaluran keturunan datuknya, Atuk Sidi Maradjo 1.
Menurut Refni, atuk Sidi Maradjo 1 bernama Zainuddin. Semasa hidupnya, beliau telah berkahwin dengan Nenek Sawati keluarga ibu tiri saya Hajah Norniah (di Pandan Banyak), Kapau. Melalui perkahwinan ini, mereka memperolehi dua orang anak perempuan iaitu Etek Anismar dan Etek Norlaili. Nenek Sawati meninggal dunia di PJ beberapa tahun yang lalu.
Etek Anismar yang kini menetap di Kapau telah berkahwin dengan Jabar St Mangkuto, suku Koto Sawah Gurun. Mereka memperolehi empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan iaitu Zenhardi, Refni, Emi Yusnaili dan Detri Yenni guru di SMEA Batu Sangkar.
Sementara Etek Nurlaili yang menetap di Petaling Jaya telah berkahwin dengan Kasim @ Buyung bin Kari Muncak. Mereka mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan iaitu Johanis, Ermayati dan Herlina.
Setakat ini, atuk Zainuddin Sidi Maradjo 1 mempunyai 16 orang cicit.
Untuk makluman, Refni yang kini menetap di Segamat adalah isteri adik sepupu saya, Adeng, dari ibunya Aminah adik ayah saya Haji Rosli.
Terima kasih sekali lagi untuk Refni kerana membantu abang melengkapkan jurai keturunan kita bersama. Semoga saudara-mara yang lain yang membaca ruangan ini, mencontohi langkah Refni dalam usaha saya untuk melengkapkan data keturunan keluarga kita bersama.
Sekali lagi dijelaskan, blog Bicara Anak Kapau ini adalah blog kita bersama yang memberikan tumpuan kepada jurai keturunan keluarga kita dari asal bumi Kapau yang bertuah itu.
Jumpa lagi
33 - KETUA KAUM IBU UMNO MALAYA
7 years ago
No comments:
Post a Comment