Sunday, July 18, 2010

KETURUNAN ATUK KARI ZAINUDDIN KELANG


Sebagaimana yang dijanjikan, pada kesempatan kali ini, saya akan memberikan tumpuan kepada keluarga keturunan atuk Kari Zainuddin Kelang, bapa kepada bapa mentua saya.

Atuk Kari Zainuddin atau nama sebenarnya Zainuddin bin Saiful, dipercayai lahir anggaran tahun 1875 di Kapau, Bukit Tinggi Sumatera Barat. Beliau dipercayai merantau ke Malaysia pada awal kurun ke-20 melalui Pelabuhan Kelang. Semasa hidupnya, beliau adalah pedagang dan pembuat songkok terkenal di Kelang dengan lokasi perniagaannya berhampiran atau di bawah Jambatan Kelang.

Sepanjang hidupnya, beliau telah berkahwin sebanyak empat kali dan dikurniakan sepuluh orang anak.

Dengan isteri pertamanya, beliau memperolehi seorang anak lelaki bernama Samsuddin yang menetap di Seremban. Sementara dengan isteri keduanya, beliau juga memperolehi seorang anak perempuan, Etek Rokayah yang menetap di Padang Sumatera.

Beliau berkahwin dengan isteri ketiganya, Zainab di Kapau. Melalui perkahwinan ini beliau dikurniakan dua orang anak iaitu Kari Moktar yang menetap di Batu Pahat dan Nabawi Datuk Gadang Majolelo di Johor Bahru.

Dengan isteri terakhirnya Norbibah (Nek Upik), mereka dikurniakan dengan anak yang ramai iaitu enam orang. Mereka adalah Nortisah di Semenyih, Saifuddin di Jakarta, Khasiah di Kelang, Etek Zainiah (meninggal dunia) dan sepasang anak kembar Mahmud (Pak Wan) di Pulau Indah dan Ahmad (Pak Akin) di Kelang.

Pada akhir hayatnya, atuk Kari Zainuddin menetap di Kampung Raja Uda Kelang. Beliau meninggal dunia di sana anggaran akhir tahun 1955 atau awal 1956 pada usia anggaran 80 tahun.

KETURUNAN ATUK KARI ZAINUDDIN

Anak tertua atuk Kari Zainuddin adalah ayahanda Samsuddin. Ayahanda Samsuddin yang menetap dan meninggal dunia di Seremban telah berkahwin dengan Aminah (Mak Dang Aminah) serta dikurniakan dengan sepasang anak, seorang lelaki bernama Darlis dan seorang perempuan bernama Rose. Abang Darlis turut dikenali sebagai pelakon drama TV pada tahun-tahun 1980-an - 1990-an dengan nama Darlis Samsuddin.

Etek Rokayah anak kedua dengan isteri kedua menetap di Padang Sumatera Barat Indonesia. Beliau memperolehi dua orang anak lelaki iaitu abang Bahari Yamzik, mantan Kepala Bahtera Adiguna di Surabaya dan abang Mus. Abang Bahari Yamzik kerap juga datang ke Malaysia serta menemui ramai saudara-maranya khususnya adik-adik tirinya yang bermukim di Telok Panglima Garang, Banting Selangor.

Ayahanda Kari Moktar pada akhir hayatnya menetap di Tanjung Labuh, Batu Pahat. Sepanjang hidupnya beliau telah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan dengan sepuluh orang anak. Dengan isteri pertamanya, Etek Simah (Koto Penaluk), beliau memperolehi lima orang anak iaitu Saiful Rizal (meninggal dunia), Hasni di Kluang Johor, Azuar (meninggal dunia), Zamri di Batu Pahat dan Azahari (mantan Prof. Madya dan pensyarah Fakulti Perhutanan di UPM) yang kini menetap di Subang Jaya.

Sementara dengan isteri keduanya Aminah, beliau memperolehi lima orang anak juga iaitu Hairani di Seremban, Shahril (Seremban), Zaidatulnur di Batu Pahat, Fazilatunnur di UTM Skudai dan Norlaili di Perak.

Sementara, ayahanda Haji Nabawi Datuk Gadang Majolelo yang berkahwin dengan Shamsiah (Tek Cham) dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki iaitu Riswati (isteri saya) di Masjid Tanah/Kajang, Shahrial dan Tamrin Fooad di Johor Bahru.

Anak tertua, isteri keempat atuk Kari Zainuddin, Etek Nortisah yang berkahwin dengan Baharom dikurniakan dengan enam orang anak iaitu Kak Sawiyah (Kak Yan), Azuwar (Bang Wai), Fauziah (isteri Datuk Sukri Bank Islam), Sarial, Faridah dan Ernie. Keluarga ini bermukim di Semenyih. Ayahanda Baharom adalah abang kepada abang ipar saya Mohd Noor suami kekanda Rifdayanis.

Ayahanda Saifuddin yang menetap dan meninggal dunia di Jakarta dikurniakan dengan sepasang anak lelaki dan perempuan iaitu Eddy dan Ernie. Sementara Etek Khasiah yang masa mudanya menetap di Singapura , berkahwin dengan ayahanda Ridzuan Muluk, mantan DSP di Singapura unit Pancaragam Polis, dikurniakan tiga orang anak iaitu Eddy, Dr. Rohana (pakar di Hospital Selayang) dan Hasmy (jurutera perkapalan di Singapura).

Seorang lagi anak atuk Kari Zainuddin adalah Etek Zainiah yang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Etek Zainiah mempunyai seorang anak lelaki, Halim, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya.

Ayahanda Mahmud (Awalludin) atau dikenali sebagai Pak Wan, yang baru kehilangan isterinya Etek Sabariah, baru-baru ini, dikurniakan enam orang anak iaitu Sarina, Safiza (abang) seorang jurutera di Melaka, Afri Sofian (cikgu), Khairul Izam, Umi Shafinaz (Farmasi) dan Kyairul Anuar (Yun).

Sementara anak yang bongsu Ahmad (Akhiruddin) (Pak Akin) telah berkahwin dengan Etek Zaleha dan dikurniakan seorang anak lelaki, Awie (pegawai di UiTM).



Akan datang: Hubungan Nenek Upik Norbibah dengan Atuk Jelani dan keturunan Atuk Jelani dan Nenek Majidah


No comments: